Kawal nafsu makan Syawal ini, jangan gelojoh sangat…
KESERONOKAN menyambut Aidilfitri boleh dilihat dalam pelbagai cara atau tradisi sambutan yang berbeza-beza dalam sesebuah keluarga.
Namun yang pasti antara persamaan ketika menyambut Aidilfitri ini bagi seluruh keluarga adalah juadah istimewa di pagi Syawal ini.
Ada yang terlalu teruja menyambut Aidilfitri sehingga setiap kali jemputan rumah terbuka, pasti akan dilahapnya makanan tanpa mengira sesiapa. Alasannya hanya kerana ‘raya kan sebulan sekali’.
Perlu diingatkan, setiap perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan adalah dilarang dalam Islam. Makan secara berlebihan ada kalanya mampu membahayakan kesihatan yang mana ia wajib dipelihara dengan baik.
Sabda Nabi SAW: “Jangan mendatangkan kemudaratan kepada diri dan orang lain.”
Atas asas itulah, menghindari semua perkara yang boleh memudaratkan adalah tanggungjawab sangat dituntut Islam.
Agar tidak berlebihan ketika menjamu juadah raya, Sinar Islam Plus kongsikan beberapa tip elak makan berlebihan dan jenis senaman ringan yang boleh dilakukan jika berlebihan makan sebagaimana dikongsi oleh Pakar Diet Pemakanan, Nur Arafah Abdul Aahab.
Baca Juga Diet sehingga zalimi diri sendiri, ikuti langkah betul yang diajar Islam
Tiga tip mudah elak makan berlebihan;
1) Jangan makan ketika perut terlalu kosong. Amalkan waktu makan yang teratur pada setiap waktu makan utama.
2) Amalkan konsep pinggan sihat Malaysia. Suku untuk kanji, suku untuk lauk/protein dan separuh untuk sayur dan buah-buahan. Lebihkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan serat bagi membantu mengekalkan rasa kenyang dengan lebih lama. Elakkan pengambilan air manis yang kerap dan gantikan dengan air kosong. Juga, gunakan pinggan yang kecil supaya makanan tersebut kelihatan banyak.
3) Kunyah makanan secara perlahan dan nikmati juadah anda dalam keadaan yang selesa. Elakkan makan semasa bersembang dan menonton televisyen atau bermain alat elektronik kerana ini akan menyebabkan kita makan dalam kuantiti yang banyak tanpa sedar.
Baca Juga Susulan insiden kucing lompat ke atas imam ketika solat, sahkah solat itu?
Jenis senaman ringan yang boleh dibuat selepas seharian berhari raya;
a) Letak kereta di tempat yang jauh ketika beraya di rumah kawan-kawan dan berjalan kaki ke rumah mereka.
b) Gunakan tangga daripada ‘escalator’ atau lif.
c) Kayuh basikal atau berjalan kaki untuk ke rumah jiran.
d) Berdiri semasa bersembang.
e) Bermain dengan kanak-kanak.
f) Bantu tuan rumah mengemas atau apa-apa keperluan lain.