Browsing Tag

Zulhijah

Hari Arafah
Ibadah,

Tarikh-tarikh penting puasa Zulhijah 1444H/2023M

Tarikh-tarikh penting puasa Zulhijah 1444H/2023M…

ANTARA keistimewaan bulan Zulhijah adalah dianjurkan untuk berpuasa sunat bermula satu sehingga sembilan Zulhijah.

Tiada kelebihan khusus dari hari pertama hingga lapan Zulhijah. Namun terdapat kelebihan bagi siapa yang berpuasa pada sembilan Zulhijah.

Pada hari tersebut merupakan hari Arafah di mana seluruh umat Islam yang menunaikan haji sedang berkumpul di Padang Arafah dan terdapat waktu mustajab untuk berdoa pada hari tersebut.

Baca Juga Khutbah Arafah 2023 diterjemah ke 20 bahasa dunia

Baca Juga Bila nak puasa Arafah, kalau Aidiladha di Malaysia lewat sehari dari Mekah?

Menurut Riwayat Imam Malik, Rasulullah SAW bersabda “Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah”.

Di Malaysia, hari Tarwiyah jatuh pada 8 Zulhijah iaitu bersamaan dengan 27 Jun. Manakala hari Arafah jatuh pada 28 Jun 2023.

KESEMUA 31,600 jemaah haji Malaysia akan menyertai kira-kira tiga juta umat Islam seluruh dunia akan bergerak ke Arafah untuk melaksanakan rukun haji itu. Foto: REUTERS/Mohammed Salem

SUNAH PUASA 1-9 ZULHIJAH

1 Zulhijah = Selasa, 20.06.2023
2 Zulhijah = Rabu, 21.06.2023
3 Zulhijah = Khamis, 22.06.2023
4 Zulhijah = Jumaat, 23.06.2023
5 Zulhijah = Sabtu, 24.06.2023
6 Zulhijah = Ahad, 25.06.2023
7 Zulhijah = Isnin, 26.06.2023
8 Zulhijah = Selasa, 27.06.2023
9 Zulhijah = Rabu, 28.06.2023

HARAM PUASA :

Hari Raya Aidiladha : 10 Zulhijah = Khamis, 29/06/2023
Hari Tasyrik : 11 Zulhijah = Jumaat, 30/06/2021
Hari Tasyrik : 12 Zulhijah = Sabtu, 1/07/2023
Hari Tasyrik : 13 Zulhijah = Ahad, 2/07/2023

KEISTIMEWAAN dan fadilat 10 awal Zulhijah. Foto: JAKIM

Niat Puasa Sunat Zulhijah, Tarwiyah dan Arafah

———————————————————————————–

Niat Puasa Sunat Zulhijah (1-7 Zulhijah)

نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ ذِيْ الْحِجَّةِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku puasa sunat di bulan Zulhijah kerana ALLAH Ta’ala”

————————————————————————————-

Niat Puasa Sunat Tarwiyah (8 Zulhijah)

نَوَيْتُ صَوْمَ تَرْوِيَةَ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku niat puasa sunat Tarwiyah kerana ALLAH Ta’ala”

————————————————————————————

Niat Puasa Sunat Hari Arafah (9 Zulhijah)

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ مِنْ يَوْمِ الْعَرْفَةَ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku niat puasa sunat hari Arafah kerana ALLAH Ta’ala”

————————————————————————————-

Perkongsian mengenai tarikh-tarikh penting bulan Zulhijah tahun ini (2023) dikongsi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Zulhijah
Istimewa Panggilan Baitullah,

Pesta kedua umat Islam selepas Ramadan, 10 pertama Zulhijah

“RIBUAN tahun dahulu pesta kedua umat Islam selain Ramadan adalah sepuluh awal Zulhijah”

Demikian antara inti pati yang dikongsi oleh Ustaz Wadi Annuar dalam satu ceramah beliau baru-baru ini.

“Siapa yang pernah hidup sehingga hari ini dan tidak peduli satu sehingga 10 Zulhijah, saat inilah kembali sedar dan banyakkan amal soleh kerana sepuluh hari ini merupakan rutin pecutan amal seperti dilakukan golongan salafussoleh,” kongsinya.

Apabila masuk sahaja awal bulan Zulhijah, antara hadis ya ng paling masyhur mengenai kelebihan Zulhijah ini, ia digambarkan dengan hari yang lebih baik dari jihad.

Baca Juga Kelebihan berpuasa pada 10 hari pertama Zulhijjah, antara hadis palsu dan sahih

Akademi Darul Iftak menerusi satu hantaran di laman Facebook, berkongsi, mengenai makna di sebalik hadis 10 hari pertama dari bulan Zulhijah yang dapat memberikan pahala yang lebih besar dari Jihad.

Daripada Ibn Abbas dia berkata, Rasulullah SAW bersabda “ Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh ALLAH untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memaksudkan: 10 hari terawal Zulhijah-.”Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan ALLAH tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda,”Walaupun jihad di jalan ALLAH tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali (menemui syahid). (Hadis Riwayat Abu Daud) Status: Hadis Sahih

WALAUPUN ada antara kita yang tidak berkesempatan untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci, namun, kita masih berpeluang untuk beribadah pada bulan istimewa ini.

Pengajaran hadis:

1. ALLAH menyukai orang yang melakukan amal soleh pada 10 hari pertama dari bulan Zulhijah.

2. Orang yang melakukan amal soleh dalam tempoh ini dapat memberikan pahala yang lebih besar dari Jihad kecuali orang yang pergi berjihad itu gugur syahid.

3. Al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan: Yang jelasnya, antara sebab keistimewaan 10 hari awal Zulhijah ini berbanding hari lain ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah, korban dan haji. Himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain (Fath al-Bari).

ARTIKEL BERKAITAN 

4. Justeru peluang kita yang menemui 10 hari pertama Zulhijah ini perlu direbut untuk mempertingkatkan pelbagai amalan harian kita.

5. Amal soleh pada hari-hari awal 10 Zulhijah tidak terbatas. Ia meliputi solat, puasa, sedekah, bacaan al-Quran, zikir, berdoa, bertaubat, tahmid, takbir, tahlil, amar makruf nahi mungkar, tolong-menolong untuk kebaikan, menyebarkan ilmu, menyantuni anak yatim, membantu orang yang kesusahan, memberikan makan kepada fakir miskin dan seumpamanya.

DOA yang dianjurkan sepanjang bulan Zulhijah.

Doa di bulan Zulhijah

Selain melaksanakan ibadah sunat lain, antara perkara yang dituntut juga sepanjang bulan ini adalah dengan memperbanyakkan doa.

Seperti dikongsi oleh Ustaz Amirul Amin atau lebih dikenali sebagai PU Amin di laman TikTok, berikut merupakan doa yang dianjurkan sepanjang awal zulhijah ini.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya “Ya ALLAH, sungguh aku memohon kepada-MU ilmu yang bermanfaat (bagi diriku dan orang lain), rezeki yang halal dan amal yang diterima (di sisi-MU dan mendapatkan ganjaran yang baik).” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

“Kerana bulan Zulhijah ini ALLAH himpunkan semua amalan, ibadah haji, solat, puasa, arafah dan wakuf, semuanya berhimpun di satu bulan yang mulia.

“Amat rugilah jika kita mensia-siakan peluang untuk menambahkan pahala berlipat ganda ini.

berpuasa Zulhijjah
Hukum,

Kelebihan berpuasa pada 10 hari pertama Zulhijjah, antara hadis palsu dan sahih

Kelebihan berpuasa pada 10 hari pertama Zulhijjah, antara hadis palsu dan sahih

KITA sudah pun memasuki bulan haram yang kedua dalam Islam iaitu bulan Zulhijjah. Untuk pengetahuan, umat Islam digalakkan untuk melakukan amal soleh pada 10 hari pertama Zulhijjah kerana ia adalah hari yang sangat disukai oleh ALLAH.

Daripada Ibn Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Tidak ada hari yang mana amal soleh dilakukan padanya lebih dicintai oleh ALLAH daripada sepuluh hari ini (awal Zulhijjah).” Mereka berkata; Wahai Rasulullah! Tidak juga berjihad di jalan ALLAH? Baginda SAW berkata: “Tidak juga berjihad di jalan ALLAH melainkan seseorang itu keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak kembali (syahid) dengan membawa sesuatu pun.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis tersebut, umat Islam digalakkan melakukan apa jua amal soleh seperti berpuasa, bersedekah, membaca Al-Quran dan berqiamullail.

Baca juga 10 awal Zulhijjah, hari yang lebih baik daripada jihad

berpuasa Zulhijjah

UMAT Islam sangat digalakkan melakukan apa jua amal soleh pada 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Foto:

Pun begitu, memetik portal tzkrh.com, ada juga tersebar hadis-hadis yang menyatakan tentang kelebihan berpuasa sepanjang 10 hari terawal bulan Zulhijjah mengikut hari yang khusus.

Antaranya, daripada Ibn Abbas RA berkata, dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Pada hari pertama daripada bulan Zulhijjah, Allah telah mengampunkan Nabi Adam padanya dan barangsiapa yang berpuasa pada hari tersebut, maka Allah akan mengampunkan setiap dosanya.”

ARTIKEL BERKAITAN:

Contoh riwayat lain yang menceritakan tentang kelebihan berpuasa pada bulan Zulhijjah adalah seperti berikut:

1. Kelebihan berpuasa seperti dalam hadis di atas.

2. Kelebihan berpuasa 2 Zulhijjah seperti orang yang beribadat kepada ALLAH selama setahun dengan tidak melakukan maksiat kepada-NYA sedikitpun kerana pada hari tersebut ALLAH telah memperkenankan permintaan Nabi Yusuf AS.

3. Kelebihan berpuasa 3 Zulhijjah bahawa ALLAH akan memperkenankan setiap doanya kerana pada hari tersebut Allah telah memperkenankan doa Nabi Zakaria AS.

4. Kelebihan berpuasa 4 Zulhijjah, akan dijauhkan oleh ALLAH daripada kesempitan, kemiskinan serta akan dihimpunkan di padang mahsyar bersama para malaikat dan padanya juga lahirnya Nabi Isa AS.

5. Kelebihan berpuasa 5 Zulhijjah akan terlepas daripada sifat munafik dan azab kubur serta padanya juga lahirnya Nabi Musa AS.

6. Kelebihan berpuasa 6 Zulhijjah akan dilihat oleh ALLAH SWT dengan pandangan rahmah serta ALLAH sama sekali tidak akan mengazabnya. Pada hari tersebut juga ALLAH telah membuka bagi Nabi Muhammad SAW dengan kebaikan.

7. Kelebihan berpuasa 7 Zulhijjah akan ditutup padanya pintu neraka Jahannam dan barang siapa yang berpuasa padanya akan ditutp kepadanya 30 pintu kesusahan serta dibuka baginya 30 pintu kesenangan.

8. Kelebihan berpuasa 8 Zulhijjah iaitu pada hari Tarwiyah akan diberikan ganjaran kepadanya yang tidak diketahui oleh orang lain melainkan ALLAH sahaja.

9. Kelebihan berpuasa 9 Zulhijjah iaitu pada hari Arafah akan diampunkan dosanya setahun sebelum dan setahun selepas.

Kesemua kelebihan yang disebutkan di atas termasuk hadis yang tentang kelebihan berpuasa pada tanggal 1 Zulhijjah adalah tidak sahih dan tidak berasal daripada Nabi SAW kecuali kelebihan berpuasa pada 9 Zulhijjah.

Hal itu berdasarkan hadis daripada Abi Qatadah, bahawa Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hal berpuasa di 10 hari pertama Zulhijjah, tidak ada hadis khusus yang menceritakannya. Hanya terdapat pengkhabaran daripada beberapa riwayat bahawa baginda berpuasa pada sebilangan hari dan ada pula hari baginda tidak berpuasa (tidak berpuasa secara terus menerus sepanjang 9 hari). Manakala pada 10 Zulhijjah pula kita akan merayakan Aidiladha.

Justeru, beramal lah dengan dalil-dalil yang sahih. Usah menyandarkan sesuatu yang tidak diketahui sahih atau tidak kepada Rasulullah SAW. ALLAH telah menyatakan keumuman dalam beribadah, maka pilihlah apa jua ibadah yang dirasakan sesuai dan mampu dilakukan.

Sumber: Tzkrh 

Foto: Canva

 

Zulhijah
Ibadah,

10 awal Zulhijah janjikan pahala berganda

10 awal Zulhijah janjikan pahala berganda..

SEMALAM, satu pengumuman rasmi telah dimaklumkan oleh Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Datuk Mohd Aseral Jusman bahawa umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidiladha pada 29 Jun ini.

Ini menunjukkan permulaan awal Zulhijjah telah bermula dan pada bulan ini kita digalakkan untuk memperbanyakkan amal soleh terutamanya 10 hari pertama di bulan Zulhijjah.

Walaupun ada antara kita yang tidak berkesempatan untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci, namun, kita masih berpeluang untuk beribadah pada bulan istimewa ini.

Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas RA, Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh ALLAH untuk dilakukan melainkan hari-hari ini, baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijjah-.”Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan ALLAH tidak dapat menandinginya? ”Baginda bersabda,”Walaupun jihad di jalan ALLAH tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Terdapat pelbagai amalan boleh dilaksanakan untuk mendekatkan diri dan meningkatkan ketakwaan kepada ALLAH SWT di 10 hari awal Zulhijah ini seperti dikongsi oleh Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Dr Azri Bhari.

AWAL Zulhijjah, bulan yang penuh dengan keistimewaan yang besar.

Antara amalan boleh dilaksanakan bagi meraih kelebihan dan keistimewaan di sisi ALLAH SWT adalah seperti berikut.

Pertama adalah solat. Ibadah solat adalah amalan pertama sekali dihisab pada hari akhirat kelak. Solat sunat berperanan menyempurnakan kekurangan berlaku atau terdapat pada solat fardu lima waktu. Umat Islam boleh membiasakan diri mendirikan pelbagai solat sunat antaranya solat sunat rawatib, tahajjud dan witir.

Oleh kerana 10 hari awal Zulhijjah ini hari amal ibadah dilakukan padanya paling disukai ALLAH SWT, maka amalan solat sunat wajar dipertingkatkan dan diperbanyakkan.

ARTIKEL BERKAITAN

Kedua, berpuasa. Ibadah puasa yang juga amalan paling utama pada hari pertama hingga sembilan Zulhijjah ini. Kelebihan berpuasa terdapat di dalam hadis qudsi bermaksud; “ALLAH SWT berfirman: Semua amal ibadah anak Adam adalah bagi dirinya sendiri kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu adalah untuk-KU dan AKU sendiri mengurniakan ganjaran pahala baginya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Berpuasa menjadi sunah Nabi SAW seperti hadis bermaksud; “Empat perkara tidak pernah ditinggalkan Rasulullah – puasa Asyura, puasa 10 hari awal Zulhijjah), puasa tiga hari setiap bulan dan dua rakaat sebelum subuh.” (Hadis Riwayat Nasai)

Ketiga, mengingati ALLAH SWT. Pada hari sangat dicintai ALLAH, amalan sangat baik dialukan umat Islam adalah berzikir, bertakbir, tahmid, tasbih dan tahlil.

salah faham

HARI Arafah pada tanggal 9 Zulhijjah merupakan salah satu masa paling mustajab untuk memanjatkan doa kepada ALLAH SWT.

Segala bentuk amalan mengingatkan kita kepada ALLAH sangat dituntut seperti maksud hadis Nabi SAW: “Tiada hari lebih agung dan disukai ALLAH untuk beramal soleh selain 10 hari ini. Maka, banyakkan tahlil, takbir dan tahmid kepada-NYA.” (Hadis Riwayat Ahmad).

Keempat, melaksanakan ibadah korban. Ia adalah satu ibadah agung menerusi peristiwa Nabi Ibrahim diperintah mengorbankan anaknya, Nabi Ismail.

Kelima, bertaubat dan memohon keampunan (istighfar) kepada ALLAH SWT. Setiap umat Islam perlu berterusan melakukan taubat yang sebenar-benarnya, meninggalkan segala dosa dan maksiat.

Baca Juga Persiapan Masya’ir haji capai 60%, jemaah siap sedia ke Arafah

Keenam, memperbanyakkan berdoa. Hadis Nabi SAW bermaksud; “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Hadis Riwayat Malik).

Amalan terbaik pada hari wukuf di Arafah adalah berdoa kepada ALLAH SWT. Ia waktu berdoa paling mustajab dan paling dekat untuk dimakbulkan.

Selain amalan dinyatakan di atas, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan soleh seperti bersedekah, membaca al-Quran, menuntut ilmu dan sebagainya.

Justeru, keistimewaan dan kelebihan ALLAH SWT kurniakan pada 10 hari awal Zulhijjah ini perlu direbut umat Islam meraih cinta dan kasih sayang ALLAH SWT.

Zulhijah
Hukum,

Jauhi 11 larangan ini pada Zulhijah

UMAT Islam sedia maklum tentang bulan Zulhijah yang terkandung pelbagai keistimewaan terutama pada 10 hari terawal.

Disebabkan itu, ramai yang berlumba-lumba untuk melaksanakan pelbagai ibadah sunnah yang boleh menambah ‘akaun pahala’ masing-masing.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis daripada Ibn Abbas RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh ALLAH untuk dilakukan melainkan hari-hari ini – baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijah.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan ALLAH tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda: “Walaupun jihad di jalan ALLAH tidak dapat menandinginya melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Abu Daud, Ibn Majah dan at-Tirmizi)

Begitupun, kita juga perlu cakna dengan beberapa amalan dan perkara yang dilarang dalam bulan Zulhijah. Bagi mereka yang tidak tahu, Zulhijah sebenarnya antara salah satu daripada empat bulan-bulan haram.

Berikut 11 perkara yang dilarang dilakukan pada bulan terakhir dalam kalendar Islam sepertimana dipetik daripada portal kalam.sindonews.com:

1. Dilarang melakukan kemungkaran terhadap ALLAH SWT.

Zulhijah

JAUHI perbuatan maksiat yang boleh menjebakkan diri ke lembah kebinasaan dan menzalimi diri.

Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya jumlah bulan menurut ALLAH ialah dua belas bulan, (sebagaimana) dalam ketentuan ALLAH pada waktu DIA menciptakan langit dan bumi, di antaranya ada empat bulan haram. Itulah (ketentuan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi dirimu dalam (keempat-empat bulan) itu, dan perangilah kaum musyrikin semuanya sebagaimana mereka memerangi kamu. Dan ketahuilah bahawa ALLAH bersama orang-orang yang bertakwa.” (Surah at-Taubah, ayat 36)

Bulan haram yang disebutkan dalam ayat itu ialah Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab sebagaimana dijelaskan dalam hadis yang masyhur.

Ketahuilah bahawa pada bulan-bulan berkenaan, umat Islam dilarang daripada melakukan kezaliman terhadap diri masing-masing.

Baca juga Dosa Digandakan Apabila Melakukan Maksiat Dalam Bulan Haram?

Bagaimanapun, ia bukan hanya terhad pada bulan-bulan haram itu sahaja, tetapi juga pada hari yang lain juga.

2. Larangan menyusahkan orang lain.

Zulhijah

UMAT Islam dianjurkan untuk saling bantu-membantu dalam perkara kebaikan dan tidak menyusahkan orang lain.

Daripada Aisyah RA, beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda di dalam rumahku ini: “Wahai Tuhanku, barang siapa yang dilantik menguruskan urusan umatku ini, lalu dia menyusahkan urusan umatku, maka susahkanlah (urusan) mereka. Dan barang siapa yang dilantik menguruskan urusan umatku dan dia melakukannya dalam keadaan yang lembut dan tidak baik, maka ENGKAU berlaku lembutlah terhadap mereka.” (Sahih Muslim)

Baca juga Tidak Mampu Bantu, Jangan Pula Beri Mudarat Kepada Orang Lain

Menerusi hadis berkenaan, kita dapat lihat doa Rasulullah SAW buat mereka yang diberi amanah untuk menjaga sesama manusia. Andai mereka tidak melunaskan tanggungjawabnya dengan baik, maka ia akan mendatangkan kesukaran kepada mereka.

3. Lalai ketika diberi kesempatan untuk beramal.

Daripada Ibn Abbas RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh ALLAH untuk dilakukan melainkan hari-hari ini – baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijah.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan ALLAH tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda: “Walaupun jihad di jalan ALLAH tidak dapat menandinginya melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Abu Daud, Ibn Majah dan at-Tirmizi)

Justeru, amat malang jika kita mensia-siakan peluang yang terbentang luas di depan mata begitu sahaja.

4. Meremehkan amalan sunnah.

Zulhijah

JANGAN meremehkan amalan sunat yang boleh menampung kekurangan yang fardu.

Walaupun sekecil-kecil sunnah, usah sesekali kita memandang remeh. Ketahuilah bahawa amalan-amalan sunnah itulah yang akan menampung ‘kecacatan’ yang fardu.

Jangan hanya menganggap bahawa amalan fardu sahaja sudah memadai dan sempurna sehingga membuatkan diri terasa malas untuk mengerjakan yang sunat. Ingatlah, sesiapa yang melakukan amalan sunnah, maka dirinya akan meraih lebih banyak pahala untuk bekalan di akhirat kelak.

5. Tidak banyak berdoa.

Doa adalah senjata bagi orang mukmin. Barang siapa yang tidak berdoa, mereka tergolong sebagai manusia yang sombong dengan ALLAH SWT. Ini kerana, berdoa merupakan antara salah satu perintah-NYA kepada hamba-hamba-NYA sebagaimana disebutkan dalam Surah Ghafir, ayat 60.

Baca juga Banyakkan Berdoa Pada Hari Arafah Ini, Antara Waktu Terbaik Doa Dimakbulkan

Pada hari Arafah nanti, jangan lupa untuk bermunajat dan memanjatkan doa kerana ia antara waktu mustajab berdoa.

Abdullah bin ‘Amr berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Riwayat at-Tirmizi)

Zulhijah

BERDOA dan bermunajatlah kepada ALLAH SWT terutama pada Hari Arafah ini kerana ia merupakan salah satu waktu mustajab berdoa.

6. Memotong kuku bagi yang melakukan ibadah korban.

Kepada mereka yang menyertai ibadah korban, disunatkan agar tidak memotong kuku atau rambut bermula 1 Zulhijah sehinggalah selesai haiwan korban mereka disembelih.

Ummu Salamah RA berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang mempunyai binatang korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Sunat tidak memotong kuku, rambut sehingga selesai ibadah korban

7. Memotong rambut bagi mereka yang melaksanakan ibadah korban.

Zulhijah

DISUNATKAN tidak memotong rambut pada kepada dan badan bagi mereka yang melakukan ibadah korban sehinggalah haiwan korban masing-masing selesai disembelih.

Anjuran itu sama seperti hadis yang dinyatakan di atas. Antara hikmahnya, ia supaya semua anggota yang terdapat pada badan mereka yang melakukan ibadah korban berkenaan akan dibebaskan daripada api neraka. Demikianlah pandangan yang disebutkan oleh Imam Nawawi dalam Syarahnya.

8. Tidak menjalankan syariat udhiyyah (ibadah korban).

Bagi mereka yang menjalankan ibadah korban, penuhilah syarat-syarat sebagaimana dianjurkan oleh syariat supaya ia dapat dilakukan dengan sempurna.

Baca juga Ibadah Korban Kifarat Dosa Kepada Pelakunya, Ia Amalan Yang Dicintai ALLAH Pada Aidiladha

9. Riak dalam beramal.

Ketahuilah, riak termasuk sebagai perbuatan yang sombong dan berdosa. Janganlah kita melakukan ibadah korban semata-mata kerana riak atau sekadar mahu menunjuk-nunjuk bahawa kita mampu. Nescaya perbuatan itu hanya sia-sia sahaja kerana tidak dapat meraih pahala.

Sebaiknya, lakukanlah amal ibadah semata-mata kerana ALLAH SWT dan untuk mendekatkan diri kepada-NYA, insya-ALLAH ganjaran pahala setimpal menanti.

10. Tidak mandi sebelum solat sunat Hari Raya Aidiladha.

Zulhijah

JANGAN lupa untuk mandi sunat pada Hari Raya Aidiladha.

Walaupun ia nampak remeh, tetapi tuntutan itu begitu digalakkan untuk semua umat Islam.

Dalam sebuah hadis, seorang lelaki bertanyakan kepada Ali RA tentang mandi. Lalu Ali menjawab: “Mandilah setiap hari jika kamu mahu.” Lelaki itu berkata: “Bukan itu, tetapi mandi yang benar-benar mandi.” Ali menjawab: “Mandulah pada hari Jumaat, Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha dan hari Arafah.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

11. Tidak melakukan ibadah korban bagi yang mampu.

Meskipun hukum mengerjakan ibadah korban adalah sunat muakkad bagi mereka yang berkemampuan, tetapi Mazhab Hanafi menyatakan, ia disebut sebagai sunanul huda iaitu hampir dengan hukum wajib.

Sesiapa yang mengerjakannya, maka dia akan beroleh pahala, manakala mereka yang meninggalkannya, tidak berdosa tetapi ada peringatan.

Baca juga Buat korban tiap tahun…wajib ke bagi yang mampu? 

Namun begitu, dalam hal itu, sebahagian ulama berpendapat, wajib bagi orang yang mampu untuk berkorban.

Zulhijah

BAGI mereka yang berkemampuan, lakukanlah ibadah korban yang sangat dituntut untuk mendekatkan diri kepada ALLAH, selain membantu golongan fakir dan miskin merasai kenikmatan daging korban.

Ia berdasarkan kepada dalil yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang mempunyai kemampuan tetapi tidak berkorban, maka janganlah ia menghampiri tempat solat kami.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

Demikian antara perkara yang tidak boleh dilakukan oleh umat Islam pada bulan Zulhijah. Barangkali ada sebahagian perkara yang kita terlepas pandang, namun usahlah kita ulangi kesilapan sama pada masa akan datang.

Foto: Bernama, Freepik & 123rf

Kuku
Hukum,

Sunat tidak memotong kuku, rambut sehingga selesai ibadah korban

BAGI yang berniat menunaikan ibadah korban pada tahun ini, maka dianjurkan agar tidak memotong kuku dan rambut apabila masuknya 1 Zulhijah sehinggalah masing-masing selesai menyembelih haiwan korban mereka.

Mengikut kalendar, 1 Zulhijah jatuh pada lusa iaitu hari Jumaat. Ini bermakna, esok adalah hari terakhir bagi peserta ibadah korban untuk memotong kuku dan rambut.

Anjuran berkenaan bertepatan dengan berpandukan hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah RA.

Beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang mempunyai binatang korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Esok hari terakhir potong kuku bagi yang sudah berniat

Memetik artikel Irsyad al-Fatwa Haji dan Korban Siri 12: Anjuran untuk Tidak Memotong Kuku dan Rambut bagi yang Ingin Melakukan Ibadah Korban Apabila Tibanya 1 Zulhijah yang disiarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, apabila sudah masuk bulan Zulhijah, perkara tersebut sunat untuk dilakukan termasuklah tidak memotong rambut bukan sahaja pada kepala, tetapi juga pada badan atau wajah sehinggalah haiwan korban mereka disembelih.

Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim menjelaskan, sebahagian ulama memahami hadis yang dinyatakan tadi dengan mengatakan, haram untuk memotong rambut, mencabut bulu-bulu yang ada pada badan dan memotong kuku.

Kuku

MENURUT Imam Syafie dan ashabnya, larangan memotong kuku tersebut dihukumkan sebagai makruh tanzih dan bukannya haram.

“Demikianlah pandangan yang diutarakan oleh Sa’id bin al-Musayyib, Rabu’ah, Ahmad, Daud al-Zahiri, Ishak dan juga sebahagian ashab al-Syafie.

“Adapun, Imam al-Syafie dan ashabnya yang lain mengatakan bahawa larangan tersebut hanyalah makruh tanzih dan bukannya haram,” katanya.

Sesungguhnya, setiap anjuran tersebut pasti ada sebab-sebabnya yang tersendiri.

Ketahuilah bahawa antara hikmah yang disebutkan oleh Imam Nawawi dalam Syarahnya, anjuran tidak memotong kuku dan menggunting rambut bagi mereka yang mengerjakan ibadah korban itu adalah supaya semua anggota yang terdapat pada badannya itu akan dibebaskan daripada api neraka.

Kuku

ANJURAN tidak memotong rambut dan kuku bagi mereka yang berniat mengerjakan ibadah korban itu dalah supaya semua anggota yang terdapat pada badannya itu akan dibebaskan daripada api neraka.

“Ada pula pendapat lemah yang menyatakan, ia adalah untuk menyerupai orang yang berada dalam keadaan ihram yang mana dia diharamkan untuk bergunting, mencukur, memotong kuku dan beberapa larangan lain,” kata artikel berkenaan.

Baca juga Rambut wanita yang dipotong tetap aurat. Tak boleh diperlihatkan pada orang lain sesuka hati

Sementara itu, mereka terpotong rambut dan kuku ataupun sengaja berbuat demikian sebelum melaksanakan ibadah korban, laman web people.utm.my menyatakan, memadai individu berkenaan memohon keampunan kepada ALLAH SWT.

Bahkan, orang itu juga tidak dikenakan fidyah (tebusan atau denda) sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Qudamah RA dalam kitab al-Mughni.

“Majoriti ulama dari Mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan, makruh hukumnya memotong kuku atau rambut yang ada pada badan bermula 1 Zulhijah sehingga ibadah korban dilaksanakan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web berkenaan.

Foto: Freepik & Unsplash