TULAR sebuah rakaman yang mencuit hati baru-baru ini, apabila seekor kucing telah melompat ke atas seorang Imam ketika mendirikan solat tarawih.
Kejadian berlaku ketika Imam Walid Mehsas mengimamkan solat tarawih di Bordj Bou Arreridj, Algeria. Dalam rakaman tersebut, kelihatan Imam Walid tetap tenang meneruskan bacaan meskipun kucing berkenaan memanjat dan cuba duduk di bahunya.
Rentetan penyebaran video tersebut, persoalan daripada warganet mula timbul berkenaan status solat beliau dan seluruh jemaah tarawih.
Tampil menjelaskan hukum solat tersebut, Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di laman Maktabah Al-Bakri menjelaskan secara umumnya di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat.
Berkaitan kucing pula, agamawan itu menerangkan kucing adalah termasuk dalam jenis haiwan yang dianggap suci (pada fizikalnya) dan bukannya najis serta ia selalu berkeliaran di sekeliling manusia.
Kabsyah binti Ka‘ab bin Malik ada melaporkan bahawa pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu dia telah menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian, datang seekor kucing meminum air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu meminum air daripada bekas tersebut.
Kemudian, Abu Qatadah perasan yang Kabsyah memandang kepadanya lalu dia bertanya: “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Kabsyah menjawab: “Ya.” Lalu Abu Qatadah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.” (Riwayat at-Tirmizi, Abu Daud, al-Nasa’I, Ibn Majah)
Hukum berkaitan kucing
Ujarnya lagi, terdapat kelonggaran dan hukum khas yang diberikan kepada kucing kerana ia termasuk dalam haiwan yang biasanya berkeliaran di tempat tinggal manusia atau dijadikan sebagai haiwan peliharaan.
Baca Juga Imam cedera ditikam ketika menunaikan solat Subuh dalam masjid di Amerika Syarikat
“Al-San‘ani menyebutkan dalam kitabnya bahawa ALLAH SWT telah memberikan kelonggaran kepada hamba-Nya (hukum berkaitan kucing) dengan menjadikannya tidak najis, bagi menghilangkan kesusahan kepada manusia, dan hadis ini merupakan dalil bahawa kucing itu adalah suci, begitu juga bekas minumannya (air yang telah diminum).
“Menurut Imam al-Nawawi, dalam mazhab al-Syafi‘i, air baki jilatan kucing itu adalah suci dan tidak makruh menggunakannya. Ibn Qudamah juga ada menyatakan bahawa bagi setiap haiwan hukum kulitnya, bulunya, peluhnya, air matanya atau air liurnya adalah mengikut hukum bekas minumannya (air yang telah diminum) sama ada suci atau najis.
“Seterusnya, berkenaan bulunya pula, al-Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa bahagian yang terpisah daripada haiwan yang hidup, hukumnya adalah seperti bangkainya. Dalam erti kata lain, haiwan yang hidup itu, sekiranya bangkainya adalah suci maka bahagian yang terpisah itu juga adalah dikira sebagai suci.
“Oleh itu, pada asalnya menurut mazhab Syafi‘i bulu kucing yang tercabut semasa ia masih hidup dianggap sebagai najis kerana kucing termasuk dalam kategori haiwan yang tidak halal dimakan.
Baca Juga Makanan digigit kucing, boleh dimakan atau perlu dibuang?
“Walaupun begitu, ia adalah dimaafkan jika sedikit. Begitu juga dimaafkan bagi mereka yang bekerja sebagai doktor haiwan, penjaga zoo dan lain-lain kerjaya yang tidak dapat mengelakkan diri daripada kucing, termasuklah mereka yang memeliharanya,” ungkapnya.
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, beliau berpendapat bahawa solat seseorang yang mana kucing melompat atau memanjat ke atas badannya adalah tidak terbatal dan masih lagi dikira sah. Apatah lagi kucing termasuk dalam haiwan yang dianggap suci kerana ia merupakan haiwan peliharaan serta sangat jinak dengan manusia.
Ikuti kami juga di telegram