SAMBUTAN Aidilfitri normal baharu pada tahun ini sedikit berbeza. Apatah lagi tiada tradisi kunjung-mengunjungi dibenarkan berbanding dengan tahun sebelumnya yang boleh dilakukan pada Hari Raya pertama untuk ahli keluarga terdekat.
Semuanya dek kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bagi menyekat penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan. Ia juga demi kemaslahatan kita bersama.
Disebabkan aktiviti rumah terbuka juga tidak dibenarkan, alangkah baiknya jika kita dapat memanfaatkan tempoh PKP dengan sebaiknya. Inilah masanya untuk kita kembali berpuasa sepertimana ibadah yang dilakukan pada bulan Ramadan tempoh hari.
Cuma bezanya pada kali ini, kita berpuasa sunat enam pada bulan Syawal. Walaupun ia hanya puasa sunat dan tidak berdosa sekalipun kita tidak menunaikannya, namun terasa rugi andai tidak dilakukan.
Bukan apa, terlalu banyak fadilat dan ganjaran yang bakal diraih kepada mereka yang melazimkannya. Tambahan pula, bukannya selalu peluang itu ada di depan mata. Tidak salah rasanya kita merebutnya.
Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim)
Lihat betapa besarnya imbalan yang bakal diraih hinggakan disebut bahawa sesiapa yang berpuasa enam ibarat telah menyempurnakan pahala amalan berpuasa selama setahun!
Subhanallah, begitu cinta-NYA ALLAH SWT kepada hamba-hamba-NYA hingga memberikan ganjaran sedemikian rupa.
Sebenarnya, ada banyak lagi kelebihan puasa enam yang mungkin ramai tidak sedar.
Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, antara hikmah disyariatkan puasa enam itu adalah supaya amalan sunat tersebut membantu menampung kekurangan yang berlaku dalam ibadah fardu puasa Ramadan yang lalu.
Katanya, ia berdasarkan pandangan yang merujuk kepada hadis yang menyebut bahawa kekurangan solat fardu akan ditampung dengan amalan solat sunat.
Rasulullah SAW bersabda: “Perkara pertama yang akan dihitung oleh ALLAH pada hari kiamat nanti adalah solat. ALLAH berkata kepada malaikat: ‘Perhatikan solat hamba-KU, apakah ianya sempurna atau ada kekurangan. Sekiranya solatnya sempurna, maka tuliskan baginya pahala yang sempurna. Namun sekiranya ada kekurangan, maka lihatlah andai sekiranya hamba-KU ada menunaikan solat sunat. Sekiranya dia menunaikan solat sunat, maka sempurnakannya pahala solat fardunya itu tadi dengan pahala solat sunat kemudian ambillah pahala amalan tersebut dan berikanlah ganjaran’.” (Riwayat Abu Daud)
Baca juga Sama-sama Kita Faham Apakah Itu Zionisme?
Bukan itu sahaja, Dr Ahmad Sanusi turut menukilkan pandangan al-Imam Ibn Rajab tentang kelebihan apabila kita menunaikan puasa enam.
“Kata al-Imam Ibn Rajab dalam Lataif Maarif, ‘Sesungguhnya puasa enam dan puasa Syaaban adalah seperti amalan solat sunat rawatib sebelum dan sesudah solat fardu. Amalan sunat ini menampung kekurangan yang ada pada amalan fardu tersebut sekiranya berlaku kelompongan pada amalan fardu’,” jelasnya.
Ahli akademik itu menambah, para sarjana hadis juga menjelaskan bahawa setiap amalan manusia akan dilipat gandakan menjadi 10 pahala.
Sabda Rasulullah SAW: “ALLAH menjadikan setiap kebaikan dengan 10 kali ganda ganjaran. Maka puasa sebulan itu (sekiranya digandakan dengan 10 akan) bersamaan puasa 10 bulan, dan puasa enam (pahala yang menjadi 60 hari bersamaan dua bulan) akan melengkapkan bilangan puasa seperti puasa setahun.” (Riwayat an-Nasa’i)
“Melihat kepada kelebihan yang ditonjolkan dalam hadis-hadis yang disebutkan, apa kata sementara kita masih duduk di rumah dan tidak ke mana-mana, marilah berusaha menunaikan ibadah puasa enam.
“Semoga ALLAH membimbing kita,” coretnya menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.
Senada dengan Dr Ahmad Sanusi ialah pendakwah Asma’ Harun. Ujar beliau, antara kelebihan lain berpuasa enam ialah ALLAH SWT menyediakan satu pintu syurga khas yang digelar sebagai pintu al-Rayyan bagi mereka yang melazimi ibadah puasa.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam syurga nanti ada pintu dinamakan al-Rayyan yang akan dimasuki oleh orang-orang berpuasa pada hari kiamat kelak. Tiada siapa yang memasuki pintu tersebut selain mereka. Dikatakan: ‘Di mana orang-orang berpuasa?’ Maka mereka memasukinya. Apabila orang terakhir memasukinya, maka pintu itu akan ditutup dan tiada siapa lagi dapat memasukinya.” (Riwayat al-Bukhari)
Mengulas tentang gabung niat puasa enam dengan puasa qada pada bulan Syawal, Asma’ menjelaskan, terdapat dua pandangan mengenainya:
Pendapat pertama: Puasa qada terlebih dahulu.
Yusuf al-Qaradawi cenderung untuk bersegera menggantikan puasa qada terlebih dahulu: “Saya memilih wanita itu mesti menggantikan puasa qada terlebih dahulu, kemudian barulah berpuasa sunat. Ini kerana manusia tidak terjamin usianya. Orang sihat boleh jatuh sakit, orang muda akan menjadi orang tua dan orang yang kuat boleh menjadi orang yang lemah.”
Pendapat kedua: Boleh memilih sama ada puasa qada atau puasa enam terlebih dahulu.
Jumhur ulama menyatakan hujah berdasarkan firman ALLAH SWT: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam safar (bermusafir), maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Berdasarkan kalimah suci itu, ia tidak menyatakan bahawa wajib menggantikan puasa dengan kadar segera. Justeru, dibolehkan sekiranya ingin melakukan puasa enam pada bulan Syawal terlebih dahulu berbanding puasa qada.
Melihat dua pandangan tersebut, Asma membantu kita membuat kesimpulan mudah untuk difahami. Ujar beliau, menurut pandangan yang muktamad, lebih baik (afdal) jika kita mengasingkan niat puasa enam pada bulan Syawal dengan puasa qada.
“Namun begitu, tiada masalah dan sah sekiranya kita menggabungkan niat puasa enam pada bulan Syawal dengan puasa qada serta mendapat ganjaran pahala kedua-duanya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Asma’ turut mencadangkan agar kita berpuasa enam pada tarikh-tarikh seperti berikut:
i. 20 Mei 2021 (8 Syawal) – Hari Khamis.
ii. 24 Mei 2021 (12 Syawal) – Hari Isnin.
iii. 25 Mei 2021 (13 Syawal) – Hari Putih.
iv. 26 Mei 2021 (14 Syawal) – Hari Putih.
v. 27 Mei 2021 (15 Syawal) – Hari Putih dan Khamis.
vi. 31 Mei 2021 (19 Syawal) – Hari Isnin.
Ini kerana tarikh yang disarankan itu adalah disebabkan berhimpunnya tiga fadilat yang meliputi puasa enam Syawal, puasa sunat Isnin dan Khamis serta puasa Hari Putih.
“Bagaimanapun, puasa enam sebenarnya boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sepanjang Syawal melainkan 1 Syawal. Tidak semestinya pada tarikh yang dicadangkan itu.
“Mudah-mudahan kita berjaya memperoleh ganjaran kebaikan daripada amalan ini,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.
Foto: Freepik