Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan melaksanakan kutipan derma di masjid-masjid di bawah seliaan JAKIM (Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya) manakala Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan melaksanakan kutipan derma di masjid/surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, pada setiap hari Jumaat selama tiga minggu berturut-turut iaitu bermula 10 Februari 2023.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’Im Hj. Mokhtar menerusi satu siaran akhbar berkata, sumbangan umat Islam ini akan disalurkan kepada tabung rasmi yang diuruskan oleh Kerajaan Malaysia untuk membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin mengesyorkan kepada pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri untuk turut mengadakan kutipan derma dan sumbangan umat Islam menerusi masjid-masjid di seluruh negara untuk disalurkan kepada program bantuan kemanusiaan di Turkiye dan Syria,” ujarnya.
Meskipun kecil, namun sumbangan rakyat Malaysia akan dapat membantu urusan menyelamat dan meringankan beban mangsa bencana di Turkiye dan Syria yang kini sedang dilanda ujian besar.
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin mengesyorkan kepada pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri untuk turut mengadakan kutipan derma dan sumbangan umat Islam menerusi masjid-masjid di seluruh negara untuk disalurkan kepada program bantuan kemanusiaan di Turkiye dan Syria
Firman Allah SWT dalam potongan Surah Al-Maidah, ayat 2 yang bermaksud:
Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam membuat kebajikan dan bertakwa. Dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa (maksiat) dan pencerobohan (melampaui batas-batas ajaran ALLAH), dan bertakwalah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH amat berat azab-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-NYA).
Seruan yang serupa turut dilontarkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: “Barangsiapa memudahkan orang yang dalam kesulitan, ALLAH memudahkannya di dunia dan akhirat.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Baca juga: Turkiye berada dalam salah satu zon gempa bumi paling aktif di dunia
Dalam perkembangan berkaitan, portal Berita Harian Singapura melaporkan, kedutaan Turkiye di negara itu telah mengeluarkan senarai bagi pendermaan barangan termasuk baju sejuk untuk orang dewasa dan kanak-kanak.
Senarai tersebut, yang dimuat naik di saluran-saluran media sosial kedutaan tersebut, menyenaraikan 16 barangan yang diperlukan seperti lampin, selimut dan makanan bayi.
Ia akan dihantar kepada mangsa-mangsa gempa bumi yang melanda Turkey dan Syria Isnin lalu.
Khemah dan beg tidur, yang diperlukan untuk tempat teduh sementara, juga diperlukan mangsa gempa yang sekuat 7.9 pada skala Richter.
Gempa tersebut sejauh ini telah mengakibatkan kerosakan besar, korban jiwa melebihi 8,700 di Turkey dan Syria dengan ribuan lagi tanpa tempat tinggal. Ini ditambah pula dengan cuaca sejuk dan gangguan elektrik.
Baca juga : Melahirkan di dunia, berpantang di syurga. Kisah ibu lahirkan anak dalam runtuhan bangunan meruntun jiwa