Pasangan meninggal sebelum sempat bernikah, ada peluangkah bersatu di syurga?
“DAN mereka merancang, ALLAH juga merancang, dan ALLAH sebaik-baik perancang.”
Sesungguhnya benar apa yang difirmankan di dalam surah al-Imran ayat 54 itu. Walau sehebat mana seseorang itu merancang, andai takdir tidak menyebelahinya, usah gusar. Yakinlah, perancangan ALLAH SWT lebih hebat lagi. Semestinya terselit hikmah disebalik setiap yang berlaku itu.
Begitu juga dengan perhubungan cinta. Fitrah manusia apabila sudah menemui pasangan hidup pastinya akan merancang ke arah gerbang perkahwinan.
Baca Juga Ada 7 orang muka sama di dunia, apa kata Islam?
Akan tetapi ada juga yang tidak dapat meneruskan perancangan untuk berkahwin kerana pasangan telah dijemput Ilahi sehingga sukar untuk melupakan atau ‘move on’, lalu berharap agar dipertemukan dan bernikah di syurga kelak.
Perkara ini ditanya sendiri oleh seorang individu kepada agamawan terkemuka, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tentang sesorang lelaki yang melamar untuk menikah dengan seorang wanita ketika masih hidup dan tidak lama selepas itu dia terus meninggal dunia dan tidak sempat untuk menikah.
Oleh kerana terlalu sayang kepadanya, wanita tersebut memperbanyakkan amalan kepada tuhan dengan harapan dapat bernikah dengan dia di syurga kelak.
Lantas, beliau menjelaskan perkara tersebut di laman maktabah albakri siri #1752: Berharap Untuk Berkahwin Dengan Tunang Di Syurga Kelak.
Baca Juga “Malaikat penjaga manusia memang wujud,” – Daie Fuad
Jelas agamawan itu, pada asasnya, wanita yang menjadi ahli syurga dan tidak pernah berkahwin di dunia, atau dia berkahwin tetapi suaminya bukan daripada penduduk syurga, atau dia menikah tetapi bercerai dengan talak bain dan kemudian meninggal dunia, maka hukum bagi mereka adalah sama, iaitu ALLAH SWT akan mengahwinkan mereka di syurga dengan penduduk syurga itu.
“Sesungguhnya di dalam syurga nanti, setiap penghuninya akan memperolehi apa yang dia kehendaki maka begitu juga dengan pasangan. Setiap orang tidak berkahwin sehingga dia meninggal dunia, kemudian dia masuk syurga, dia akan berkahwin dengan pasangannya yang dia suka di dalam syurga.
“Firman ALLAH SWT “Segala kebun-kebun syurga ‘Adnin itu semua orang beriman akan memasukinya. Syurga yang berlalu air di bawahnya dan di dalam syurga itu semua penghuninya memperolehi apa yang mereka kehendaki. Seperti inilah ALLAH membalas akan orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Nahl ayat 31)
“Ibn Jarir al-Tabari berkata: “Bagi mereka yang berbuat baik di dunia ini, mereka akan memiliki syurga ‘Adnin di mana mereka dapat memperoleh apa pun yang diinginkan oleh jiwa mereka dan kesenangan yang menyenangkan mata mereka. ALLAH berfirman: “Demikianlah ALLAH memberi balasan kepada orang-orang yang bertakwa.”
Baca Juga Bapa pakai kostum dinosaur demi pupuk anak minat mengaji al-Quran
Turut Disyorkan Waspada, jaga aqidah anda, ini hukum makan ‘sajian sembahan berhala’
“Ini bererti bahawa sebagaimana ALLAH memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik di dunia ini dengan apa yang telah digambarkan kepada kalian wahai manusia, bahawa DIA memberi balasan kepada mereka di dunia dan di akhirat, begitu pula DIA memberi balasan kepada orang-orang yang bertakwa-NYA yang menunaikan kewajiban-kewajiban mereka dan menjauhi perbuatan dosa.
“Dalam ayat ini, ALLAH memberitahu bahawa apa sahaja yang disukai oleh penghuni syurga akan mereka dapat termasuklah isteri atau suami. Setiap orang lelaki atau perempuan yang mati dalam keadaan bujang akan berkahwin di dalam syurga,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, bagi menjawab persoalan di atas, jika seorang wanita tidak berkahwin sehingga dia meninggal dunia, ALLAH akan mengahwinkannya dengan seseorang daripada penduduk syurga. Boleh jadi orang itu adalah seseorang yang bertunang dengannya di dunia dan meninggal dunia sebelum sempat dia berkahwin dengannya.
Baca Juga Perpustakaan Taiwan berjaya pulihkan al-Quran berusia 500 tahun
“Namun begitu, seorang wanita seharusnya tidak meninggalkan perkahwinan disebabkan hal ini. Rasulullah SAW pernah memerintahkan berdasarkan riwayat daripada Abu Hatim al-Muzani RA, bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Jika datang kepada kalian seorang lelaki yang kamu reda akan agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia. Jika tidak, maka akan timbullah fitnah di atas muka bumi dan juga kerosakan”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi dan al-Baihaqi)
”Oleh itu, janganlah disebabkan hal ini menyebabkan seseorang itu tidak berkahwin kerana masih ramai lagi orang soleh yang boleh dia kahwini dan ALLAH pasti akan memberikan kepadanya seorang suami yang lebih baik daripada lelaki tersebut, yang akan menjadi suaminya di dunia dan akhirat kelak,” katanya.