Polis Jerman pisahkan kanak-kanak lelaki Muslim daripada keluarga
PIHAK berkuasa Jerman dikecam susulan tindakan ‘menculik’ seorang kanak-kanak pendatang asing beragama Islam daripada keluarganya di Bremerhaven, lapor Agensi Anadolu.
Dalam sebuah video yang tular baru-baru ini, pihak polis Jerman bersama beberapa pegawai agensi perlindungan kanak-kanak dilihat memisahkan seorang budak lelaki secara paksaan daripada sebuah keluarga Muslim di rumah mereka.
Baca juga Berlin benarkan guru muslimah memakai hijab di sekolah
Video berkenaan turut menunjukkan kanak-kanak lelaki tersebut menangis ketakutan sambil dibawa pergi, manakala ahli keluarga lain cuba menentang tindakan pegawai polis dengan memberitahu bahawa kanak-kanak itu mempunyai masalah kesihatan dan sedang berada dalam keadaan tertekan.
Kejadian terbabit menerima kritikan daripada pengguna media sosial yang menuduh pihak polis dan pejabat kebajikan belia atas salah laku merampas kanak-kanak daripada ibu bapanya.
Baca juga Gara-gara Islamofobia, ramai profesional Muslim di Perancis cari kerja di luar negara
Baca juga Meninggal dunia selepas tiba di Mekah dengan basikal dari Jerman
Dalam pada itu, pihak polis Bremerhaven tampil mengesahkan bahawa kejadian itu berlaku, namun video yang tersebar di media sosial mempunyai ‘dakwaan palsu’ mengenai peristiwa tersebut.
“Video itu hanya menunjukkan sebahagian kecil daripada langkah yang diarahkan mahkamah untuk meletakkan kanak-kanak tersebut di bawah jagaan (agensi perlindungan kanak-kanak).
“Tindakan sedemikian (memisahkan anak daripada keluarga) merupakan pilihan terakhir dan hanya akan diambil jika mempunyai sebab yang serius,” ujar jurucakap dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Baca juga Susulan insiden 2 masjid di Minneapolis terbakar, komuniti Muslim di AS bimbang
Pegawai polis turut memberitahu, pihaknya tidak boleh memberikan sebarang penjelasan lanjut mengenai kejadian berkenaan untuk melindungi keluarga dan kanak-kanak tersebut.
Sebelum ini, timbul khabar angin mendakwa polis telah memisahkan kanak-kanak lelaki tersebut daripada keluarganya yang beragama Islam setelah menerima aduan daripada pihak sekolah bahawa kanak-kanak itu diajar oleh ibu bapanya ‘membenci’ golongan lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT).
Sumber: Agensi Anadolu