DALAM kemeriahan menyambut bulan Syawal ini, tidak dilupakan satu ibadah sunat yang dituntut dalam Islam pada bulan ini iaitu puasa enam.
Puasa sunat enam hari pada Syawal adalah sebahagian daripada puasa sunat sepanjang tahun yang disarankan dalam Islam selain puasa wajib sebulan ketika Ramadan.
Di dalam sebuah hadis daripada Abu Ayub al-Ansari RA, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang berpuasa pada Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari ketika Syawal, ia bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis Riwayat Muslim).
Walaupun puasa sunat Syawal ini sudah menjadi kebiasaan buat umat Islam, namun adakalanya persoalan berkaitan puasa ini perlu dirujuk kembali agar puasa yang dilaksanakan itu memenuhi aspek yang dituntut oleh agama.
Merujuk perkongsian Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi), penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah, terdapat beberapa kemusykilan yang sering menjadi persoalan umat Islam mengenai puasa enam di bulan Syawal.
1. Apakah hukum puasa enam hari di bulan syawal?
Puasa enam merupakan amalan sunat. Telah berkata Imam An-Nawawi: Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam Syafie bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).
2. Bilakah Puasa enam hari di bulan syawal perlu dilakukan?
Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada hari kedua Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidilfitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah RA berkata: Nabi melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha. [Hadis Riwayat Bukhari]
3. Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut atau secara berasingan?
Tidak menjadi kesalahan jika ia dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal.
Ini kerana apabila Rasulullah menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa menentukan hari-harinya.
Baca Juga Puasa enam pada bulan Syawal perlu berturutan atau boleh dipisahkan? Ini penjelasannya
4. Adakah puasa sunat enam hari di bulan Syawal dibuat sebelum mengqada puasa Ramadan?
Terdapat perbincangan di kalangan para fuqaha’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu masih belum mengadakan puasa Ramadan yang belum diqadanya atau ia tidak menjadi masalah untuk berpuasa enam hari di bulan Syawal dahulu? Perbincangan ini menghasilkan dua pendapat.
Pandangan Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Saidatina Aisyah pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadan yang perlu diqadanya hingga ke bulan Syaaban yang akan datang. Aisyah RA berkata:
Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu mengqadanya kecuali pada bulan Syaaban. – [Hadis Riwayat Muslim].
Para ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah, yakni Aisyah, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal.
Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqada puasa Ramadan pada bulan Syaaban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadan.
Menurut Imam An-Nawawi, Mazhab Maliki, Abu Hanifah, Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qada puasa Ramadan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadanya adalah secara bertangguh (’ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qada terus apabila boleh melakukannya”. – (Syarah Sahih Muslim 8/22).
Baca Juga Puasa Enam Tampung Kekurangan Puasa Ramadan
Pandangan Kedua : Tidak boleh, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”
Rasulullah meletakkan syarat “berpuasa Ramadan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”.
Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadannya. Jika ada puasa Ramadan ditinggalkan, ia perlu diqada terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.
5. Boleh atau tidak menggabungkan puasa qada dan puasa enam?
Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah di bolehkan menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qada dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?
Persoalan ini berlaku khilaf dalam kalangan ulama, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardu dan tidak bagi yang sunat.
Baca Juga Tidak habis puasa sunat enam Syawal, apa yang perlu dilakukan?
Ada dalam kalangan ulama Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qada sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. – (Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab)
Maka sebaik-baiknya lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada ALLAH SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredaan Tuhannya.