RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Mencari yang halal adalah fardu (wajib) bagi setiap orang Islam.” (Hadis Riwayat Dailami).
Berusaha mencari rezeki dariapda sumber yang halal merupakan perkara utama yang dituntut oleh Islam. Ekonomi Islam mampu berkembang dengan pesat jika makanan yang dihasilkan itu bersumberkan perkara yang dibenarkan, bersih dengan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh agama Islam.
Memetik artikel Pejabat Mufti Wilayah di bahagian Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 441: Produk Muslim yang tiada status halal, yang manakah perlu diutamakan sama ada membeli produk bukan Muslim yang telah mendapat status logo Halal (JAKIM) ataupun produk Muslim yang rata-rata tiada logo halal (JAKIM).
Dapat dirungkaikan bahawa semua produk industri kecil dan sederhana (IKS) Muslim yang tiada logo halal (JAKIM) tidak boleh dianggap tidak halal mahupun haram. Hal ini kerana status halal tertakluk pada pada bahan-bahan yang digunakan serta teknik penyediaan yang menepati syarak.
Bijak dan teliti
Produk makanan umat Islam mestilah daripada sumber bahan mentah yang halal lagi suci. Sebaliknya, sumber bahan mentah daripada haiwan haram mahupun haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak, maka jelaslah produk makanan tersebut daripada sumber yang haram.
Baca juga Gula-gula gelatin babi, apakah hukumnya jika sudah lama makan?
Sebagai pengguna Muslim perlu bijak dalam membuat penelitian terhadap bahan-bahan yang dibeli sama ada bebas daripada unsur haram mahupun sebaliknya dan perlu berpegang pada prinsip yakini produk Muslim IKS halal sekiranya telah jelas produk tersebut bebas daripada unsur haram serta teknik penyediaan yang menepati kehendak syarak.
Panduan tersebut terbina atas dasar kaedah fiqh berikut iaitu:
‘Keyakinan tidak terluput dengan syak’
Namun, sekiranya ragu-ragu terhadap sebarang produk makanan Muslim yang tiada logo halal yang diiktiraf mahupun melihat cara penyediaan yang tidak menepati kehendak syarak seperti penyediaan makanan daripada telur ayam yang tidak dibasuh dan dikhuatiri masih melekat najis maka perlu ditinggalkan.
Daripada Hasan bin Ali RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan”. (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Jelas Mufti Wilayah lagi, pengusaha Muslim perlu peka bagi memastikan rantaian produk halal dan toyyib (suci) dengan meneliti setiap proses pengeluaran, penyediaan, pengendalian, penyimpanan, pemprosesan, pembungkusan sehinggalah penghantaran produk agar tidak tercemar daripada najis.
Tinggalkan yang ragu
Bahkan, menjadi satu tanggungjawab (taklifan) bagi pengusaha Muslim untuk menyediakan produk yang halal lagi suci kepada masyarakat Islam. Hal ini kerana pengusaha Muslim lebih jelas serta faham terhadap perkara yang telah diharamkan dalam Islam.
Seterusnya, pengusaha produk Muslim perlu terus memasarkan produk – produk yang terdapat logo halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Implikasinya, barangan yang terdapat logo halal akan terus menjadi pilihan utama untuk kegunaan seharian para pengguna Muslim.
Berdasarkan hujah yang dikemukan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat bahawa produk Muslim IKS halal sekiranya yakin produk tersebut bebas daripada unsur haram.
Namun, sekiranya ragu-ragu terhadap sebarang produk IKS mahupun melihat sendiri teknik penyediaan yang terjejas dengan najis maka perlu ditinggalkan.
Walaubagaimanapun, dinasihatkan agar pihak pengusaha produk Muslim bertindak segera memohon persijilan halal (JAKIM). Hal tersebut memberi keyakinan kepada pengguna Muslim untuk mencari produk yang terdapat logo halal tanpa syak dan ragu.
Waspada selalu, semoga kita terhindar daripada menggunakan perkara yang haram mahupun syubhah.