KONSEP penyelesaian pertikaian di luar Mahkamah semakin hari semakin mendapat sambutan daripada masyarakat.
Sesungguhnya Islam menganjurkan perdamaian terhadap apa saja pertikaian berdasarkan konsep reda meredai dan tolak ansur.
Sulh atau mediasi merupakan alternatif kepada kaedah perbicaraan yang kebiasaannya memakan masa yang lama dan melibatkan kos yang tinggi.
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN SULH?
Menurut Jabatan Kehakiman Syariah Pulau Pinang, ia merupakan suatu proses dimana pihak-pihak yang terlibat di dalam suatu pertikaian terhadap satu atau beberapa tuntutan di panggil dan dipertemukan di dalam suatu majlis perundingan terpimpin secara rasmi.
Ia diatur oleh mahkamah berdasarkan prosedur tertentu dan sekiranya perdamaian tercapai ia akan di keluarkan sebagai suatu perintah mahkamah tanpa perlu melalui proses perbicaraan biasa.
Selain itu Majlis Sulh ini juga dikenali sebagai proses penyelesaian pertikaian secara alternatif – ADR Alternatif Dispute Resolution.
Dengan perlaksanaan Sulh, dibuktikan bahawa imej Mahkamah Syariah dapat dinaikkan melalui peningkatan kes berjaya diselesaikan.
PELAKSANAAN SULH
Menerusi satu kajian yang dilakukan oleh Siti Noraini Binti Haji Mohd Ali dan Zulkifli Hasan mengenai perlaksanaan sulh dan keberkesanannya di Mahkamah Syariah Selangor, Kaedah Sulh boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk tetapi bergantung kepada tuntutan atau permohonan yang dibawa oleh pihak bertikai.
Ini termasuk rundingcara atau kaunseling rumahtangga, Hakam dan Jawatankuasa Pendamai dalam isu syiqaq atau perbalahan dalam masalah rumahtangga dan Majlis Sulh atau Mediasi.
Majlis Sulh boleh dihadiri oleh pihak-pihak itu sendiri atau dihadiri mana-mana peguam syarie.
Tuntutan atau permohonan yang dibuat mestilah melibatkan hak dan tanggungjawab dalam hal ehwal kekeluargaan Islam di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.
SULH BERJAYA SELESAIKAN 15,294 KES PERTIKAIAN SECARA BAIK
Menerusi petikan yang dikeluarkan oleh AlHijrah Online semalam, statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menunjukkan 72 peratus atau bersamaan 15,294 kes pertikaian sepanjang 2019-2022 berjaya mencapai persetujuan secara baik selepas melalui prosiding sulh.
Baca juga Gula-gula gelatin babi, apakah hukumnya jika sudah lama makan?
Antara kes yang dikehendaki menjalani prosiding Sulh termasuklah nafkah isteri, nafkah anak, idah, mut’ah, harta sepencarian, hadhanah, ganti rugi pertunangan, ganti rugi perkahwinan dan tuntutan kembali taat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata melalui kaedah Sulh yang diperkenalkan sejak 2002, pihak Mahkamah Syariah dapat memberi keadilan segera dan memendekkan masa penyelesaian sesuatu kes.
Kejayaan ini tidak dapat dicapai tanpa ada pegawai-pegawai Sulh yang berkemahiran dan kompeten,” katanya dalam catatan di Facebook selepas hadir program Out Reach Sulh di Putrajaya.
Menurut JKSM, pihak-pihak yang memfailkan tuntutan selepas perceraian di Mahkamah Syariah dikehendaki untuk menjalani proses Sulh bagi menyelesaikan pertikaian secara baik sepertimana yang termaktub menurut seksyen 99, Akta tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1998 (Akta 585).
Walaubagaimanapun, masih terdapat segelintir masyarakat yang enggan menghadiri prosiding tersebut atas faktor keegoan dan kejahilan.
Oleh sebab itu, penganjuran program seperti Out Reach Sulh dilaksanakan JKSM bagi memberi lebih kefahaman kepada masyarakat terhadap proses Sulh.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata langkah untuk melaksanakan sulh itu diambil bagi mempertingkatkan serta memartabatkan sistem perundangan syariah secara holistik selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.