Islam mencela pasangan yang suka mendedahkan aib…
ISLAM amat menitikberatkan hal berkaitan suami isteri terutama kepada perkara yang melibatkan aib pasangan. Hari ini penyebaran aib semakin meluas hanya dengan menggunakan teknologi serba canggih.
Terutama fenomena membuka aib pasangan secara terang-terangan, boleh dikatakan sudah menjadi barah dalam masyarakat kita tanpa ada perasaan bersalah atau malu dengan apa yang dilakukan.
Memetik perkongsian Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan Rasulullah SAW amat mencela kepada pasangan yang mendedahkan keaiban pasangannya.
“Sekiranya pasangan telah melakukan kesalahan, dosa dan maksiat, jika boleh diselesaikan dengan baik, selesaikan dengan cara yang baik. Jika sebaliknya, mahkamah adalah tempat penyelesaian terbaik. Pendedahan di media sosial bukanlah jalannya.
“Dalam al-Quran, ALLAH memberikan perumpamaan bahawa suami dan isteri itu adalah ibarat pakaian yang saling menutup keaiban mereka, saling melindungi sesama mereka, dan memelihara dari disakiti.
Firman ALLAH “Isteri-isteri kamu itu adalah seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.” (Surah al-Baqarah ayat 187)
“Menurut al-Raghib al-Asfahani, perumpamaan bahawa suami isteri itu seperti pakaian adalah kerana mereka seharusnya saling menutup keaiban dan saling memelihara air muka masing-masing.
“Dijadikan pakaian itu sebagai satu perumpamaan di dalam al-Quran bagi seorang suami adalah kerana suami akan menjadi pelindung buat dirinya dan isterinya daripada terdedahnya keburukan mereka berdua.” katanya.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW mencela lelaki yang mendedahkan rahsia sulit pasangan mereka.
Sabda Rasulullah “Sesungguhnya di antara seburuk-buruk manusia di sisi ALLAH pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang bersama dengan isterinya dan isterinya bersama dengannya (melakukan hubungan intim), kemudian dia mendedahkan rahsia isterinya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Hukum menyebarkan hubungan suami isteri
Berdasarkan hadis di atas, Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun menerangkan dengan merujuk Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan bahawa HARAM hukum bagi seorang lelaki menyebarluaskan apa yang terjadi antara dia dan isterinya pada saat bercampur (hubungan intim), memberikan gambaran terperinci, termasuk apa yang terjadi pada seorang wanita pada saat melakukannya baik dari ucapan dan perilaku bercampuran ataupun yang lainnya”. (Rujuk Syarah Shahih Muslim)
“Walaupun hadis tersebut menyebut tentang sikap suami, tetapi ulama menyebut hukum ini juga turut terpakai buat isteri dan juga merupakan peringatan keras buat keduanya sekali.
Baca Juga Suami isteri bergurau pasal cerai? Awasi 3 perkara ini tak boleh ‘buat main’ dalam rumah tangga
“Tidak salah ingin berkongsi tip kekeluargaan, rumah tangga bahagia, tapi bila sampai menjadi perbualan saling membuka aib pasangan, cerita pengalaman sendiri sebagai panduan atau menjelaskan kaedah yang sangat terperinci sehingga boleh dibayangkan dan lain-lain ia adalah dilarang.
“Rasulullah SAW bersabda “Jika engkau tidak ada lagi rasa malu, maka buatlah sesuka hatimu.” (Hadis Riwayat Bukhari)
“Ayat “buatlah sesuka hatimu” itu bukan bererti Rasulullah SAW beri kebebasan kepada kita untuk lakukan sewenangnya, tapi ia merupakan satu sindiran yang amat pedih bagi mereka yang memiliki iman. Kita bimbang jika ALLAh dan Rasulullah sudah tidak lagi peduli pada kita sedangkan Syurga-NYA dan syafaat Baginda yang kita tagihkan,” ujar beliau menerusi satu hantaran di laman Facebook.