BERKAITAN wanita afdal solat di rumah atau masjid merupakan khilaf yang banyak dibincangkan oleh para ulama, ada yang berpegang dengan hukum makruh dan ada juga yang mengharuskan.
Dalam hal ini, Ustazah Asma’ Harun berpendapat bahawa wanita juga dibolehkan solat di masjid sepertimana kaum lelaki tetapi bersyarat seperti:
Terjaga daripada fitnah, tidak terabai tanggungjawabnya kepada suami, diizinkan oleh suami (kecuali jika bagi tujuan menuntut ilmu sekiranya suami tak mampu memberi didikan agama).
Menutup aurat dengan sempurna, bertambah khusyuk dan ilmunya jika solat di masjid, tidak melakukan perkara maksiat seperti mengumpat atau perkara yang melalaikan jika ke masjid.
Sebenarnya fitnah bagi wanita yang pergi ke pasaraya, pusat hiburan, panggung wayang, taman rekreasi, dan lain-lain lebih besar berbanding wanita yang ke masjid, apatah lagi jika pergi ke masjid bersama ahli keluarga seperti Ibu Bapa atau suami.
Namun sebagai langkah berjaga-jaga, Islam meletakkan garis panduan supaya tidak timbul fitnah kepada wanita dengan tujuan untuk melindungi.
Berikut adalah perbahasan para ulama berkenaan persoalan tempat solat yang afdal bagi wanita.
Tempat solat terbaik bagi wanita
Dari Ibnu Mas’ud Nabi SAW telah bersabda: “Solat seorang wanita di rumahnya adalah lebih baik daripada solat di halaman rumahnya dan solat di bilik tidur / bilik persendirian adalah lebih baik daripada solat di rumahnya”. (Hadis Riwayat Abu Daud)
Hadis di atas menjelaskan bahawa tempat terbaik bagi seorang wanita untuk mendirikan solat adalah di RUMAH, namun bagaimana dengan keadaan bagi seorang wanita yang ingin solat di MASJID?
BACA JUGA Nukilan surat Adam Ayyad sebelum syahid yang meruntun jiwa
Para fuqaha berbeza pendapat tentang perkara ini. Disini terdapat dua pandangan:
Pendapat Pertama: Dibolehkan bagi wanita menunaikan solat di masjid
Jumhur ulama berpendapat bahawa DIBOLEHKAN bagi kaum wanita menunaikan solat di masjid kerana tiada nas yang melarang dan dalil-dalil yang mengharuskannya adalah lebih jelas dan kuat.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda “Janganlah kamu melarang hamba-hamba ALLAH dari kalangan wanita untuk pergi ke masjid, tetapi mereka boleh keluar dalam keadaan tidak memakai wangi-wangian” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Antara pandangan lain adalah:
1) Dr Auqof di dalam kitab beliau Mausuah Fiqhiyah Kuwaitiyah menyatakan bahawa SUNAT bagi suami mengizinkan isterinya untuk hadir berjemaah di masjid.
2) Di dalam kitab Al-Mughni, Ibnu Qudamah juga turut menyatakan pendapat beliau iaitu “Dibolehkan bagi wanita menghadiri solat jamaah bersama lelaki, disebabkan para wanita terdahulu solat berjemaah bersama Nabi SAW.”
3) Imam Ibnul Jauzi juga dalam karangan beliau Kitab Ahkamun Nisa’ menyebut bahawasanya HARUS bagi seorang perempuan untuk keluar ke masjid untuk solat berjemaah bersama kaum lelaki”
BACA JUGA Perlu ke asingkan saf kanak-kanak ketika solat? Hadamkan penjelasan agamawan ini
4) Dr Yusof al-Qaradawi juga menyebut “Jika tujuan seorang wanita ke masjid hanyalah untuk berjemaah tanpa sebarang faedah lain, maka lebih baik baginya untuk solat di rumah. Akan tetapi, jika ada faedah lain seperti mendengar tazkirah keagamaan, mempelajari sesuatu ilmu atau mendengar bacaan al-Quran daripada qari yang khusyuk, maka pergi ke masjid itu adalah lebih baik baginya”.
Berdasarkan pada pendapat beliau, jelas bahawa tuntutan untuk terus menuntut ilmu tidak dikhaskan kepada kaum Adam semata-mata malahan kepada setiap individu yang bergelar Muslim.
Namun, sekali lagi perlu diingatkan kepada para wanita perlulah SEGERA PULANG ke rumah setelah menunaikan segala keperluannya di luar.
Dan ini bertepatan dengan kaedah Fiqh al-Awlawiyat yang mana sekiranya terdapat dua suruhan yang saling bertembung iaitu antara menjaga diri dan menuntut ilmu, maka HARUSLAH kita mengambil suruhan yang memberi manfaat pada jangka masa yang lebih panjang dan impak yang lebih besar terhadap seseorang Muslim itu.
Pendapat Kedua: Makruh bagi seorang wanita menunaikan solat di masjid
Ulama muta’akhir (terkini) Hanafiah MEMAKRUHKAN para wanita untuk ke masjid bagi mengelakkan berlakunya fitnah. Pendapat ini disokong oleh Imam an-Nawawi rahimahullah di dalam kitab beliau Raudhah al-Talibin yang menukilkan :
Maksudnya: Adalah MAKRUH bagi seorang wanita untuk menghadiri solat berjemaah di masjid jika meninggalkan rumah dan menghadiri solat jemaah itu akan MENIMBULKAN FITNAH dan suami berhak MELARANG isteri daripada menghadiri solat jemaah / keluar rumah dan perbuatan suami itu tidak dikira berdosa. Larangan yang terdapat di dalam hadis adalah bersifat makruh tanzih (tegahan). Ini kerana hak bagi seorang isteri untuk berada di dalam rumah adalah sesuatu yang wajib. Maka tidak boleh meninggalkan rumah dengan tujuan mencari fadilat.
Ustazah Asma menyimpulkan, tempat solat TERBAIK untuk wanita adalah di rumahnya sendiri berdasarkan hadis-hadis Nabi SAW. Jumhur ulama MEMBOLEHKAN para wanita menunaikan solat di masjid kerana tiada larangan dari Nabi SAW.
“Di sisi Ulama Hanafiah, MAKRUH bagi seseorang wanita menunaikan solat di masjid kerana boleh timbulnya fitnah dan kemudaratan. Dr Yusuf al-Qaradawi berpendapat bahawa wanita LEBIH BAIK solat di MASJID sekiranya ada tujuan lain yang bermanfaat selain daripada solat jemaah.
“Empat syarat yang perlu diikuti untuk MEMBOLEHKAN wanita ke masjid iaitu, mendapat keizinan suami/wali, menjaga aurat dan tidak berhias (tabaruj), tidak memakai bau-bauan yang melampau dan tidak ada pencampuran (ikhtilat) antara lelaki dan perempuan,” titip beliau di laman facebook.
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus