SABAN tahun pada bulan Ramadan, pasti perhatian masyarakat dunia akan terarah kepada pergolakan Palestin-Israel yang tidak pernah surut sejak sekian lamanya.
Terbaharu seperti dilaporkan agensi berita rasmi Palestin, Wafa, lebih 200 jemaah Muslim telah ditahan di Masjid al-Aqsa selepas diserang secara agresif oleh tentera zionis Israel.
Tentera zionis telah menyerbu Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang dicerobohi, menggunakan bom gas, bom tangan bunyi dan memukul jemaah tanpa belas kasihan, menyebabkan ramai yang cedera, menurut saksi dan Bulan Sabit Merah Palestin.
Berpuluh-puluh jemaah yang menghabiskan sepanjang malam menunaikan solat di bulan Ramadan cedera apabila polis Israel menyerbu masjid itu.
Keganasan Israel di Baitulmaqdis Timur yang diduduki mencetuskan gelombang protes dan kecaman daripada rakyat Palestin.
Perkara ini menimbulkan kebimbangan serta ketegangan yang lebih meluas terhadap penduduk Palestin di bulan suci Ramadan ini.
Sekurang-kurangnya 94 rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera Israel tahun ini, menurut perangkaan Associated Press.
Baca Juga Pegawai Israel dan Palestin setuju wujudkan mekanisme bendung keganasan menjelang Ramadan
Lebih 700,000 peneroka haram Israel kini tinggal di Tebing Barat yang diduduki dan menduduki Baitulmaqdis Timur.
Perkampungan al-Araqib sekali lagi dirobohkan
Semalam, portal English Wafa turut melaporkan satu lagi kekejaman pihak berkuasa Israel apabila bertindak merobohkan perkampungan al-Araqib di padang pasir Naqab untuk kali ke-215 sejak tahun 2010 dan kali ke-4 sejak awal tahun ini.
Tentera haram Israel menyerbu kampung itu dan mengeluarkan penduduk kampung terutamanya wanita dan kanak-kanak. Mereka memaksa penduduk kampung untuk keluar dan terus merobohkan rumah yang telah dibina semula oleh penduduk untuk melindungi keluarga mereka.
Setiap kali kampung itu dirobohkan dengan alasan pembinaan yang haram, penduduk Palestin akan kembali ke tanah itu dan membina semula rumah mereka.
Baca Juga Ceroboh dan serang hospital, Israel terus mengganas pada hari pertama Ramadan di Palestin
Kampung al-Araqib menempatkan sebanyak 22 buah keluarga, berjumlah kira-kira 86 orang, hidup dengan menternak dan bercucuk tanam.
Gurun Naqab adalah rumah kepada lebih 240,000 Badwi Palestin, yang kebanyakannya tinggal di kampung.
Mereka kekurangan perkhidmatan asas seperti rangkaian elektrik, air, jalan raya, sekolah dan pusat kesihatan. Penduduk kampung sering diancam untuk pindah secara paksa dan rumah mereka dirobohkan.
Ikuti kami juga di telegram