RM30K satu bahagian korban lembu wagyu, mungkinkah akan dapat pahala lebih besar?
MENJELANG sahaja Aidiladha, pasti akan terdapat iklan ibadah korban lembu wagyu yang harganya boleh mencecah ratusan ribu seekor.
Mungkin bagi yang berkemampuan, pasti tiada masalah untuk menyertai program korban lembu tersebut. Namun adakah manfaatnya akan sampai kepada orang ramai sepertimana pensyariatan dan maqasid korban iaitu mendekatkan diri kepada ALLAH atau memberi sedekah?
Mengambil pandangan Penyelidik Majlis Ulama ISMA (MUIS), Dr Muhammad Ikram Abu Hassan menyatakan dalam syariah Islam, ibadah-ibadah yang besar merupakan ibadah yang menggabungkan antara hubungan dengan ALLAH dan hubungan dengan manusia lain.
Baca Juga Haram upah daging kepada tukang sembelih dan orang yang melapah
“Solat, zakat, puasa, haji. Semuanya ibadah-ibadah yang merangkumi kedua-dua maqasid. Bahkan solat sunat hari raya ditunaikan berjemaah afdalnya di kawasan yang lapang sehinggalah perempuan yang uzur boleh hadir menyaksikan perhimpunan tersebut. Begitu jugalah ibadah korban.
“Konsep ibadah Islam, lagi banyak manfaat sesuatu amalan itu kepada orang lain, lagi banyak pahalanya di sisi ALLAH. Dalam bahasa arab digelar النفع المتعدي manfaat yang melangkaui orang lain (yakni tidak terhad kepada seorang sahaja),” katanya.
Tambahnya lagi, konsep Ibadah dalam Islam juga tidak memerlukan kepada kemewahan sebaliknya hati yang suci itu yang mendekatkan diri kepada ALLAH.
“Ibadah korban salah satu bentuk amalan yang digabungkan antara hubungan dengan ALLAH dan manfaat kepada manusia. Dan lagi banyak manfaat kepada manusia lagi banyak pahalanya di sisi ALLAH.
“Oleh itu, korban binatang yang baik dan boleh bagi manfaatnya kepada ramai orang adalah lebih afdal. Korban wagyu pula terdapat unsur-unsur kemewahan yang tidak dituntut oleh Islam dalam beribadah.
ARTIKEL BERKAITAN
- Elakkan mencampur daging korban setelah sembelih, ini penjelasannya
- ‘Rare’ atau ‘medium well’, bolehkah umat Islam makan daging yang masih ada darah?
- Pakaian terkena darah haiwan korban dikira bernajis?
- Warna haiwan korban yang lebih adfal
- Niat sahaja sudah beroleh pahala, apatah lagi jika buat korban
- Waspada ‘scammer’ rantaian ibadah korban
- ‘Buat korban bukan sebab kita kaya, tapi…’
- Buat korban 7 kali pahala macam naik haji, betul ke?
“Begitu juga tiada tandingannya ibadah korban walaupun menyumbang duit sebagai sedekah berdasarkan maqasid-maqasid di atas. Pandangan saya bertujuan menerangkan yang afdal sahaja, bukanlah halal atau haram,” ujarnya.
Korban daging wagyu RM30,000
Sebelum ini tular di media sosial mengenai korban daging lembu wagyu yang mencecah RM30,000 bagi satu bahagian.
Biarpun ia tidak menjadi satu kesalahan, namun nilainya sama bagi enam lembu biasa yang mana manfaatnya lebih luas dan ramai orang miskin boleh merasai daging korban ini.
Merujuk agamawan terkemuka, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, selaras konsep korban mengikut keutamaan berdasarkan situasi semasa, maka ia perlulah diteliti dengan sebaiknya.
Beliau berkata, mengikut pengamatan, terlalu ramai individu yang memerlukan bantuan terutama untuk merasai daging yang nilainya sekarang ini melebihi RM30 sekilogram.
“Jika dilihat, dengan nilai RM30,000 itu, sekiranya dihitung menggunakan jumlah nilai semasa lembu iaitu kira-kira RM5,000 bagi seekor lembu, maka kita dapat memperoleh sekitar enam ekor lembu biasa.
Baca Juga Ibadah korban masih boleh dilakukan selepas Hari Raya Aidiladha
Turut Disyorkan Boleh ke buat kenduri kahwin dan jamu tetamu makan daging korban?
“Daripada jumlah enam ekor lembu ini, sudah tentu ia dapat memberikan manfaat yang lebih besar dan ramai orang miskin akan dapat merasainya.
“Justeru, tidak salah untuk melakukan ibadah korban dengan lembu wagyu. Tetapi dari sudut perolehan manfaat yang lebih ramai dan besar, maka sudah tentu melakukan ibadah korban dengan lembu biasa adalah lebih utama dalam situasi seperti ini,” katanya.
“Adalah ditegaskan bahawa lebih aula (utama) dari sudut Fiqh Aulawiyyatnya untuk memberi makan seramai mungkin kepada golongan asnaf dan yang memerlukan.
“Dengan cara ini (korban lembu biasa), jelas kita akan dapat membantu golongan masyarakat dalam bilangan yang lebih ramai. Faedah merasa daging lembu dan korban juga dapat dikongsi bersama dengan lebih meluas,” katanya menerusi Al-Bayan Siri 11 bertajuk Ibadah Korban Dengan Lembu Wagyu.
———————————————————————————————–
Sumber: Maktabah albakri
Sumber: MUIS