BERITA baik bagi mereka yang bakal menunaikan haji dan umrah. Ini kerana Presiden Agung Hal Ehwal Dua Masjid Suci bersedia untuk menerima jemaah haji dan umrah dengan Pelan Pembangunan Arab Saudi Ketiga untuk memperluas Masjidil Haram.
Fasa ketiga projek berkenaan disambung semula sejak Julai lalu selepas lebih setahun dihentikan gara-gara wabak Covid-19.
Perluasan tersebut membabitkan dataran, terutamanya kawasan di sebelah barat yang terdiri daripada tandas dan koridor.
Memetik laporan portal berita Arab Saudi terkemuka, Saudi Gazette, Pengarah Pentadbiran Am Pengembangan Masjidil Haram, Walid Al-Masoudi menjelaskan, kemudahan eskalator telah beroperasi untuk memudahkan pergerakan para jemaah antara setiap tingkat kawasan perluasan masjid berkenaan.
“Selain itu, turut disediakan sistem penyaman udara yang dikendalikan secara elektronik mengikut keadaan cuaca, di samping sistem pencahayaan mengikut piawaian yang mengambil kira keperluan mata secara visual.
“Kemudahan sistem bunyi juga disediakan dengan memadankan setiap tapak dengan sistem elektronik automatik dan sistem pemadam kebakaran automatik,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal tersebut pada hari ini.
Dalam pada itu, Al-Masoudi menjelaskan, dalam fasa ketiga itu, beberapa perkhidmatan bersepadu turut disediakan.
Antara lain katanya, ia melibatkan kerja-kerja mewangikan karpet secara berkala, menyediakan air zamzam yang disejukkan dan menyediakan salinan al-Quran dalam pelbagai bahasa.
“Semua ini mewujudkan suasana kerohanian kepada para jemaah untuk melaksanakan ibadah mereka dengan lebih tenang dan selesa, selain usaha berterusan kami dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah serta pengunjung Masjidil Haram,” katanya.
Sebelum ini, fasa ketiga perluasan masjid agung itu terpaksa ditangguhkan lebih setahun susulan wabak Covid-19.
Baca juga Arab Saudi Beri Kebenaran Pegawai Tentera Wanita Jaga Dua Kota Suci Buat Kali Pertama
Begitupun, projek tersebut akhirnya disambung semula pada bulan Julai lalu dengan kerja-kerja pembinaan, elektromekanikal dan kemasan seni bina di Masjidil Haram.
Difahamkan, pembesaran masjid agung itu adalah yang terbesar dengan meningkatkan keluasan kepada 1.5 kilometer persegi.
Menurut portal Arab News, banyak pengubahsuaian telah dilakukan untuk mengembangkan Masjidil Haram bagi meningkatkan kapasiti jemaah.
Perluasan masjid agung yang pertama dilakukan sekitar tahun 1955 dan 1973. Ia melibatkan penambahan empat buah menara, memperbaharui siling dan lantai digantikan dengan marmar.
Kali kedua ia dilakukan di bawah pemerintahan Raja Fahd bin Abdulaziz Al Saud iaitu antara tahun 192 dan 1988. Antaranya, baginda menambah kawasan solat di luar masjid. Kemudian pada tahun 1988 dan 2005, sekali lagi Masjidil Haram diperluas.
Ketika pemerintahan Raja Abdullah, masjid itu diperluaskan buat kali ketiga pada tahun 2008.
Pada Julai 2015, Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud melancarkan perluasan Masjidil Haram. Projek itu antara lain meningkatkan kawasan masjid sebanyak dua pertiga.
Ia melibatkan lima projek utama termasuklah pembesaran bangunan utama masjid, pembinaan gelanggang, terowong pejalan kaki, menaik taraf sistem perkhidmatan pusat dan membangunkan jalan lingkar pertama di sekeliling masjid.
Perluasan tersebut merupakan tambahan penting untuk menerima jemaah memandangkan ruang solat terdapat di dalamnya, selain mekanisme kawalan orang ramai dan bilangan koridor yang banyak antara kawasan solat.
Foto: Saudi Gazette