BARU-BARU ini, berita tempatan digemparkan dengan isu kehilangan pendaki OKU (Orang Kelainan Upaya) dikenali sebagai Muhammad Hawari yang dilaporkan hilang sehari selepas dia berjaya mendaki ke puncak Gunung Everest.
Susulan itu, segelintir warganet telah berkongsi pendapat mereka mengenai isu tersebut di Twitter sekali gus mempersoal hukum mendaki gunung tersebut sampaikan ada individu mengatakan aktiviti tersebut seperti menggali kubur sendiri.
Ada juga yang mengatakannya haram kerana ia boleh membawa kepada kemudaratan, namun sejauh manakah kebenaran tersebut?
Merujuk laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, Islam amat menggalakkan penganutnya untuk mengembara, melihat dan berfikir akan kebesaran ALLAH SWT yang menjadikan setiap sesuatu di atas dunia ini.
Baca Juga Meski teruja dengan kemunculan AI, perhati juga kedudukan hukum dalam penciptaan imej manusia
Jelas Mufti, pengembaraan seperti ini akan lebih menguatkan lagi keimanan seseorang jika setiap apa yang dilihat serta dilaluinya itu dikaitkan dengan MAHA PENCIPTA.
“Firman ALLAH SWT “DIA-lah ALLAH, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhluk-NYA menurut yang dikehendaki-NYA); bagi-NYAlah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepada-NYA segala yang ada di langit dan di bumi; dan DIA lah Yang tiada banding-NYA, lagi MAHA BIJAKSANA”. (Surah al-Hasyr ayat 24)
Gunung dan bukit di dalam al-Quran
“Kewujudan gunung-ganang di atas muka bumi ini adalah untuk memberikan kestabilan kepadanya serta menjadi pasak bagi bumi tersebut.
“Salah satu cara untuk melihat kebesaran ALLAH adalah dengan mengembara dan mengambil iktibar dari pengembaraan tersebut,” ujarnya.
ALLAH berfirman di dalam al-Quran “Katakanlah, mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana ALLAH telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian ALLAH akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya ALLAH MAHA KUASA atas tiap-tiap sesuatu. (Surah al-‘Ankabut ayat 20)
Baca Juga Elak ditipu ‘scammer’, fahami apa itu visa furada dan Jemaah Haji Pengelola (JPH)
Berdasarkan ayat di atas, Syeikh al-Tantawi Rahimahullah melalui tafsirnya menyebutkan: “ALLAH kemudiannya mengarahkan Nabi Muhammad SAW mengalihkan pandangan kaumnya agar mengamati dan mentadabbur keadaan penciptaan. Moga-moga dengan pengamatan itu boleh membawa kepada kebenaran (iaitu dengan melihat penciptaan ALLAH)”.
Hukum mendaki gunung Everest
Seterusnya, bagi menjawab persoalan yang dikemukakan oleh warganet, Mufti Wilayah berpendapat bahawa hukum bagi mendaki gunung Everest adalah harus dan dibolehkan.
“Namun, ia juga tertakluk kepada perkara-perkara yang berkait rapat dengannya seperti kemampuan seseorang untuk mendakinya kerana gunung Everest bukanlah seperti gunung-gunung yang lain.
Turut Disyorkan Kenali Habib Umar Hafiz, ulama muktabar bumi berkah Tarim
Baca Juga Bapa pakai kostum dinosaur demi pupuk anak minat mengaji al-Quran
“Mereka yang telah melakukan persediaan yang rapi dari segi mental dan fizikal sahaja yang sepatutnya diberikan kebenaran untuk mendaki serta melaksanakan misi yang di bawa.
“Adapun mereka yang menyertai ekspedisi ini ataupun yang lainnya, maka digalakkan untuk mengamalkan adab-adab ketika bermusafir yang mana sebahagian darinya telah disebutkan seperti di atas di samping mengikhlaskan niat supaya pengembaraan dan permusafiran itu mencapai maknanya iaitu ingin melihat kebesaran ALLAH SWT serta menginsafi diri,” jelasnya di laman berkenaan.
Antara yang disyorkan oleh Mufti ketika mendaki gunung adalah:
Hendaklah berniat kerana ALLAH SWT.
Untuk mengenali diri dan ma’rifatullah (asas perjalanan ruhiyyah manusia secara keseluruhan)
Menambahkan motivasi dan semangat jati diri.
Dapat membantu insan lain yang berada dalam kesukaran melalui ekspedisi yang dijalankan.
Niat untuk menjadi hamba ALLAH SWT yang benar-benar dapat berbakti.
Dapat menimba banyak pengalaman yang berharga dalam melayari bahtera kehidupan.
Dapat meningkatkan hubungan persaudaraan sesama manusia.