SEKURANG-KURANGNYA sembilan orang terbunuh termasuk tiga Komander pertubuhan gerakan Jihad Islam, selain orang awam dalam serangan udara Israel pada awal pagi semalam, Selasa (9 Mei).
Tentera Israel dalam kenyataannya mengaku kononnya menyasarkan tiga komander kanan Jihad Islam, kumpulan bersenjata kedua paling berkuasa di kawasan pesisir pantai yang dikuasai Hamas namun dalam masa sama membunuh tiga orang kanak-kanak dalam kerakusan itu.
Tiga pemimpin yang terkorban itu dikenali sebagai Tariq Ezz El-Din, bekas tahanan penjara Israel yang dibuang negeri ke Gaza dan menjadi penggerak operasi mujahdin Jihad Islami di Tebing Barat.
Khalil Al-Bahtini seorang komander Jihad Islami di utara Gaza, bertanggungjawab melepaskan roket ke atas Israel bulan lalu dan juga pemimpin jihad Ghannam iaitu sebagai Setiausaha Agung Saraya Al-Quds, cabang bersenjata Jihad Islami.
Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza melaporkan angka korban terkini adalah seramai 12 syuhada manakala 20 lagi cedera.
Turut sama terkorban adalah dua kanak-kanak dan seorang bayi, anak kepada pimpinan Jihad Islami, Tariq Ezz El-Din.
Setakat ini, 105 umat Islam Palestin telah terbunuh dalam tembakan Israel di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis sejak awal 2023, menurut pengiraan media Associated Press.
Untuk perkembangan terkini, rakyat Malaysia boleh mendapatkan maklumat di media sosial Nadir al-Nuri, aktivis yang sentiasa melaporkan suasana genting semasa di bumi Gaza.
Gaza kembali bergolak susulan penganiayaan Khader Adnan
Seperti dilaporkan Shehab News pada minggu lalu, beberapa roket ditembak dari Gaza ke arah selatan Israel, dan tentera Israel bertindak balas dengan serangan udara berikutan kematian seorang anggota kanan Jihad Islam yang mogok lapar dalam tahanan Israel, Khader Adnan.
Serangan udara terbaharu itu menyamai serangan pada 2022 yang menyaksikan Israel mengebom lokasi komander Jihad Islam, mencetuskan serangan selama tiga hari dan menyaksikan kumpulan gerakan Islam itu kehilangan dua komander tertingginya dan berpuluh-puluh pejuang lain.
Baca Juga Klinik sumbangan rakyat Malaysia antara yang terjejas akibat keganasan zionis Israel
Israel berkata serbuan di Tebing Barat bertujuan untuk merungkai rangkaian kumpulan bersenjata dan menggagalkan serangan masa depan.
Namun, rakyat Palestin melihat siri serangan Israel itu sebagai usaha bagi penjajahan maksimum Israel selama 56 tahun di tanah air mereka yang selama ini diperjuang untuk muncul sebagai sebuah negara merdeka pada masa depan.