BAGAIKAN tiada kesudahan. Kali ini dunia digemparkan sekali lagi dengan operasi Breaking Dawn yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel yang diibaratkan merentap kembali nyawa rakyat Palestin.
Bingkisan terkini yang dikongsi oleh AlHijrah Online tindakan bacul dan ganas rejim zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza yang telah melancarkan serangan udara bermula semalam.
Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan pada Sabtu sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh manakala 215 lagi cedera akibat operasi Breaking Dawn oleh Israel.
Khaled al-Batsh, ketua biro politik Jihad Islam, memberitahu media pada, bahawa Jihad Islam tidak mempunyai pilihan lain selain mempertahankan dirinya dan rakyat Palestin daripada ancaman Israel.
Menteri Pertahanan Israel Benny Gantz, selepas membuat penilaian mengenai situasi semasa di sekitar Semenanjung Gaza, dengan penglibatan ketua-ketua agensi penguatkuasaan undang-undang, mengarahkan tenteranya meneruskan operasi Breaking Dawn pada Sabtu.
Pejabat media Israel Defense Force (IDF) memberitahu Sputnik bahawa tentera Israel sedang bersiap sedia untuk melaksanakan operasi Breaking Dawn di Semenanjung Gaza selama seminggu.
Turut berdukacita apabila seorang Komander Kanan Jihad Islam Palestin (JIP) Khaled Mansour disahkan terbunuh dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza, menurut sayap kumpulan bersenjata, Briged Al-Quds.
Seterusnya, memetik artikel harakahdaily oleh Muhammad Khalil Abdul Hadi, Adun Batu Buruk, sudah sampai masanya masyarakat dunia perlu mengambil tindakan tegas ke atas rejim zionis Israel yang selama ini sewenang-wenangnya berlaku kejam, zalim, tidak berperikemanusiaan dan telah menjajah serta menjarah bumi Palestin selama lebih 74 tahun.
Pelbagai Resolusi PBB dan Perjanjian Damai yang dipersetujui dan dikuatkuasakan telah dicabuli serta nasib Palestin dan warganya tetap sama malah lebih buruk daripada dahulu.
Isu Palestin adalah satu isu yang cukup “memalukan“ bagi masyarakat dunia terutamanya buat umat dan Dunia Islam kerana ia satu-satunya isu yang tidak mampu diselesaikan sehingga ke hari ini.
Isu yang dipinggirkan seolah-olah terdapat sikap “double standard“ dalam kaedah menanganinya berbanding isu mahupun krisis yang yang sedang berlaku di dunia hari ini mahupun sebelumnya.
Baca juga Bahaya tiga serangkai ini, boleh menghapuskan pahala
OIC, Liga Arab mahupun PBB perlu memainkan peranan yang pro aktif dalam menangani isu Palestin dan perlu meletakkan titik noktah bagi mengakhirinya.
Kini, masyarakat dunia perlu mencapai kata sepakat dalam menangani isu Palestin dan bertindak tegas terhadap rejim zionis Israel.
Selagimana ia berlarutan dan terus dilanda krisis, nescaya Asia Barat akan terus bergolak seterusnya menjejaskan matlamat untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan yang berkekalan.