Klinik sumbangan rakyat Malaysia antara yang terjejas akibat keganasan zionis Israel..
POLIS Israel sekali lagi menyerbu kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang dicerobohi untuk malam kedua berturut-turut dan menyerang jemaah Muslim di tapak berkenaan.
Antara yang terjejas di perkarangan tersebut adalah klinik Lapangan di Masjid al-Aqsa hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui MyAqsa Defenders pada tahun 2021 rosak teruk akibat keganasan zionis Israel.
Semasa serbuan di Masjid al-Qibli, tentera Israel menyebabkan kerosakan yang teruk ke atas klinik perubatan di lokasi itu.
Saksi melaporkan bahawa askar Israel menceroboh masuk ke klinik dan memusnahkan segala-galanya di dalamnya, meninggalkan kemudahan itu dalam keadaan kucar-kacir.
“Tidak semua sumbangan orang rakyat Malaysia datang dari orang yang senang, namun ada juga datang dari pesawah, peladang yang sanggup berjihad menyumbang untuk rakyat Palestin,” kata MyAqsa Defenders menerusi satu hantaran di Facebook mereka.
Sekurang-kurangnya 400 rakyat Palestin telah ditangkap pada hari Rabu dan kekal dalam tahanan Israel, menurut pegawai Palestin.
Mereka ditahan di balai polis di Atarot, Baitulmaqdis Timur yang dicerobohi.
Pasukan Bulan Sabit Merah Palestin melaporkan terdapat 12 kecederaan, termasuk tiga orang yang telah dipindahkan ke hospital. Ia juga berkata dalam satu kenyataan bahawa tentera Israel telah menghalang pegawai perubatannya daripada sampai ke al-Aqsa.
Baca Juga Lebih 200 jemaah ditahan selepas diserang secara agresif dalam serangan Masjid al-Aqsa
MyAqsa Defenders juga memaklumkan, episod keganasan kali ini berkait rapat dengan perayaan Paskah (passover) disambut oleh Israel yang dijadualkan bermula pada 5 April serta akan berlangsung selama tujuh hari dan satu perarakan akan berlangsung di sekitar Masjid al-Aqsa.
Lindungi Masjid al-Aqsa
Sementara itu, dalam satu wawancara Al Jazeera, Sheikh Najeh Bkeirat, Timbalan Pengarah Wakaf Islam di Masjid al-Aqsa, menyifatkan serbuan ganas itu sebagai serangan yang dirancang.
Beliau berkata polis Israel berkelakuan demikian adalah untuk menghantar mesej kepada rakyat Palestin bahawa israel adalah berdaulat tunggal ke atas al-Aqsa yang boleh menentukan siapa yang boleh memasuki tapak itu dan bila.
“Apa yang dilakukan oleh Muslimin di dalam masjid cuma berdoa? Yang mereka ada hanyalah sejadah!” katanya.
Ismail Haniyeh, Ketua Pergerakan Hamas turut menggesa rakyat Palestin di Tebing Barat dan di jajahan Israel untuk berarak ke Masjid al-Aqsa dan ‘melindunginya’.
Dalam satu kenyataan lain, Ziyad Nakhla, ketua gerakan Jihad Islam Palestin turut menyampaikan mesej yang sama.
“Peristiwa di Masjid al-Aqsa adalah ancaman kepada tempat ibadat suci kita dan rakyat Palestin mesti bersedia untuk konfrontasi tegas yang akan berlaku (dengan Israel),” katanya.