SATU ketika dahulu, majlis ilmu hanya menjadi tumpuan golongan bersara sahaja. Namun kini situasi kian berubah apabila ramai anak muda dahagakan ilmu agama dan mula bersama menyertai majlis seperti ini.
Majlis ilmu merupakan tempat yang paling mulia di sisi Islam, dan berhimpun di dalamnya seolah sebagai tanda mensyukuri setiap nikmat yang dikurniakan ALLAH SWT. Sama ada berhimpun di masjid untuk mendengar ceramah mahupun di tempat terbuka untuk meraikan sambutan yang paling dinanti umat Islam.
Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis dan Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Dr Mohd Khafidz Soroni berkongsi di laman Facebooknya akan makna berhimpun yang sebenarnya adalah semata-mata untuk mensyukuri setiap nikmat.
Mensyukuri nikmat ALLAH SWT adalah wajib bagi setiap Mukmin yang waras. Perbuatan bersyukur ini adalah sebahagian daripada amalan berzikir kepada ALLAH SWT juga kerana Dialah Tuhan yang memberikan segala nikmat dan wajib disyukuri oleh semua hamba-NYA.
Bersyukur bukan sahaja boleh dilakukan secara individu, malah boleh juga dilakukan secara beramai-ramai dalam sebuah majlis. Antara dalilnya, sahabat RA pernah duduk berhimpun untuk berzikir dan bersyukur kepada ALLAH SWT di atas limpah hidayah-NYA mengurniakan Islam kepada mereka.
Dalam riwayat yang lain, sahabat menjawab “Kami duduk untuk berdoa kepada ALLAH dan memuji-NYA atas hidayah-NYA menunjukkan kami kepada agama-NYA serta mengurniakan dirimu kepada kami.” (Hadis Riwayat Ahmad dan an-Nasa’i)
Baca juga Awas ‘kaki sembang’, ia antara perilaku yang dibenci Rasulullah SAW
Berdasarkan riwayat hadis ini, amalan berhimpun kerana berzikir dan bersyukur kepada ALLAH SWT adalah amalan yang ada dasarnya di dalam Islam. Asas kesyukuran yang dipanjatkan oleh mereka itu adalah kerana limpah hidayah ALLAH SWT menganugerahkan Islam atau mengutuskan Rasulullah SAW kepada mereka.
Sama ada kesyukuran mereka itu kerana Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW atau kerana baginda yang membawa Islam, adalah sama sahaja kerana kedua-duanya tidak dapat dipisahkan.
Maka, di atas roh dan semangat ini harus bagi umat Islam untuk berhimpun mensyukuri nikmat itu. Ia asas utama kepada sambutan Maulidur Rasul SAW yang diadakan oleh umat Islam saban tahun.
Jika sahabat RA dahulu berhimpun untuk berzikir dan bersyukur kepada ALLAH SWT di atas nikmat Islam atau pengutusan Rasulullah SAW kepada mereka, maka begitu juga sewajarnya jejak langkah yang perlu diikuti oleh umat Islam sekarang.
Sambutan Maulidur Rasul SAW setiap tahun sebenarnya hanya sebagai peringatan buat kita terhadap nikmat besar ini. Sebagaimana khutbah Jumaat setiap minggu itu sebagai peringatan terhadap tanggungjawab kita sebagai hamba ALLAH di atas muka bumi ini.
Perbezaanya hanyalah, peringatan khutbah Jumaat wajib hukumnya berdasarkan dalil yang khusus, sedangkan peringatan Maulidur Rasul ini hukumnya harus saja kerana dalilnya yang umum.
Baca juga ENAM amalan yang digalakkan dalam bulan Rabiulawal
Firman ALLAH SWT: “Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman.” (Surah az-Zariyat ayat 55)
Inilah sebenarnya teras pengisian dalam majlis Maulidur Rasul SAW yang diadakan, selain berselawat ke atas Baginda SAW, menyampaikan hadisnya, membaca sirahnya, mendengar syama’ilnya dan sebagainya.