Ramadan semakin ke penghujungnya. Persis seorang tetamu agung yang telah lama bertandang dengan membawa rahmat dan maghfirah Ilahi kepada tuan rumah akhirnya tiba masa dan saat untuk mengundurkan diri.
Sebelum Ramadan berlalu pergi, segala kebaikan yang ada bersamanya seyogia diraih semampu mungkin. Alangkah ruginya jika Ramadan yang penuh dengan rahmat dan pengajaran ini tidak dimanfaatkan semaksima mungkin.
Antara kebaikan Ramadan, ia mengajar seseorang untuk mengawal kehendak diri yang juga disebut sebagai ‘self-control’. Bagaimana ‘self-control’ terbentuk dalam diri? Apabila berpuasa dengan ikhlas, berpaksikan iman yang teguh, seseorang akan berasa bahawa dia sentiasa diawasi dan diperhati oleh Allah SWT.
Dengan itu dia akan tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan tuntutan puasa walaupun dia boleh sahaja makan dan minum di saat bersendirian dan selepas itu berpura-pura masih meneruskan puasa.
Kesedaran kendiri bahawa diri sedang diawasi ini disebut sebagai muraqabah. Al-Harith al-Huhasibi ketika ditanya tentang muraqabah, menjawab: (Ia adalah) ilmu hati tentang dekatnya Ilahi (Sharh Kalimat al-Ikhlas, 124).
Jadi, seseorang yang meyakini bahawa Allah sentiasa dekat kepadanya, melihat segala gerak lakunya serta kata bicaranya sudah tentu akan menjaga perbuatan, perkataan, bahkan lintasan hatinya agar sentiasa berada di posisi terbaik untuk dipersembahkan kepada Allah SWT.
Al-Tuwaijri mengatakan bahawa muraqabah merupakan inti pati kesempurnaan rohani dengan merasakan kehadiran Allah sehingga mencetuskan ketakutan, cinta dan ikhlas kepada-Nya dalam sesuatu perkara.
Sebagai contoh, apabila berada pada martabat muraqabah, sudah tentu seseorang yang berpuasa itu akan melaksanakan saranan Rasulullah SAW seperti yang terdapat dalam satu hadis riwayat al-Bukhari iaitu tidak bercakap keji dan tidak meninggikan suara.
Dia tidak bercakap mengenai sesuatu yang keji atau buruk agar puasanya menjadi benar-benar sempurna. Dengan kata lain, dia bukan sahaja meninggalkan perkara yang dilarang (al-Manahi) tetapi juga menjauhi perkara yang melalaikan (al-Malahi) dan tidak bermanfaat.

Tingkatkan amal ibadat di bulan paling mulia ini.
Kekuatan orang berpuasa
Seorang Muslim yang berpuasa juga tidak akan bercakap dengan nada yang tinggi dan nyaring, menjerit-jerit, meracau serta merepek mengenai sesuatu tanpa keruan seperti seorang yang tidak cerdik juga tidak berfikiran waras (Lihat: Mirqah al-Mafatih fi Sharh Miskat al-Masabih: 4/1363). Sesuai dengan saranan Rasulullah SAW, Saidina Ali pernah berkata: “Sebenarnya puasa itu (bukanlah hanya menahan diri) daripada makan dan minum, tetapi (menahan diri) daripada memperkatakan sesuatu yang bohong, batil dan sia-sia (Jam` al-Jawami`: 18, 250).
Lebih daripada itu, seorang yang mempunyai self-control yang mapan hasil daripada muraqabah berterusan, apabila dicela atau diajak bergaduh dia sekali-kali tidak akan membalas celaan tersebut apatah lagi menyahut cabaran untuk melakukan perkara yang lebih buruk daripada itu.
Dalam situasi itu dia akan berkata: “Saya sedang berpuasa” melalui lisan atau hatinya. Dia berkata: “Saya sedang berpuasa”, melalui lisannya supaya yang berada di hadapannya berhenti daripada melakukan perkara tersebut.

Mendidik anak akhlak yang mulia sejak kecil.
Dalam hal ini dia seolah-olah berkata: “Dalam keadaan berpuasa, tidak elok untuk saya membalas cacian atau cacauan awak dan sebenarnya awak juga tidak patut memprovokasi saya dia saat ini kerana ia bukanlah perbuatan bermaruah, tidak juga perbuatan yang boleh diterima umum”.
Maksud lain dari ucapan itu ialah: “(Saya sedang berpuasa), oleh itu tidak patut awak menyakiti saya dengan kata-kata atau perbuatan kerana saya sekarang berada dalam (dhimmah) jagaan Allah. Sesiapa yang mengganggu jagaan Allah nescaya akan mendapat nahas. Dalam masa yang sama, saya juga tidak patut memarahi awak atau membalas perbuatan yang awak lakukan terhadap saya”. Inilah tujuan dari ucapan: “Saya sedang berpuasa” melalui lisan.
“Saya sedang berpuasa” yang ditegaskan dalam hati pula bertujuan agar dia tahu dan meyakini tidak pantas untuk berbicara dengan kata-kata keji atau untuk marah (kepada orang yang mengeji atau menyakitinya). Hadis riwayat al-Bukhari ada menyatakan: “Hendaklah dia berkata: “Saya sedang berpuasa” sebanyak dua kali.
Mengulas hadis ini, al-Zarkashi berkata: “Iaitu dia mengatakan dengan hati supaya dapat menahan dirinya daripada membalas celaan lawan, juga berkata dengan lisannya supaya lawannya berhenti daripada melakukan sesuatu yang melampau (Siyar A`lam al-Nibala: 12/536).
Orang berpuasa miliki pendirian yang tegas
Ucapan atau penegasan: “Saya sedang berpuasa” dan tindakan terpuji yang dilakukan itu memberi satu gambaran bahawa seseorang itu mengetahui, menyedari dan meyakini gerak-geri dan tingkah lakunya sedang diperhatikan dan dinilai. Keimanan kukuh dan keyakinan jitu inilah yang memperkasakan sang Muslim dan memungkinkannya untuk mengaplikasikan self-control sehingga berjaya menempatkan dirinya dalam kalangan mereka yang mencapai objektif kewajipan puasa iaitu: “Supaya kamu bertaqwa” (Al-Baqarah: 183).
Untungnya, self-control yang terbina hasil latihan kerohanian madrasah Ramadan yang menghidupkan kepatuhan dan pengabdian diri berprinsipkan “seolah-olah kamu melihat Allah atau menyakini benar-benar Allah melihatmu” ini tidak berakhir dengan berakhirnya Ramadan, bahkan praktikkan berterusan selepas Ramadan dalam setiap perkara, masa dan tempat.
Sejarah memperlihatkan melalui elemen muraqabah ini terbina keteguhan jiwa seorang gadis pada zaman Khalifah Umar r.a. yang enggan mencampurkan susu yang dijual dengan air walaupun disuruh ibunya kerana Khalifah Umar melarang berbuat demikian. Ibunya tetap menyuruhnya melakukan perbuatan yang salah itu dengan alasan Khalifah Umar dan pembantunya tidak mengetahui.
Si anak lantas menjawab dengan penuh yakin dan tegas: “Demi Allah saya tidak akan hanya taat kepada (perintah) baginda (Khalifah Umar) di tempat yang terang dalam pada itu melanggarnya di tempat yang sunyi!” (Tarikh Dimashq: 70/253)
Mari kita sama-sama bayangkan kebaikan, kemakmuran dan ketenangan yang bakal terjelma dalam masyarakat dan negara di kala self-control menunjang teguh dalam setiap diri. Ketika itu pasti sabar akan menjadi benteng, sogokan tidak lagi penting, ikhlas sentiasa dicari, hati senantiasa disuci, maslahah diri tidak menjadi misi, mafsadah umum sentiasa dihindari, dunia tidak mengusai diri, akhirat sentiasa bertakhta di hati, perseteruan jika ada terus diakhiri, perdamaian mengganti subur di hati.
Kalau begitu, insan yang bersifat taufah, alpa dan lupa-lupaan ini berdayakah untuk berjuang menempatkan diri di fasa itu? Adakah dengan semudah itu sifat terpuji hinggap menghias diri, sifat keji ternyah pergi dan nikmat kebaikan akan dikecapi? Jawapannya sudah tentu tidak, kerana jalan kebahagiaan itu berliku-liku, dipenuhi onak duri dan kepahitan yang tidak lekang.
Sementelahan syurga bukanlah barangan murah yang boleh dibeli dengan mudah. Walaupun begitu Allah tidak akan mempersiakan hamba-Nya yang sentiasa berusaha mendapatkan hidayah, sesuai dengan maksud firman-Nya:
Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. (Al-‘Ankabuut 29:69).
Antara tafsiran ayat ini, mereka yang bermujahadah itu ialah; yang melawan hawa nafsu kerana takutkan Allah, yang bersungguh-sungguh melakukan amalan taat dan menjauhi maksiat kerana inginkan ganjaran pahala daripada Allah dan takutkan siksaan-Nya, yang bermujahadah untuk bertaubat dari dosa mereka. “Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami” pula ditafsirkan dengan; memimpin mereka ke jalan syurga, memimpin mereka kepada agama yang benar, menjadikan niat mereka ikhlas, juga amalan sedekah, solat dan puasa mereka (Tafsir al-Mawardi: 4/294-295). Sama-samalah kita mengumpul tenaga demi mempertingkatkan lagi amal ibadah dalam Ramadan yang berkat ini.
Ya Allah…
Ramadan-Mu mengunjungi kami dengan sejuta keberkatan dan tanpa kami sedar telah hampir detik perpisahan. Dalam termangu kami menghitung amalan baik yang kami lakukan. Rupa-rupanya tiada yang patut kami banggakan dengan sedikit amal yang kami persembahkan dalam keletihan tugas seharian dan kerisauan pandemik melanda. Tidak juga kami pasti di sebalik amal itu, jangan-jangan terselit amarah yang mengurangkan atau atau penyakit hati yang mengganggu.
Ya Allah…
Dalam beberapa hari berbaki ini kami mohon diberikan kekuatan untuk terus mujahadan dan muraqabah agar mendapat taqwa pengawal diri yang menjadi pendorong kebaikan dan penghalang kejahatan, agar diampunkan dosa yang parah, dianugerahkan rahmat maghfirah…
Amin…
Ya Rabbal Alamin.

Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Universiti Malaya, Syed Mohammad Hilmi Syed Abdul Rahman.
Syed Mohammad Hilmi b Syed Abdul Rahman
Penulis merupakan pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya