SETIAP kali Ramadan, pasti akan muncul di halaman atau ‘fyp’ media sosial akan satu budaya iaitu kejutkan sahur. Selalunya tradisi ini begitu sinonim dengan negara jiran, Indonesia.
Tradisi ini sangat meriah dengan suasana masyarakat yang menyambut baik acara ini. Sambil berarak, mereka akan berselawat sebelum semuanya pulang ke rumah untuk bersahur.
Baru-baru ini tular sebuah video yang menunjukkan tradisi ini telah dilakukan di sebuah taman perumahan di Malaysia.
Rata-rata netizen tidak menyangka bahawa tradisi itu turut dilakukan di sini. Isunya bermula apabila penduduk setempat di kawasan ini meneruskan ‘tradisi’ kejut sahur dengan berselawat sambil bergendang secara kuat untuk mengejutkan orang ramai bersahur.
Meskipun aktiviti yang dijalankan bertujuan untuk mengejutkan orang ramai bangkit bersahur, namun ada segelintir berpendapat bahawa tindakan yang dilakukan mengundang kepada bidaah.
Perkongsian yang dibuat telah mendapat perhatian ramai yang meluahkan pendapat isu yang dialami para bayi yang terpaksa berjaga gara-gara mendengar bunyi gendang yang kuat.
Tidak kurang juga yang peka dengan perasaan golongan bukan Islam yang mungkin terganggu dengan aktiviti kejut sahur ini.
Baca Juga Islam tidak benarkan memasang pembesar suara masjid dengan kuat di luar waktu solat
Apabila perkara ini sudah menjadi bualan yang majoritinya umat Islam, adakah tradisi ini masih boleh diteruskan dan apa hukumnya di sisi Islam?
Mengulas lanjut mengenai perkara ini, Pensyarah di Fakulti Pengajian Pengajian al-Quran dan as-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ahmad Kamil Jamilin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kamilin Jamilin tampil menjelaskan budaya perarakan bising untuk mengejut kejiranan bangun sahur ini perlu dihentikan.
Ujarnya, perbuatan tersebut mungkar dan bercanggah dengan syariat Islam yang menuntut untuk menghormati jiran tetangga. Tak semua kejiranan yang perlu bangun bersahur.
“Ada yang uzur. Ada keluarga yang memiliki anak-anak kecil. Ada yang bukan Muslim, ada yang menguruskan waktu bangunnya tersendiri. Ada yang sedang solat malam mencari ketenangan.
Baca Juga ‘Tidur orang berpuasa adalah ibadah’, hadis popular ketika Ramadan tetapi tidak sahih
“Waktu tersebut adalah waktu istighfar, bukan dengan memekik melolong memukul gendang. Kalau masjid pun dilarang untuk menggunakan speaker luar selain azan kerana menghormati hak-hak tersebut, apatah lagi perbuatan seperti ini yang tiada kena mengena dengan Islam,” katanya.
Beliau menegaskan lagi, bahawa zaman sekarang adalah zaman telefon bimbit. Sebaiknya gunakanlah kecanggihan teknologi yang ada ini seperti set ‘alarm’ telefon sebagai penggera untuk kejutkan sahur.
Ikuti kami juga di telegram