“Malaikat penjaga manusia memang wujud,” – Daie Fuad
MINGGU lalu, satu isu berkaitan doa kepada malaikat hangat diperkatakan oleh warganet. Ada yang mengecam dan ada juga menyokong tindakan yang dilakukan itu.
Namun baru-baru ini, ushawan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, Masitah Mohd Affandy atau dikenali dengan Masyi telah tampil memohon maaf selepas tular video memaparkan dirinya meminta malaikat menyampaikan doa kepada ALLAH SWT.
Sejak tularnya video tersebut, timbul persoalan adakah boleh kita berdoa kepada malaikat untuk sesuatu hajat yang kita perlukan?
Pendakwah bebas, Dai Fuad Mokhtar menerusi satu perkongsian di TikTok yang kini telah mencecah dua juta tontonan tampil menjelaskan konteks pertolongan doa yang disampaikan Masitah.
Menurut Dai Fuad, memang wujud malaikat hafazah yang mengawasi setiap hamba ALLAH jadi itu tak ada masalah.

DAI FUAD
Beliau memberi contoh situasi menghantar anak ke tadika, ibu bapa meminta guru untuk menjaga anak, takkan lah pula situasi itu dikatakan syirik kerana cikgu memang wujud dan anak juga wujud.
“Saya petik perkataan (kata-kata) Mashy, “Malaikat malaikat tolong bagitahu kepada malaikat yang jaga Puan Hidayah”. Ini namanya malaikat hafazah.
Beliau juga menceritakan satu riwayat yang sahih iaitu Imam Ahmad yang tersesat sewaktu menunaikan haji. Imam Ahmad meminta malaikat menunjukkan jalan yang benar.
Baca Juga Zikir yang memenatkan 70 malaikat mencatatnya “Jazallahu Anna Sayyidina Muhammadan….”
Dalam perkongsian itu, Dai Fuad memohon pendakwah supaya bersangka baik dengan orang lain apatah lagi Mashy baru sahaja hilang mata.
Menurutnya, pendakwah seharusnya memberikan kata-kata semangat dan bukannya terus menjatuhkan hukum sesat. Kata Dai, video itu tidak salah secara keseluruhannya, mungkin ada kelengkapan ayat yang boleh dimasukkan.
Kenali malaikat hafazah
Malaikat merupakan hamba ALLAH yang mulia, memiliki kekuatan untuk beribadah, taat kepada perintah-NYA dan diciptakan daripada cahaya. Percaya kepada kewujudan malaikat adalah merupakan salah satu daripada enam Rukun Iman yang telah diwajibkan ke atas kita.

DAI Fuad menjelaskan memang wujud malaikat hafazah yang mengawasi setiap hamba ALLAH jadi itu tak ada masalah.
Menerusi portal tzkirah.com, sememangnya kita diajar untuk mengenal sepuluh nama dan tugas malaikat. Tetapi hakikatnya, terdapat hampir dua puluh malaikat yang telah diperintahkan oleh ALLAH untuk memikul tugas-tugas tertentu. Antaranya ialah malaikat pembawa Arasy, Harut dan Marut, malaikat penjaga pintu langit dan pelbagai lagi.
Dan daripada dua puluh itu, terdapat tiga tugasan yang telah diperintahkan oleh ALLAH kepada lima malaikat untuk berada di sisi setiap anak-anak Adam AS.
Baca Juga Malaikat mendoakan orang yang menunggu waktu solat
Dua antaranya adalah Malaikat Hafazah bermaksud malaikat penjaga. Ada dua malaikat yang menjaga pada sebelah siang dan dua lagi menjaga pada sebelah malam. Para malaikat ini sama saling bertemu pada solat Subuh dan Asar.
Menurut Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda “Maka apabila ALLAH bertanyakan tentang perihal hamba-NYA kepada malaikat Hafazah ini, maka jawapan mereka ialah: “Kami datang kepada mereka melihat mereka bersolat dan kami tinggalkan mereka pun dalam keadaan mereka bersolat.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

HAKIKATNYA, terdapat hampir dua puluh malaikat yang telah diperintahkan oleh ALLAH untuk memikul tugas-tugas tertentu.
Alangkah indahnya jawapan yang diberikan oleh malaikat Hafazah tatkala mengadap ALLAH selepas bersilih ganti menjaga kita. Bayangkan jika kita melewat-lewatkan solat fardu contohnya Subuh dan Asar. Bagaimana agaknya jawapan malaikat Hafazah ini terhadap perlakuan kita?
“Si Fulanah masih tidur, tidak solat Subuh lagi.”
“Si Fulan masih minum di kedai kopi. Masih tidak solat Asar lagi.”
Turut Disyorkan 5 pesanan Malaikat Jibril kepada Nabi SAW yang wajib kita ambil tahu
ALLAH berfirman dalam al-Quran “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala solat fardu, khasnya solat wustha (Solat Asar), dan berdirilah kerana ALLAH (dalam solat kamu) dengan taat dan kusyuk.” (Surah Al-Baqarah ayat 238)