Cuba halau penduduk Palestin, tindak tanduk Israel ‘diperhati’ mata-mata gergasi…
SEKUMPULAN pelukis telah melakar mata-mata gergasi di seluruh kejiranan Silwan di kawasan Timur Baitulmuqaddis.
Lukisan berkenaan yang menghiasi dinding-dinding rumah rakyat Palestin di sana begitu besar sehingga sesiapa sahaja yang melalui Silwan pasti terasa seolah-olah diperhatikan.
Mana tidaknya, mural mata itu sememangnya diwujudkan sebagai suatu peringatan buat rejim Zionis bahawa ramai menyedari ketidakadilan yang sedang berlaku di kejiranan tersebut.
Menurut penduduk Palestin di Silwan, pihak berkuasa Israel sedang berusaha untuk menghalau mereka keluar daripada kawasan tersebut.
Baca juga 5 daerah di Palestin yang diranapkan dengan kejam, kini berganti bangunan milik Israel
Mengulas tentang lakaran mata gergasi berkenaan, Pengarah Pusat Kreatif Madaa-Silwan, Jawad Siyam berkata, “(Lukisan) mata yang sedang merenung itu memberi mesej kepada orang ramai bahawa kami nampak (sedari kewujudan) mereka dan mereka juga boleh nampak (sedari kewujudan) kami.
“Apa yang ingin kami katakan adalah kami ada di sini dan kami cintakan tanah serta rumah kami.”
Sejak tahun 2015, pusat berkenaan telah bekerjasama dengan pelbagai artis dari Amerika Syarikat untuk menghasil serta memelihara mural-mural tersebut menerusi projek seni yang dinamakan “I Witness Silwan” (Saya Saksikan Silwan).
Selain pancaindera menggambarkan mata-mata penduduk Palestin dan pemimpin antarabangsa, mural berkenaan juga menampilkan simbol kebangsaan seperti burung ‘goldfinch’ dan bunga popi.
Baca juga Wanita Israel Derma Buah Pinggang Sempena Hari Jadinya kepada Kanak-Kanak Gaza
Menurut penganjurnya, projek itu bertujuan mengetengahkan konflik yang sedang dihadapi oleh rakyat Palestin di kejiranan Silwan berhampiran Kota Lama Baitulmuqaddis.
Israel mula menduduki Baitulmaqdis selepas perang Timur Tengah pada tahun 1967 dan merampas kota suci itu sebagai ibu kotanya. Dalam masa sama, rakyat Palestin menuntut bahagian timur Baitulmuqaddis untuk dijadikan ibu negara bagi wilayah mereka pada masa hadapan.
Baca juga Operasi ‘BREAKING DAWN’ Zionis jarah nyawa rakyat Palestin
Walau bagaimanapun, rundingan damai antara kedua belah pihak menemui jalan buntu sejak beberapa tahun lalu.
Sejak pendudukan Israel di kota suci itu, penduduk Palestin sekitar Baitulmuqaddis Timur menghadapi pelbagai ancaman termasuk penangkapan, pencerobohan dan serbuan rumah daripada pihak rejim berkenaan.
Sehubungan itu, pihak penganjur juga berharap Projek Silwan dapat menentang usaha penduduk Israel untuk meningkatkan kehadiran Yahudi di kawasan seperti Silwan yang mempunyai majoriti penduduk berbangsa Arab atau Palestin
Foto dan Sumber: The Arab Weekly & TRT World