DENGAN pendapatan hampir 5juta pound (RM26juta) setahun menjadikan karier sebagai pemain bola sepak di kelab antarabangsa bukan lagi pekerjaan yang biasa-biasa, sebaliknya menjadi impian semua pencinta sukan itu.
Kerjaya ini bukan sahaja dapat merealisasikan cinta terhadap sukan lasak itu, malah mampu memberikan pulangan luar biasa sehingga mencecah jutaan ringgit sebulan.
Di sini kita boleh lihat ramai pemain bola sepak antarabangsa mampu memiliki kehidupan serba mewah, seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Neymar dan ramai lagi.
Namun berbeza dengan pemain ini. Siapa tidak kenal dengan Sadio Mane yang dahulunya bermain untuk kelab Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris kini berhijrah ke kelab bola sepak terkenal Jerman, Bayern Munich.
Gaji yang hampir mencecah RM2 juta sebulan telah menjadikan Mane sebagai jutawan pemurah apabila pendapatan yang diterima disalurkan untuk pembangunan kebajikan di kampungnya.
Gaya hidup Mane sangat sederhana. Bukan sekadar penampilan luaran malah skrin telefonnya juga hampir retak. Jawapannya selalu sama ketika ditanya oleh wartawan mengapa dia tidak membeli yang baru, “saya masih boleh memperbaikinya”.
Baca juga Sikap pemurah lekat makanan di kenderaan, raih pujian warganet
“Saya mampu membeli ribuan telefon baharu, 10 buah Ferrari, dua pesawat jet, jam dan berlian, akan tetapi apa gunanya untuk saya di dunia ini,
“Dulu saya pernah bermain boleh sepak tanpa kasut dan tidak memiliki pendidikan yang bagus. Namun hari ini hasil daripada bola sepak, saya mampu membantu masyarakat,
“Saya membangunkan sekolah dan stadium, memberikan pakaian, kasut, makanan untuk masyarakat yang sangat miskin. Selain itu, saya memberikan 70 euro sebulan untuk pendudk di wilayah yang sangat miskin di Senegal serta menyumbang pada ekonomi keluarga mereka,” jelasnya seperti yang dilapor Big Issue News.
Mane seorang Muslim yang taat
Mane merupakan anak seorang Imam di desa kelahirannya. Setiap kali berpeluang bertemu remaja kampungnya, Mane tidak lupa menasihati mereka agar sentiasa rajin belajar kerana pendidikan adalah kunci utama.
Antara faktor utama Mane membina hospital dan sekolah adalah kerana keadaan kampungnya yang agak daif sehingga ramai yang tidak mampu untuk belajar di sekolah dan membiayai bil hospital.
Di sebalik kerja kerasnya, ada cerita menyentuh hati mengapa Mane begitu bertekad untuk membina hospital. Mane kehilangan ayah yang dikasihinya kerana sukar mendapatkan rawatan hospital.
Bambali adalah sebuah kawasan di wilayah Sedhiou. Berdasarkan Bank Dunia, hampir 70% isi rumah di kawasan tersebut yang hidup dalam kemiskinan.
Tidak hairanlah kenapa kejayaan demi kejayaan telah banyak dicapai oleh Mane sepanjang kerjayanya, ini berkat daripada doa masyarakat kampungnya sendiri yang mendoakan kejayaan beliau di persada bola sepak dunia.