Usah ‘jaga tepi kain orang lain’, teguran Rasulullah terhadap manusia yang suka menyelongkar aib saudaranya
PELBAGAI persepsi dan tohmahan akan disebarkan apabila timbulnya kisah rumah tangga orang yang berantakan. Terlalu ramai menghukum dan tidak kurang juga yang menyokong.
Pensyarah Fakulti Pengajian Pengajian Al-Quran dan As-Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Kamilin Jamilin berkata, kalau diperhatikan dan tadabur ayat-ayat berkaitan talak atau penceraian banyak termaktub di dalam al-Quran.
Khususnya dalam surah al-Baqarah (ayat 231-235) kita akan dapati setiap ayat tu disebut elemen pengetahuan ALLAH: “ALLAH MAHA TAHU akan segala sesuatu”(231). “ALLAH mengetahui apa yang tidak kamu ketahui” (232). “ALLAH sentiasa melihat apa yang kamu kerjakan” (233). “ALLAH sentiasa mengetahui secara mendalam apa yang kamu lakukan” (234). “ALLAH mengetahui apa yang ada di dalam hati kamu” (235).
“Yakni seolah-olah ALLAH ingin memberikan isyarat bahawa urusan pertelingkahan, masalah atau penceraian rumah tangga orang ini merupakan isu peribadi yang rumit. Isteri ada versi ceritanya, baginya suami yang salah. Begitu juga dengan suami yang ada cerita tersendiri.
“Masing-masing akan menegakkan diri. Sebagai orang luar pasti kita tidak akan mengetahui kisah sebenar di sebaliknya. Hanya ALLAH sahaja yang tahu segala kebenaran di sebalik masalah pasangan tersebut.
BACA JUGA Kenapa wanita tidak digalakkan solat di masjid sedangkan zaman sekarang wanita bebas ke mana-mana?
“ALLAH juga ingin memberikan isyarat kepada pasangan yang sedang menghadapi ujian tersebut supaya sentiasa beringat bahawa ALLAH sentiasa mengawasi mereka. Setiap apa yang mereka rencana atau lakukan, tiada yang terlepas daripada pengetahuan-NYA.
“Jadi tidak perlulah kita menjadi hakim kepada kisah peribadi keluarga orang lain. Cukuplah ALLAH dan mereka yang berkenaan sahaja yang tahu dan selesaikan,” katanya.
Berkata baik atau diam
Seterusnya memetik perkongsian Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, dalam sebuah dialog yang panjang, Rasulullah pernah berpesan kepada Saidina Abu Zar beberapa perkara penting yang boleh kita praktikkan pada hari ini.
BACA JUGA Larangan berkeliaran waktu Maghrib bukan mitos
Antaranya Rasulullah berpesan kepada Abu Zar: “Hendaklah kamu banyak berdiam melainkan pada perkara kebaikan. Sesungguhnya ia menjauhkan syaitan darimu dan pembantu buat agamamu.” (Sahih Ibn Hibban)
“Kemudian, Abu Zar bertanya lagi kepada Rasulullah. “Tambahkan lagi nasihatmu kepadaku wahai Rasulullah.” Lalu Baginda antara lain berpesan kepada Abu Zar: “Hendaklah kamu menjauhi dari manusia apa yang engkau ketahui (tentang keaiban) berkenaan dirimu.” (Sahih Ibn Hibban)
“Menurut Sheikh Taha al-Afifi, perkataan Rasulullah ini bermaksud agar kita tidak banyak membicarakan tentang keaiban orang lain malah fokus kepada keperluan diri sendiri sahaja. Kata beliau: “Kemudian hendaklah kamu sibuk dengan keaiban yang ada pada dirimu dan tidak disibukkan dengan keaiban orang lain.” (Wasaya al-Rasul)
“Rasulullah juga menegur sikap sebahagian manusia yang suka melihat aib orang lain. Mereka suka mengutuk, mendedahkan aib orang lain sehingga terlupa tentang dirinya sendiri.
“Melalui hadis ini Rasulullah memberikan kita bimbingan agar sentiasa memperbaiki diri dan tidak terlalu sibuk bercakap tentang keaiban orang lain. Mereka seronok bersembang mengenai keaiban manusia sehingga terlupa akan kekurangan dirinya sendiri,” ungkap beliau di laman media sosialnya.