SEGELINTIR masyarakat percaya bahawa permainan mesin ‘claw’ dapat mencabar kecekapan diri dan ada juga yang tertarik dengan hadiah yang ditawarkan iaitu patung yang beraneka pilihan.
Permainan ini mungkin nampak senang pada mata kasar namun apabila telah mencubanya, ia tidaklah semudah yang disangkakan.
Permainan dengan konsep ini sebenarnya masih berleluasa dan ia kerap dijumpai di pusat beli belah dan juga pusat hiburan kanak-kanak.
Sehingga ke hari ini, masih ramai yang tidak tahu mahupun keliru, iaitu hukum bermain mesin tikam atau ‘claw’. Ia ada dijelaskan dalam artikel Al-Kafi siri ke 1210 yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Mesin ‘claw’ adalah sejenis permainan arked yang menggunakan cakar besi untuk memperolehi barangan-barangan yang dipertaruhkan di dalam mesin tersebut. Secara khususnya, praktikal dalam permainan ini mempunyai unsur perjudian yang diharamkan oleh syariat agama Islam.
Firman ALLAH SWT dalam surah al-Maidah ayat 90 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
Baca juga Bukan semua ‘gharar’ diharamkan dalam Islam, berikut perinciannya
Syeikh al-Maraghi menyebut, amalan judi adalah antara punca timbul permusuhan dan kebencian dalam kalangan orang yang berjudi. Kebiasaannya, mereka memusuhi orang yang menang dan bergembira di atas kedukaan orang lain.
Memang judi boleh menjadikan orang yang memerlukan menjadi kaya. Akan tetapi, amalan ini juga boleh memeras orang yang berharta.
Ia kerana orang yang kalah buat pertama kali akan berasa tercabar untuk melakukannya buat kali kedua dengan harapan akan menang dan akan berlanjutan sehingga ia puas dengan hasil yang diperolehi.
Kadang kala, kemenangan itu tidak pernah diperolehi hingga hartanya habis sama sekali. Pada saat itu, dia akan menjadi orang yang fakir lagi miskin serta permusuhan akan berlaku.
Permainan tersebut akan membiasakan diri agar bergantung kepada nasib dalam setiap perkara yang dilakukan. Ini menjadikan mereka menyangka bahawa nasib adalah penentu segala-galanya dalam dunia ini. Permainan jenis ini sebenarnya memberi banyak kesan negatif kepada diri manusia.
Konsep yang diketengahkan dalam permainan mesin ‘claw’ ini adalah menafikan hak pembeli dalam memilih barangan yang dikehendakinya dan disukainya dengan harga yang setimpal dengan apa yang telah dibayar.
Justeru, situasi ini adalah melanggar prinsip-prinsip jual beli yang sepatutnya ada seperti khiar (pilihan). Berikut merupakan ciri-ciri judi yang perlu diketahui:
a) Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.
b) Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.
c) Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan mafaat yang ia pertaruhkan.
Baca juga Perkahwinan bukan perjudian
Jelaslah, hukum main permainan mesin claw ini adalah haram dan dilarang. Ini kerana, permainan tersebut secara langsung dilihat sebagai menafikan serta mengabaikan hak pemain selaku pembeli untuk memilih barangan yang dikehendakinya setimpal dengan harga yang dibayar.
Di samping itu, permainan seperti ini adalah lebih kepada keberuntungan nasib pemain dimana permainan seperti ini tidak dibenarkan di dalam Islam.
Semoga penjelasan yang diberikan ini membuka minda dan menjauhkan diri kita semua daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syariat Islam.
Foto: Canva