Ramadan tak lama lagi….
APABILA masuk sahaja Syaaban, pasti hitungan hari menuju Ramadan hanya berbaki lebih kurang 30 hari lagi. Bulan yang penuh keberkatan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam.
Antara doa yang diajarkan Nabi SAW kepada kita,
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ شَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
“Ya ALLAH, berkatilah kami di bulan Syaaban dan sampaikan kami di bulan Ramadan”
Bulan ini juga dianggap sebagai bulan pemanas badan untuk melakukan ibadah. Seperti yang dikongsi di facebook Ustaz Kamal Ashaari, Ahli Parlimen Kuala Krau, mengenai satu hadis mengenai bulan Syaaban dan kelebihan puasa sunat pada bulan ini.
“Daripada Usamah bin Zaid dia berkata, aku bertanya kepada Rasulullah SAW “Wahai Rasulullah SAW, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada bulan-bulan lain sebagaimana (kerapnya) engkau berpuasa di bulan Syaaban. Baginda bersabda: Bulan tersebut merupakan waktu manusia lalai iaitu antara Rejab dan Ramadan. Ia merupakan bulan yang mana pada bulan tersebut amalan diangkat kepada ALLAH semesta alam. Aku suka amalan aku diangkat ketika aku berpuasa”. (Hadis Riwayat an-Nasai)
Antara pengajaran berdasarkan hadis di atas:
1. Bulan Syaaban, bulan paling banyak Rasulullah SAW berpuasa sunat berbanding bulan lain.
2. Bulan Syaaban, bulan kebanyakan manusia lalai daripada meningkatkan amal. Ramai yang menyibukkan diri dengan urusan dunia seperti menyediakan persiapan hari raya, mengadakan majlis kenduri kendara dan sebagainya.
BACA JUGA Jika tak mampu ganti puasa dan bayar fidyah, apa patut dibuat?
3. Ibnu Rajab menyatakan: “Dalam hadis ini terdapat dalil mengenai dianjurkan melakukan amalan ketaatan di saat manusia lalai. Inilah amalan yang dicintai di sisi ALLAH.” (Lathaif Al Ma’arif, 235) Beribadah pada waktu ramai orang dilalaikan akan lebih ikhlas sehingga pahalanya semakin besar.
Beribadat ketika ini akan lebih berat dirasakan oleh jiwa, kerana biasanya jiwa kita ini akan terpengaruh dengan apa yang dilihatnya. Ketika orang mungkin sibuk menjamu selera sebab nanti di bulan Ramadan tak boleh makan siang hari, maka akan semakin berat bagi jiwa untuk menjalankan ketaatan.
Oleh sebab itu, secara umum, meningkatkan ibadah seperti puasa sunat pada bulan Syaaban dan menjaga diri dari terikut-ikut orang lain adalah amal yang dicintai.
4. Setiap kita disarankan agar memperbanyakkan amal pada bulan Syaaban seperti puasa sunat, solat sunat, sedekah, membaca al-Quran dan lain-lain sebagai persiapan bertemu bulan Ramadan.
5. Setiap hari amalan kita akan diangkat ke langit, ada amalan kita yang akan dibawa naik kepada ALLAH SWT pada bulan Syaaban.
6. Rasulullah SAW memperbanyakkan amal seperti puasa sunat pada bulan Syaaban kerana Baginda suka amalnya diangkat ketika sedang berpuasa.
7. Abu Bakr Al-Balkhi berkata:
“Bulan Rejab waktu menanam, bulan Syaaban waktu menyiram tanaman dan bulan Ramadan waktu menuai hasil.”
Jadikanlah bulan ini untuk kita menyiram amal soleh agar ia tumbuh subur dan segar berterusan di bulan Ramadan nanti.