KEMENTERIAN Haji dan Umrah Arab Saudi telah menutup pendaftaran haji bagu jemaah domestik untuk musim haji tahun ini. Nama-nama yang terpilih akan diumumkan selepas cabutan dibuat tidak lama lagi.
Memetik laporan dari Arab News, Penolong Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Hesham Saeed berkata, jumlah permohonan haji oleh penduduk tempatan yang tinggal di negara itu mencapai lebih 390,000 permohonan.
Katanya, pemilihan akan dibuat secara e-cabutan dan keutamaan akan diberikan kepada mereka yang belum pernah menunaikan haji sebelum ini.
“Proses pengasingan dan e-cabutan akan dimulakan dengan jemaah haji yang memenuhi syarat yang telah diumumkan oleh kementerian sebelum ini.
Baca juga 6 ciri dalam aplikasi Muslim Pro ini bakal bantu jemaah haji
“Jemaah haji domestik yang berjaya dalam permohonan ini akan menerima pengesahan melalui khidmat pesanan ringkas (sms) pada peranti berdaftar mereka yang mengatakan bahawa mereka telah dipilih untuk menunaikan haji.
“Penama akan diberi masa 48 jam untuk menyelesaikan pembayaran yuran pakej terpilih dan permit haji akan dikeluarkan kepada mereka yang layak ” ujarnya.
Menariknya, Kementerian itu juga telah menurunkan harga bagi tiga pakej hospitaliti musim haji tahun ini iaitu bagi pakej `Al-Abraj’ kini berharga 13,943.75 riyal (RM16,419.13) bagi setiap jemaah.
Jelasnya lagi, harga baharu bagi pakej ‘Developed Tents’ adalah sebanyak 11,970.35 riyal (RM14,095.33) manakala bagi pakej ‘Undeveloped Tents’ pula berharga 9,098.80 riyal (RM10,714.02) bagi setiap jemaah.
Pendaftaran dibuka untuk jemaah domestik ini pada awal Jun melalui aplikasi “Eatmarna” dan melalui laman web kementerian.
Baca juga Kos ibadah haji tahun ini dijangka meningkat
Kementerian menetapkan bahawa mereka yang ingin mendaftar haji, sama ada warganegara atau bermastautin hendaklah berumur tidak melebihi 65 tahun dan menunjukkan imunisasi lengkap dalam aplikasi “Tawakkalna”.
Jemaah haji dari negara ini boleh mendaftarkan data mereka dengan menyerahkan dokumen rasmi seperti pasport dan kertas vaksinasi untuk memudahkan perjalanan jemaah domestik ini untuk menunaikan haji.
Foto: Canva