BULAN Rabiulawal merupakan bulan ketiga dalam Takwim Hijrah. Bulan ini membawa satu peristiwa besar yang menjadi ingatan kepada seluruh umat manusia. Nabi Muhammad SAW telah diputerakan pada bulan Rabiulawal ini.
Banyak majlis Maulid diadakan di seluruh negara. Selain menyertai dan menghayati majlis-majlis ini terdapat juga beberapa amalan yang boleh dilakukan sebagai menzahirkan rasa cinta terhadap Baginda SAW.
Penceramah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid di laman Facebooknya berkongsi mengenai enam amalan yang digalakkan dalam bulan Rabiulawal.
1 – Memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW
Banyak kelebihan bagi mereka yang berselawat ke atas Rasulullah SAW, bahkan ALLAH dan para malaikat juga turut berselawat ke atas Baginda.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud “Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-NYA berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), ‘Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya’.” (Surah Al-Ahzab, ayat 56)
2 – Berpuasa sunat
Kita sedia maklum, bahawa kelahiran Rasulullah SAW jatuh pada hari Isnin, 12 Rabiulawal dan ada yang berpandangan, tarikh kelahiran Baginda adalah pada 9 Rabiulawal. Wallahua’lam.
Apa yang pasti, setiap tahun semasa hayatnya Baginda SAW akan berpuasa sunat pada hari kelahirannya.
Diriwayatkan dalam sebuah hadis daripada Abi Qatadah al Ansari RA, bahawa Rasulullah SAW ditanya sebab Baginda SAW berpuasa pada hari Isnin. Lalu, dijawab olehnya “Pada hari itu aku dilahirkan dan pada hari itu pula aku (untuk pertama kali) menerima wahyu.” (Hadis Riwayat Muslim)
3 – Memperbanyakkan bersedekah
Sedekah adalah satu pemberian yang diberikan oleh seorang Muslim kepada orang lain secara sukarela tanpa dibatasi oleh waktu dan jumlah tertentu.
Hukumnya adalah sunat dan sangat digalakkan. Ini merupakan salah satu sifat mulia Baginda Nabi SAW iaitu, gemar bersedekah. Banyak kelebihan yang diperolehi daripada bersedekah.
Salah satunya sepertimana firman ALLAH yang bermaksud “Orang-orang yang menafkahkan hartanya di malam dan siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah Al-Baqarah ayat 274)
4 – Menghidupkan rumah ALLAH
Rabiulawal yang sinonim dengan bulan Rasulullah SAW ini wajar dijadikan peluang buat seluruh kaum muslimin untuk mengumpulkan komuniti di rumah ALLAH seperti masjid atau surau.
Seterusnya, ‘menghidupkannya’ dengan aktiviti berfaedah yang dapat memberi manfaat bersama. Sebagai contoh mengadakan majlis ilmu, ceramah perdana berkaitan kisah Rasulullah SAW dan apa jua aktiviti yang dapat mendekatkan kita dengan ALLAH dan juga Rasul-NYA. Juga dapat menambahkan pengetahuan kita terhadap agama yang dianuti ini.
5 – Memperingati Baginda SAW
Dengan kedatangan bulan ini saban tahun ia secara tidak langsung mengingatkan kepada kita akan kelahiran manusia agung yang mulia, pembawa ajaran suci Islam ke atas muka bumi ini.
Banyak cara yang boleh kita lakukan bagi menzahirkan ingatan juga mahabbah kepada Baginda antaranya dengan memperbanyakkan selawat, menghadiri majlis ilmu yang menceritakan tentang kisah Baginda dan memuji Baginda dengan alunan qasidah.
6 – Melaksanakan sunah Baginda SAW
Sabda Nabi SAW yang bermaksud “Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara. Maka, barangsiapa yang berpegang teguh pada keduanya maka tidak akan tersesat iaitu kitabullah (Al-Quran) dan sunahku.” (Hadis Riwayat Imam Malik)
Sunah adalah segala perakuan, percakapan serta perbuatan Baginda Nabi SAW. Jika diikuti atau dilaksanakan maka akan beroleh pahala, jika ditinggalkan tidak mendapat dosa.
Baca juga Ingatan buat Nabi bukan sekadar pada Maulidur Rasul, tetapi biarlah sepanjang masa
Hakikatnya, dalam satu hari banyak sunah yang boleh kita lakukan sejak dari bangun tidur hingga kita kembali ke tempat tidur semula.
Ia bukanlah ‘wajib’ dilaksanakan dalam bulan Rabiulawal, akan tetapi bulan mengenang Rasulullah SAW ini wajarlah diambil peluang bersama untuk menghidupkannya dalam kehidupan seharian walaupun sekali seumur hidup.
Daripada Ibnu Ali As-Syu’aib, “Rasulullah SAW dilahirkan pada bulan Rabiulawal dikaitkan dengan bulan musim bunga, simboliknya bunga adalah untuk kekasih, kasih yang dikasih. Begitulah Baginda SAW sangat kasih dan rindu ummat yang merinduinya. Musim bunga kebiasaannya tidak terlalu panas tidak terlalu sejuk. Begitulah apa yang Baginda SAW telah bawa berkenaan syariat yang tidak terlalu longgar dan tidak terlalu ketat. ALLAH hendak memuliakan Rasulullah SAW dengan melahirkan Baginda pada Bulan Rabiulawal bukan pada bulan Ramadan, Syawal, Rejab mahupun bulan-bulan Islam yang lain”.
Raikan bulan terindah kelahiran insan teragung
۞اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ۞