BEBERAPA tahun lepas, status halal satu produk yang amat digemari ramai iaitu gula-gula White Rabbit menjadi perbualan netizen setempat dan perkara itu telah menerima keputusan yang muktamad daripada pihak kementerian.
Menerusi laporan TV Al- Hijrah pada 2019, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama pada waktu itu, mengesahkan gula-gula tersebut mengandungi gelatin yang tidak halal.
Menurut beliau, status halal gula-gula White Rabbit itu dibuktikan menerusi beberapa siri ujian makmal yang dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Saya telah pun mendapat maklum balas daripada pihak JAKIM. Ujian mendapati terdapat gelatin dari sumber haiwan babi bo-vign dan gelatin dari sumber lembu yang tidak boleh disahkan halal,” katanya.
Jelas beliau lagi, dia menasihatkan pengguna khususnya beragama Islam memastikan tanda halal sebelum membeli apa jua produk.
“Ini tanggungjawab pengguna, bagi pihak JAKIM pula saya telah meminta mereka menulis surat kepada beberapa kementerian untuk siasatan lanjut kerana produk ini tidak menulis gelatin jenis apa. Kandungan yang tidak jelas ini mengelirukan pengguna,” katanya.
Sudah tentu ramai yang ‘menikmati’ gula ini sejak dahulu, hanya tahun 2019 ia disahkan tidak halal dan mempunyai DNA babi.
Sebelum itu juga, Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei (MoRA) telah mengesahkan gula-gula susu White Rabbit merupakan salah satu produk yang tidak halal selepas laporan ujian makmal mendapati terdapat kandungan protein khinzir dalam ramuannya.
Berikutan pengumuman berkenaan, beberapa pembuat ais krim di Brunei telah menghentikan pengeluaran ais krim berperisa White Rabbit di cawangan-cawangan mereka.
Demikian perincian artikel yang dikongsi oleh syariahscreener apabila Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan gula-gula white Rabbit adalah tidak halal.
Namun, bagaimana pula jika sudah termakan gula-gula ini?
Dr. Zaharuddin Abd Rahman, penasihat kewangan syariah di halaman Facebooknya menjelaskan bagi mereka yang sudah lama memakan gula ini, tidak perlu menyamak mulut dan perut. Cukup untuk beristighfar terhadap ALLAH SWT dan boleh juga meghilangkan rasa bersalah dengan bersedekah.
Baca juga Sunnah tutup makanan dan minuman walaupun dengan sebatang kayu, ini sebab-sebabnya
Bagimanapun, tidak berdosa bagi mereka yang memakannya dahulu tanpa sedar ia tidak halal.
Ini berdasarkan firman ALLAH SWT “Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu TERSALAH (TANPA SENGAJA) padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang DISENGAJAKAN oleh hatimu. Dan adalah ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Surah Al-Ahzab ayat 5)
Maka, yang berbahaya dan dosa adalah apabila sudah tahu sesuatu perkara itu haram, tetapi masih disengajakan, seperti minum arak, merokok, berjudi, sertai pelaburan riba dan sebagainya.
Dalam Islam setiap perkara yang halal mahupun haram telah ditetapkan dalam nas-nas syarak.
Hal ini telah dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya perkara yang halal itu sudah dijelaskan dan perkara yang haram itu pun jelas (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Memetik artikel Mufti Wilayah di dalam Irsyad Al-Fatwa siri ke- 441 mengenai produk Muslim yang tiada status halal, Jika ada yang telah makan makanan tersebut maka hukumnya adalah dimaafkan.
Perkara ini berlandaskan dalil-dalil syarak yang memberikan hukum berdasarkan kepada keadaan asalnya iaitu halal sehingga terdapat bukti yang mengubahnya dan memberikan keuzuran dan keringanan dalam perkara yang tidak disengajakan dengan syarat penelitian melalui logo halal pada paket pembungkus sudah dilakukan terlebih dahulu.