UMAT Islam di Malaysia perlu memantapkan akidah berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk tidak terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang menyimpang dari ajaran agama.
Seruan itu dibuat oleh Penolong Pengarah Kanan (Ketua Unit Kajian Dan Kawalan Aqidah) Jabatan Agama Islam Perak, Ahmad Muzammil Bin Mohamed Shapawi ketika mengulas berkenaan perkembangan terbaharu penyebaran ajaran sesat di tanahair.
Jelas beliau lagi, ada sesetengah individu merasanya dirinya sebagai manusia lemah dan telah lama hidup berdosa, lalu ingin kembali ke pangkal jalan tanpa ilmu dan gagal bertemu guru yang benar.
“Hal ini menyebabkan mereka terperangkap dalam ajaran songsang. Bagi ketua ajaran pula, menggunakan tiga lingkaran ini iaitu harta, wanita dan kuasa bagi mengekalkan dan mengaktifkan ajaran tersebut,” katanya.
Tambah Ahmad Muzammil, sehebat mana pun guru tersebut, indah bagaimana pun pakaiannya walaupun berserban, berjubah, sesungguhnya dia tidak boleh menghapuskan dosa manusia lain, sebaliknya dia hanyalah hamba ALLAH seperti Kita semua.
“Kembalilah kepada ALLAH SWT. Tidak ada istilah fast track ke syurga. Melainkan melaksanakan amalan yang benar sesuai syarak dan tidak melanggar ketentuan yang telah ditetapkan oleh ALLAH dan Rasul,” ujarnya.
Mudah terpengaruh
Senario yang berlaku ini amat menepati kata-kata Imam al-Shafie iaitu : “Jika kamu melihat seseorang boleh terbang di udara, dan boleh berjalan di atas air, jangan kamu tertipu dengannya sehingga kamu mengukur peribadi dan amalannya dengan pertimbangan neraca al-Quran dan as-Sunnah.”
Imam al-Shafie menggambarkan bahawa wujud manusia yang mudah terpengaruh dengan keajaiban dan perkara-perkara ganjil yang mampu dilakukan oleh manusia lain, lalu mengangkatnya sebagai guru. Padahal tanpa disedarinya, individu yang diagung-agungkan itu mengamalkan ajaran sesat.
Terbaharu, sebuah pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah telah membawa beberapa kepercayaan yang terpesong dengan mendakwa kemunculan Imam Mahdi pada hari Arafah lepas yang lepas.
Lantaran itu, pusat berkenaan ditutup enam bulan berkuat kuasa 3 Ogos lepas berikutan aduan terdapat perbuatan atau perkara yang bercanggah dengan hukum syarak bagi siasatan lanjut dilakukan sebelum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan membuat keputusan membatalkan pendaftaran terekat tersebut atau sebaliknya.
Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata berdasarkan maklumat, pemimpin pusat itu iaitu Habib Shah Firdaus Habib Ahmad bersama kira-kira 300 pengikutnya telah ke Arab Saudi bagi mengerjakan umrah selain menantikan kemunculan Imam Mahdi.
Bagaimanapun sewaktu di tanah suci, ada dalam kalangan pengikutnya nampak perbuatan dilakukan Habib Shah Firdaus tidak betul dan hilang kepercayaan, jadi sebahagian mereka balik ke Malaysia dan melaporkan kepada jabatan mufti negeri.
Sebelum ini jelasnya, tiada apa-apa isu melibatkan pusat itu malah ia turut berdaftar di bawah Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 pada 13 Ogos 2018.
Selidik dahulu sebelum sertai
Menerusi perkongian daripada Bernama, terkini pihak berkuasa telah diarahkan supaya menyiasat status dan keberadaan kumpulan dianggotai rakyat tempatan yang berkumpul di Tanah Suci Mekah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata pihak Konsulat Malaysia di Jeddah, telah diarahkan memulakan siasatan terhadap kumpulan itu termasuk pemimpinnya Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, yang dipercayai masih berada di sana.
“Kita harap selepas ditangkap, mereka akan dikenakan tindakan dan seterusnya dihantar pulang kerana ini semua mengarut,” katanya.
Beliau juga menasihatkan orang agar tidak mudah terpengaruh dan melakukan semakan dahulu, sebelum menyertai apa-apa Tarekat (pengamalan).
“Kalau mahu menyertai Tarekat, saya harap orang awam selidik dahulu guru tersebut. Jika ingin mengaji, syaratnya perlu mencari guru yang Mursyid, iaitu mempunyai ilmu dan beramal dengan ilmu yang dipelajarinya,” tambahnya.
Seterusnya, Mengambil petikan artikel Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menasihati agar umat Islam di Malaysia perlu memantapkan aqidah masing-masing berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk tidak terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang menyimpang dari ajaran Islam.
Hadirlah ke kelas-kelas agama dan dengarlah ceramah-ceramah agama yang disampaikan oleh penceramah yang telah mempunyai tauliah dari Majlis Agama Islam negeri-negeri.
Ini kerana, penelitian, proses saringan dan ujian yang dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri sebelum sesuatu tauliah dikeluarkan adalah bagi memastikan penceramah yang ditauliahkan berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah, tidak sesat atau menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar.
Kaedah yang dikemukakan oleh Imam al-Shafie adalah sangat penting untuk difahami supaya umat Islam boleh menilai dakwaan-dakwaan batil individu-individu yang memimpin ajaran sesat.
Di samping itu, umat Islam di Malaysia seharusnya peka dengan fatwa negeri-negeri di Malaysia yang mewartakan ajaran-ajaran yang didapati sesat dan menyeleweng dari pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.