PENYERTAAN Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 25, dalam Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2023 dilihat masih berbisa seperti kebiasannya.
Wakil Kelantan untuk kategori tilawah lelaki itu berkata, penyertaanya kali ini bukanlah untuk mencari kemenangan, tetapi manfaatkan kemahiran bertarrannumnya untuk mencari reda ALLAH SWT selain usaha menanam rasa cinta terhadap ayat-ayat al-Quran kepada penonton.
“Saya tidak pernah meletakkan harapan untuk menang dalam mana-mana pertandingan tilawah yang saya sertai.
Baca Juga Isu tauliah mengajar, JAKIM tegaskan tiada campur tangan pihak Jabatan Menteri Agama
“Pesan guru saya untuk meletakkan niat menyertai pertandingan demi mencari reda ALLAH. Hak untuk menang dan kalah itu adalah milik ALLAH,” ujarnya sebagaimana dilapor berita alhijrah online.
Bekas johan MTHQK 2020 yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan itu berkata ramai peserta yang hebat menyertai MTHQK 2023 tahun ini.
Beliau berharap negara ini akan terus melahirkan qari dan qariah yang akan memberi inspirasi kepada ramai untuk mencintai al-Quran.
Muhammad Qayyim berkata ramai menyifatkannya mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang tarrannum, namun beliau merasakan masih banyak lagi yang perlu dipelajarinya.
“Saya masih seorang yang jahil, masih perlu belajar lebih mendalam lagi,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena, Pulau Pinang.
Baca Juga Kontroversi ajaran pelik di pesantren Jawa Barat. Jakim tubuh jawatankuasa pemantau
Persembahan Muhammad Qayyim yang menggunakan al-Quran Braille pada malam kedua MTHQK 2023 menarik perhatian dan menyentuh hati ramai orang.
Sebelum ini dalam kenyataan media Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia memaklumkan Negeri Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah kepada Majlis Tilawah Dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H/2023M (MTHQK) yang dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula pada 11 hingga 16 Jun 2023.
MTHQK 2023 dijangka akan melibatkan penyertaan seramai 112 peserta daripada seluruh negeri. Secara umumnya, setiap negeri diwakili oleh lapan (8) peserta iaitu dua (2) peserta dalam pertandingan Tilawah al-Quran manakala enam (6) peserta dalam pertandingan Hafazan al-Quran.
Penglibatan seluruh negeri dalam pertandingan tahun ini menjadikan jumlah perserta Tilawah adalah seramai 29 orang; iaitu 14 orang Qari dan 14 orang Qariah dan seorang Johan Menunggu Qari.
Seramai 32 hakim terlibat iaitu 17 orang untuk menilai bacaan para peserta Tilawah. Manakala para huffaz pula akan dinilai oleh 15 hakim.
Jemaah hakim akan dipengerusikan oleh Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM.
Baca Juga Malaysia johan qariah, naib johan qari Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2022
Turut Disyorkan Cacat penglihatan, tapi celik al-Quran. Kisah adik Muhammad Adib Iskandar wajar jadi inspirasi buat kita
Aspek-aspek bacaan yang akan dinilai oleh para hakim ini ialah kelancaran bacaan (fasohah), hukum tajwid, suara, persembahan dan tarannum.
Johan peserta Majlis Tilawah Dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun ini akan mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah Dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa yang akan diadakan pada 19 hingga 24 Ogos 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.