SEORANG pemandu kenderaan pacuan empat roda di wilayah Chiang Rai, Thailand melekatkan pelbagai jenis makanan ringan dan pelitup muka pada badan kenderaannya, dan ia boleh diambil secara percuma oleh orang ramai.
Video yang dikongsikan menerusi akaun TikTok @wetchayany itu mendapat perhatian warga Thailand dan rata-rata ruangan komen dibanjiri komen yang memuji sikap pemurah pemandu berkenaan.
Dalam video tersebut, kenderaan itu kelihatan sedang menunggu di sebuah lampu isyarat sehingga bertukar hijau.
Sejumlah makanan ringan dan pelitup muka dilekatkan pada badan trak pikap tersebut beserta sehelai kertas yang bertulis: “Ambil secara percuma.”
Ketika trak berkenaan berhenti di sebuah persimpangan lampu isyarat, dua kanak-kanak lelaki pergi ke arah kenderaan itu dan mengambil beberapa makanan ringan.
“Ia merupakan idea yang bagus dan saya amat gembira menonton video seperti ini,” kata seorang pengguna media sosial.
Sifat pemurah akhlak mulia umat Islam
Seperti yang ditularkan warganet, walaupun berlainan agama dan bangsa, namun sikap dermawan yang ditunjukkan wajar dicontohi dan dipraktikkan terutama kepada umat Islam yang pastinya mengetahui sedekah itu banyak kelebihan dan ganjaranya.
Memetik perkongsian Pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang, Mohd Rizal Azman Rifin, sifat dermawan dan bermurah hati perlu terbit dalam setiap diri umat Islam dan menjadi amalan dalam kehidupan.
Sikap sedemikian adalah sebahagian kecil daripada akhlak mulia umat Islam yang mampu menjadikan masyarakat makmur, sejahtera dan penuh semangat persaudaraan.
Golongan yang murah hati ini pastinya akan disayangi dan dihormati masyarakat serta dicintai ALLAH SWT.
Membicarakan hal dan sikap dermawan ini, Rasulullah SAW adalah contoh terbaik.
Baginda sangat prihatin terhadap anak yatim dan fakir miskin, malah baginda turut memberikan bantuan kepada umat Islam miskin yang tidak mampu bekerja atau hartanya dihabiskan untuk perjuangan fi sabilillah.
Sikap al-itsaar
Ketingggian sifat dermawan Rasulullah SAW ini sehinggakan walaupun sesuatu barang atau harta itu sebenarnya sangat diperlukan namun baginda sanggup memberikan kepada mereka yang lebih memerlukan.
Itulah sikap al-iitsaar iaitu lebih mementingkan orang lain yang menjadi sifat tertinggi untuk sikap dermawan.
Saidatina Aisyah menceritakan, Rasulullah SAW tidak pernah berasa kenyang dalam masa tiga hari berturut-turut dan keadaan itu berlarutan sehingga akhir hayat baginda. Kata Aisyah: “Sebenarnya kalau kami mahu, kami akan kenyang setiap hari, namun kami lebih mementingkan orang lain daripada diri kami sendiri.” (Kitab Ihya Ulumuddin)
Rasulullah sangat mementingkan infak dan baginda tetap berusaha mengeluarkan bantuan sesuai dengan kemampuannya.
Setiap kali ada orang yang meminta bantuan, baginda pasti memberi apa yang dimilikinya dan tidak pernah menolak permintaan sesiapapun.
Dalam satu hadis diriwayatkan oleh Bukhari, ada seorang sahabat bertanya kepada Nabi Muhammad SAW, “Sedekah bagaimana yang paling utama?” Rasulullah menjawab: “Iaitu sedekah yang kamu berikan ketika kamu dalam keadaan sihat dan masih mempunyai semangat yang tinggi, masih mempunyai harapan untuk kaya dan khuatir kalau jatuh miskin. Jangan kamu menunda-nunda (memberi sedekah) hingga nyawa sampai tenggorokan (hujung halkum yang kelihatan pada leher) dan kamu baru berkata, si fulan ini mendapat bahagian sekian, si fulan itu mendapat bahagian sekian dan yang ini untuk si fulan.”