SELEPAS 73 hari di jalan raya, seorang pelarian Syria meninggal dunia selepas tiba di Mekah dari Jerman dengan basikalnya.
Memetik perkongsian di laman UmmahToday, perjalanannya dari Jerman berniat untuk melawat Mekah dan apabila sampai ke tempat yang dikehendakinya dia meninggal dunia di pinggir Mekah.
Ghazi Jassem Shahada, warga Syria berusia 53 tahun, dari Homs berhijrah ke Hamburg, Jerman, telah mempersiapkan diri bagi perjalanan panjang yang mengambil masa dua setengah bulan.
Dia telah mendokumentasikan kisah perjalanannya dalam media sosial, sekaligus memberi inspirasi kepada ribuan orang yang melihat kesungguhan dan nekad beliau. Semoga setiap pahala perjalanan beliau menuju ke Mekah akan dihitung oleh ALLAH SWT.
Kenali tetamu ALLAH yang berada Di Tanah Suci
Rasulullah SAW pernah bersabda: “Orang-orang yang menunaikan haji dan umrah adalah tetamu ALLAH. Apabila mereka memohon kepada-NYA, pasti diperkenankan. Dan apabila mereka memohon keampunan kepada-NYA, pasti diampunkan.” (Hadis Riwayat Nasa’i, ibnu Hibban dan Hakim).
Siapa sahaja yang pergi menunaikan haji dan umrah, mereka adalah tetamu ALLAH. Tidak kira dari mana datangnya seseorang itu, dari ufuk timur mahupun barat, sampai sahaja di bumi Mekah, dialah insan terpilih untuk menjadi tetamu-NYA.
Apa yang membezakan kedudukan setiap insan atau tetamu itu cumalah kedudukan dan tahap kesempurnaan jemputan tersebut, sama ada dia merupakan orang yang terpilih atau dipilih untuk menunaikan ibadah suci itu.
Seperti dikongsi oleh Mutawif Rarecation, Shauqi Hasan, secara umumnya pada pandangan beliau, para tetamu ALLAH ini tergolong kepada tiga kategori.
Katanya, golongan pertama ialah tetamu yang dijemput dengan rahmat dan reda. Mereka yang telah membuat persiapan seawal niat dan azam untuk menunaikan haji serta umrah lagi. Mereka ini jelas tujuan dan tekad mereka memang untuk berubah. Ini geng yang jihadnya untuk berhijrah sekembali pulang ke tanah air.
Baca Juga Hebatnya lelaki dukung bapa tunai umrah ibarat kisah Uwais al-Qarni
Manakala golongan kedua adalah tetamu yang diterima tapi dalam kemurkaan.Golongan ini berlawanan dengan kumpulan di atas. Ada yang pergi ke Mekah dengan niat hanya untuk berziarah atau melancong dan mengalami sendiri pengalaman sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh kebanyakkan orang yang telah menziarahinya.
“Ada juga yang dalam keadaan terpaksa mengerjakan ibadah haji kerana mengikut suami, ibu bapa, keluarga, majikan, kelab atau jemaah tertentu. Antara alasan lain terpaksa menjadi mahram.
“Ada juga yang merasai kewajipan itu pada dirinya lantas dia berusaha melayakkan dirinya, namun pelbagai niat dan persepsi yang dilahirkan hanya sekadar ‘melepaskan batuk di tangga sahaja’ tanpa membuat persiapan yang menyeluruh merangkumi niat, bekalan ilmu, iman dan amalan,” ungkapnya.
Tambah beliau lagi, kategori ketiga adalah tetamu yang diterima tetapi tidak jelas tujuan ibadahnya. Mereka dalam kategori ini pergi menunaikan haji dan umrah hanyalah sekadar kebetulan. Sekadar memenuhi kehendak semasa ataupun dalam keadaan terpaksa apabila sering disapa orang, rakan-rakan atau sanak saudara yang telah pergi menunaikannya. Seolah-olahnya hanya sebagai menyahut cabaran.
Baca Juga Pakej umrah naik harga, MOTAC perlu main peranan lebih berkesan
“Ada juga jemaah haji bila dah pulang ke tanah air masih selamba ‘istiqamah’ membuat dosa seperti membeli nombor ekor (loteri), mendedahkan aurat, menipu, rasuah, khianat dan sebagainya. Inilah sebuah realiti yang berlaku dikalangan para jemaah yang tidak memahami tujuan (maqasid) ibadah haji dan umrah yang terdapat padanya latihan, hikmah serta pengajaran.
“ALLAH tidak zalim. Pasti ada jalan keluar untuk setiap masalah dan penyakit hati manusia. Bila kita tahu diri kita sakit dan kita bersedia untuk merawat, pasti DIA bukakan hati untuk kita baiki kelemahan diri,” ujar beliau menerusi satu hantaran di Facebook.