Zikir yang memenatkan 70 malaikat mencatatnya “Jazallahu Anna Sayyidina Muhammadan….”
ZIKRULLAH adalah satu ibadat yang istimewa kerana ia terbuka dan mudah diamalkan meskipun seseorang itu berada dalam apa-apa jua keadaaan.
Menurut Imam an-Nawawi, para ulama bersepakat bahawa hukumnya harus berzikir seperti bertasbih, bertahmid, bertakbir, berdoa, berselawat dan sebagainya secara dalam hati mahupun lisan bagi mereka yang berhadas, berjunub, haid dan nifas.
Sebagai umat Islam, kita haruslah mengambil setiap peluang dalam hidup ini untuk tidak meninggalkan amalan zikir. Jadikanlah ia sebagai rutin harian kerana apa jua zikir yang dilafazkan banyak fadilatnya.
Don Daniyal Don Biyajid atau lebih terkenal sebagai Ustaz Don menerusi satu kuliah, beliau berkongsi akan satu zikir apabila dibaca akan memenatkan 70 malaikat untuk mencatatnya.
Berdasarkan satu hadis daripada Rasulullah SAW bersabda “Barangsiapa membaca Jazallahu Anna Sayyidina Muhammadan Sollallahu Alaihi Wa Sallam Ma huwa Ahluhu, 70 Malaikat “penat” tulis ganjaran untuknya selama 1000 pagi (maknanya terlampau besar ganjarannya di sisi ALLAH… (Hadis Riwayat Ibnu Abbas dan Imam Tabrani)
Jazallahu ‘anna sayyidana muhammadan shallallahu a’laihi wa sallama ma huwa ahluh
جَزَى اللهُ عَنَّا سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ
Ertinya: “Semoga ALLAH memberikan balasan kebaikan kepada pemimpin kita Nabi Muhammad SAW atas jasa-jasa Baginda kepada kita dengan balasan yang selayaknya Baginda terima.”
BACA JUGA Zikir untuk 100 kebaikan, dijauhkan 100 keburukan
Imam Abu Nuaim, Imam Tabrani dalam Mu’jamul ausath dan mu’jamul kabir dan beberapa ulama ahli hadis lainnya menyebutkan riwayat dengan sanad yang muttashil kepada sahabat yang bernama Sayidina Abdullah Abbas RA dari Rasulullah SAW bersabda: “Siapa saja yang membaca selawat ini, maka 70 malaikat akan “letih” untuk mencatat pahalanya sampai 1000 hari.
Kedudukan selawat berbanding zikir
Mufti Wilayah di laman Irsyad Al-Hadith Siri Ke-506: Kedudukan Selawat Berbanding Zikir menjelaskan bahawa keduanya selawat dan zikir merupakan ibadah yang masyru’ (disyariatkan) oleh agama kita.
Jelasnya, ia disyariatkan oleh ALLAH SWT berdasarkan kepada nas al-Quran dan hadis Nabi SAW yang jelas dan tidak ada dinyatakan dari sudut keutamaan di antara keduanya. Untuk itu, meninggalkan salah satu daripadanya adalah satu perbuatan yang sia-sia yang menyebabkan hilangnya kelebihan yang akan kita perolehi apabila melakukannya.
BACA JUGA: Kedudukan Zikir Sangat Tinggi Berbanding Amalan Lain, Tapi Ramai Yang Pandang Remeh
Daripada Abu Musa RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Perumpamaan orang yang berzikir kepada ALLAH dan orang yang tidak berzikir kepada ALLAH seperti orang yang hidup dan mati.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
“Oleh sebab itu, kita dituntut untuk sentiasa melazimi keduanya pada setiap hari dengan memperbanyakkan selawat dan juga zikir kepada ALLAH kerana itu adalah yang terbaik agar kita mendapat kelebihan-kelebihan yang dijanjikan oleh ALLAH SWT dan Rasulullah SAW apabila melakukannya,” katanya di laman artikel berkenaan.