BULAN Syaaban adalah salah satu bulan yang paling mulia dan sangat istimewa sebelum bulan Ramadan. Terutama malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam, malam Nisfu Syaaban.
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr RA bahawa Nabi SAW bersabda: “ALLAH SWT melihat pada malam Nisfu Syaaban kemudian mengampunkan hamba-NYA kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri”. (Hadis Riwayat Ahmad)
Mengikut kalendar Hijrah malam Nisfu Syabaan jatuh pada hari ke-15 atau pertengahan bulan iaitu 15 Syabaan. Pada tahun 2023 ini, tarikh Nisfu Syabaan adalah sebaik sahaja masuk waktu maghrib pada hari Selasa (7 Mac 2023).
Di dalam hadis, Nabi Muhammad SAW tidak menetapkan mana-mana amalan sebagai amalan khusus untuk dilakukan pada malam Nisfu Syaaban.
Namun begitu, kita boleh mengambil peluang dengan kelebihan yang ALLAH SWT berikan pada malam tersebut untuk melakukan amal soleh sebanyaknya.

“YA ALLAH, berkatilah kami di bulan Syaaban dan sampaikan kami di bulan Ramadan”
Menerusi satu hantaran di laman media sosial, Ustazah Asma Harun berkongsi terdapat beberapa amalan yang disarankan oleh para ulama bagi menghidupkan malam barakah ini, seperti:
1. Mendirikan solat sunat mutlak
Pada malam Nisfu Syaaban, kita dibolehkan mendirikan solat sunat mutlak. Solat sunat mutlak ialah solat sunat semata-mata mengharapkan keredaan ALLAH SWT. Ia tidak ditentukan waktunya dan tidak ada had jumlah rakaatnya.
Cara mengerjakan solat sunat mutlak ini adalah sama seperti solat biasa. Niatnya adalah seperti berikut:
أُصَلِّى صَلَاةَ السُّنَّةَ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat dua rakaat kerana ALLAH Taala”
Solat ini juga disebutkan oleh Imam Ibnu Taimiyah apabila diminta penjelasan tentang solat malam Nisfu Syaaban. Lalu, beliau menyatakan: “Apabila seseorang menunaikan solat pada malam Nisfu Syaaban, sendirian atau bersama jemaah tertentu sebagaimana dikerjakan oleh banyak kelompok kaum salaf, maka hal itu baik.”

KITA disunnahkan supaya memperbayakkan puasa sunnah di dalam bulan Syaaban berbanding bulan-bulan selainnya. – Foto: Canva
2. Memperbanyakkan doa dan munajat
Imam al-Syafie di dalam kitab al-Umm ada menyatakan tentang keistimewaan berdoa pada malam Nisfu Syaaban “Telah sampai kepada kami bahawasanya selalu dikatakan bahawa permohonan akan dikabulkan pada lima malam, iaitu malam Jumaat, malam hari raya Aidiladha, malam hari raya Aidilfitri, awal malam di bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.”
BACA JUGA Ramadan ‘tak lama lagi’, jom latih diri berpuasa sunat pada bulan Syaaban ini
3. Menghidupkan malam dengan memperbanyakkan membaca al-Quran
Apabila menjelangnya Nisfu Syaaban juga, terdapat amalan yang sering dilakukan secara tradisi sejak sekian lama dalam masyarakat kita. Sebagai contoh, amalan membaca surah Yaasin sebanyak tiga kali yang diniatkan untuk mendapat reda ALLAH, insya-ALLAH pahalanya juga berganda dengan banyaknya bacaan.
Menurut para ulama, tiada halangan untuk mengamalkannya selagi mana kita tidak menyandarkan amalan tersebut kepada hadis Nabi Muhammad SAW kerana tiada dalil khusus yang menyatakan tentangnya.
Namun begitu, kita sangat dianjurkan untuk memperbanyakkan membaca al-Quran pada setiap masa, lebih lagi pada malam tersebut.

SEBAGAI umat Islam, kita seharusnya merebut setiap peluang yang ALLAH SWT kurniakan kepada kita dengan memperbanyakkan amal soleh.
4. Memperbanyakkan sayyidul istighfar kepada ALLAH.
Sayyidul istighfar merupakan penghulu kepada istighfar. Di dalamnya terkandung kalimah tauhid yang membesarkan ALLAH dan pembuktian kehambaan kita sebagai seorang hamba yang lemah dan hina.
5. Memperbanyakkan selawat
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka ALLAH SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” (Hadis Riwayat Muslim)
6. Meminta dan memberi maaf
Sepertimana hadis Nabi SAW di atas, antara golongan yang tidak akan diampunkan ALLAH SWT adalah mereka yang bermusuhan.
Maka marilah sama-sama kita saling bermaafan, kerana sesungguhnya nilai keampunan ALLAH SWT jauh lebih tinggi daripada membesarkan ego dan emosi kita.