Browsing Tag

zikir

Selawat
Personaliti, Pilihan Editor,

Begitu Hebatnya Nabi Idris Berzikir Sehingga Malaikat Suarakan Keinginan Bersahabat Dengan Baginda

no comment

NABI IDRIS AS tergolong sebagai antara 25 nabi dan rasul yang wajib diketahui oleh umat Islam. Walaupun kita bukanlah umat baginda, tetapi kisah masyhur berkaitan dengannya perlu diambil peduli.

Kisah Nabi Idris dan para anbia yang lain sangat signifikan kepada umat Islam. Segala panduan, pengajaran mahupun pedoman yang dititipkan, wajib dijadikan panduan kepada kita dalam menjalani kehidupan seharian.

Sesungguhnya, cerita Nabi Idris sungguh unik. Seperti yang tercatat dalam hadis dan kitab-kitab muktabar, tahap keimanannya yang tinggi telah menyebabkan malaikat ingin berkawan dengannya.

Sungguh beruntung diri baginda apabila makhluk ALLAH SWT yang paling mulia itu mahu bersahabat dengan seorang manusia!

Nabi Idris AS juga dipuji oleh ALLAH SWT dengan sebutan al-Siddiq (nabi yang benar) dan telah diangkat darjatnya ke tingkat yang tinggi.

Apakah amalan yang dilakukan oleh baginda sehinggakan malaikat mahu mendampinginya? Mengapa malaikat sangat mencintai dirinya dan apa sebab Nabi Idris sangat dihormati oleh umatnya?

Baca juga Umat Islam Berpeluang Berdamping Dengan Baginda Pada Hari Kiamat Kelak. Berikut Adalah Syarat-Syaratnya…

Tak lekang berzikir

Bagi mendalami kisah Nabi Idris AS, Sinar Islam Plus mendapatkan pendakwah Muhammad Hadi Talhah.

MUHAMMAD HADI

Beliau memulakan inti patinya dengan dua potong ayat al-Quran yang menggambarkan tentang keperibadian Nabi Idris AS.

ALLAH SWT berfirman: “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (al-Quran) ini perihal Nabi Idris; sesungguhnya adalah ia amat benar (tutur katanya dan imannya), serta dia seorang nabi. Dan KAMI telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.“ (Surah Maryam, ayat 56-57)

Ujar Muhammad Hadi, Nabi Idris AS ialah nabi kedua wajib diketahui selepas Nabi Adam AS.

Sebagaimana sifat-sifat yang ada pada para anbia lain, jelas beliau, nabi ALLAH yang satu itu terkenal sebagai seorang yang kuat beribadah dan lidahnya tidak pernah lekang daripada melafazkan zikrullah.

“Diceritakan dalam riwayat yang masyhur, Nabi Idris AS merupakan individu pertama yang menjahit. Begitu zuhudnya baginda apabila setiap kali menjahit, bibirnya tidak pernah berhenti daripada berzikir.

“Tatkala menjahit, semasa mencucuk pakaian dengan jarum dan benang, maka setiap kali itulah baginda akan mengucapkan Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahu akbar.

“Ucapan berkenaan akan diulangi setiap kali perbuatan sama dilakukan,“ katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Berdasarkan akhlak yang ditonjolkan, Nabi Idris AS seorang yang begitu kuat berzikir dan tidak pernah lelah beribadah kepada ALLAH SWT. Maka, tidak hairanlah mengapa ada malaikat yang ingin berkawan dengan baginda, ungkapnya.

Nabi Idris

SETIAP kali mencucuk pakaian dengan jarum dan benang, Nabi Idris AS tidak pernah lekang daripada melafazkan zikrullah dan ia sentiasa diulang setiap kali perbuatan itu dilakukan.

“Ada satu malaikat datang menyerupai seorang manusia yang tampan bertemu dan berkawan dengan baginda.

“Apabila diketahui ‘insan‘ berkenaan ialah malaikat, maka baginda meminta rakannya itu membawanya meronda ke langit iaitu tempat tinggalnya para malaikat.

“Dengan izin ALLAH, sampailah baginda ke sana. Dikatakan bahawa tatkala tiba di langit keempat, nyawa baginda dicabut oleh malaikat Izrail. Sebab itulah ketika peristiwa Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad SAW bertemu Nabi Idris di langit keempat,“ jelasnya.

Menyambung hujahnya, ujar agamawan itu, kisah berkenaan sebenarnya mahu mengajak umat Islam supaya membasahkan lidah dan mengingati ALLAH SWT di mana sahaja kita berada.

Ketahuilah, zikir merupakan satu suruhan yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam.

Ia sebagaimana yang dijelaskan oleh ALLAH SWT menerusi firman-NYA: “Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) ALLAH, zikir yang sebanyak-banyaknya.“ (Surah Al-Ahzab, ayat 41)

Banyakkan mengingati ALLAH

Seandainya kita mahu ALLAH SWT sentiasa melimpahkan perlindungan dan pertolongan-NYA, Muhammad Hadi berpesan, kita sesekali jangan lupa untuk mengingati-NYA.

“Sentiasalah ingat ALLAH dalam setiap tindak tanduk dan perbuatan kita. Ini termasuklah apabila hendak masuk bilik air, keluar bilik air, sebelum tidur, bangun daripada tidur waima masuk ke dalam rumah, bacalah doa yang dianjurkan.

“Bukan apa, semua itu sebenarnya tanda ingatan kita kepada ALLAH SWT. Berdoa juga dikira sebagai berzikir. Begitu juga apabila kita membaca al-Quran, berselawat dan mendirikan solat.

“Ketahuilah, semua ibadah dan perbuatan mengingati ALLAH SWT itu umpama zikir.

“Tidak kisahlah sama ia dilakukan secara formal menerusi zikir-zikir yang biasa kita lafazkan, mahupun menerusi setiap perbuatan kita. Sesungguhnya, zikir itu tiada had dan batas,“ ujarnya.

Fakta berkenaan turut dipersetujui Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Mohd Hasrul Shuhari.

DR MOHD HASRUL

Ujar beliau, zikir merupakan ibadah yang begitu istimewa kerana ia terbuka dan mudah diamalkan dalam apa jua keadaan.

Memetik pandangan Imam an-Nawawi, para ulama bersepakat bahawa harus berzikir seperti bertasbih, bertahmid, bertakbir, berselawat, berdoa dan seumpamanya secara dalam hati serta lisan bagi mereka yang berhadas, berjunub, haid dan nifas.

“Maka, umat Islam perlu ambil peluang ini untuk tidak meninggalkan amalan berkenaan, apatah lagi ia adalah arahan daripada ALLAH SWT dan Rasulullah SAW yang mempunyai banyak fadilat.

“Justeru, umat Islam boleh memilih mana-mana zikir yang disukainya. Antaranya mengucapkan selawat, tasbih (subhanallah), tahmid (alhamdulillah), takbir (Allahuakbar), tahlil (la ilaha illallah), istighfar (astaghfirullah) dan lain-lain.

“Kita juga boleh memilih sama ada berzikir secara perlahan, kuat, berseorangan, berjemaah, zikir lisan mahupun di dalam hati dengan jumlah bilangan yang diingini,“ katanya.

Israiliyyat

Betapa hebatnya zikrullah itu, kata ahli akademik itu, apabila Rasulullah SAW memberi beberapa isyarat menerusi hadis baginda bahawa ibadah berkenaan lebih utama berbanding dengan yang lain.

Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya golongan mufarridun telah mendahului. Siapa mufarridun itu wahai Rasulullah? Baginda bersabda: “Iaitu mereka yang asyik dalam zikrullah yang mana zikir itu telah meletakkan (meringankan/melepaskan) bebanan mereka, maka mereka akan datang pada hari kiamat dalam keadaan ringan.“ (Riwayat at-Tirmizi)

Namun begitu, Dr Mohd Hasrul mengingatkan, sekalipun kita mengutamakan zikir, tetapi jangan sesekali meninggalkan perkara wajib seperti fardu ain dan kifayah yang lain.

Nabi Idris


BANYAKKANLAH berzikir tanpa mengira waktu kerana ia merupakan ibadah yang utama berbanding ibadah-ibadah sunat yang lain.

Berbalik kepada kisah Nabi Idris AS, mengapakah perihal berkaitan baginda berkawan dengan malaikat ada pelbagai versi cerita?

Ada yang mengatakan baginda berkawan dengan malaikat maut dan ada pula cerita baginda bersahabat dengan malaikat biasa?

Menjawab persoalan itu, Dr Mohd Hasrul menjelaskan, ini kerana kebanyakan kisah tentang para nabi terdahulu adalah berasal daripada riwayat Israiliyyat iaitu perkhabaran, periwayatan dan kisah-kisah yang bersumberkan khususnya daripada Yahudi atau Nasrani yang tidak disebut dalam al-Quran dan hadis.

“Realitinya memang bukan semua peristiwa pada zaman dahulu disebut dalam al-Quran dan hadis apatah lagi nama Nabi Idris AS disebut dua kali sahaja dalam al-Quran iaitu surah Maryam ayat 56 dan surah al-Anbiya‘ ayat 85.

“Islam datang bukanlah dengan menceritakan semua kisah dan menafikan semua kisah, sebaliknya Islam bertindak adil dengan menapisnya,“ katanya.

Nabi Idris

KEBANYAKAN kisah tentang para nabi terdahulu adalah berasal daripada riwayat Israiliyyat iaitu perkhabaran, periwayatan dan kisah-kisah yang bersumberkan khususnya daripada Yahudi atau Nasrani yang tidak disebut dalam al-Quran dan hadis.

Beliau kemudian menukilkan pandangan pensyarah kanan bidang hadis di Kolej Universiti Islam Selangor, Dr Mohd Khafidz Soroni bahawa terdapat tiga jenis kisah Israiliyyat.

Pertama, katanya, ia melibatkan kisah yang diketahui kesahihannya berdasarkan dalil yang membenarkannya dan selari dengan syariat, maka ia diterima untuk dijadikan pedoman.

“Kedua adalah kisah Israiliyyat yang diketahui kepalsuannya berdasarkan dalil yang mendustakannya dan bertentangan dengan syariat, maka ia ditolak.

“Satu lagi pula adalah kisah Israiliyyat yang tidak diketahui sama benar atau salah. Maka, harus meriwayatkannya sebagai saksi dan iktibar terhadap kewujudan cerita asal, bukannya sebagai dalil dan sokongan terhadap kebenarannya.

“Secara ringkasnya, ada kisah Israiliyyat yang diterima, ada pula yang ditolak dan terdapat kisah Israiliyyat yang didiamkan, tetapi boleh diriwayatkan tanpa mengatakan ia benar atau salah.

“Kemungkinan besar, kisah dialog Nabi Idris AS dan malaikat maut ini adalah kisah Israiliyyat kategori ketiga kerana ramai ulama tafsir muktabar yang meriwayatkannya,“ jelas Dr Mohd Hasrul.

Nabi Idris kuasai pelbagai ilmu dan kemahiran

NABI IDRIS AS begitu dikenali sebagai rasul atau individu yang mencetuskan banyak ilmu. Pelbagai bidang yang dipelopori oleh baginda, sebagaimana yang disebutkan dalam kitab-kitab muktabar.

Pendakwah Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Faiz menjelaskan, nabi yang berasal daripada keturunan Nabi Adam AS itu bukan sahaja menjadi manusia pertama yang menjahit pakaian, tetapi baginda juga individu terawal mencipta senjata, menguasai ilmu perbintangan, hisab dan lain-lain lagi.

PU FAIZ

“Baginda bukanlah individu yang calang-calang kerana mempunyai akal yang begitu tajam. Dek kerana kecerdikannya itulah yang membawanya melawat syurga dan neraka,“ katanya kepada Sinar Islam Plus.

Tatkata malaikat maut datang menziarahi Nabi Idris AS, ujar pendakwah itu, baginda bertanyakan adakah tujuan kedatangan makhluk ALLAH yang mulia itu mahu mengambil nyawanya atau sebaliknya?

“Apabila diketahui tujuannya sekadar untuk menziarah, maka baginda meminta supaya malaikat maut meminta izin ALLAH untuk mencabut nyawanya.

“Baginda ingin tahu betapa sakitnya saat roh terpisah daripada jasad untuk menambahkan lagi kekuatannya beribadah kepada ALLAH.

“Ternyata permintaannya itu dikabulkan, lalu dicabutlah nyawa baginda. Maka, menangislah malaikat maut dan berdoa supaya baginda dihidupkan semula.

“ALLAH memperkenankannya. Sebaik sahaja Nabi Idris dihidupkan semula, baginda berkata betapa sakitnya sakaratul maut itu umpama kulit yang disiat-siat,“ katanya.

Setelah itu, ujar PU Faiz, sekali lagi Nabi Idris membuat permintaan untuk melawat ke neraka. Matlamatnya hanyalah untuk meningkatkan ibadah lagi kepada ALLAH.

“Setelah dibawa melihat neraka, baginda meminta untuk melawat syurga. Pada mulanya, Nabi Idris hanya melihat dari luar. Apabila mendapati begitu indahnya syurga, sekali lagi baginda menyampaikan hajat untuk masuk ke dalamnya.

“Maka masuklah baginda ke dalam tempat yang paling diidam-idamkan oleh umat Islam itu sehinggakan baginda dikatakan enggan keluar dari syurga nan indah.

“Saat hendak keluar dari syurga, sepatu baginda yang diletakkan di bawah sepohon pokok di syurga tertinggal. Lalu, baginda meminta izin daripada malaikat maut untuk mengambilnya.

“Setelah masuk semula ke dalam syurga, Nabi Idris AS enggan keluar lagi kerana nikmatnya syurga. ALLAH mengizinkanNYA,“ katanya.

Nabi Idris


BANYAK kelebihan apabila kita mengingati ALLAH. Antaranya ALLAH SWT akan mengingati hamba-NYA yang berzikir, melindunginya dan memeliharanya.

Berdasarkan kisah itu dan peristiwa Israk dan Mikraj yang ditempuhi oleh Nabi Muhammad SAW, PU Faiz berkata, para ulama Ahli Sunah Waljamaah beriktikad bahawa syurga dan neraka sudah ada sekarang.

“Bukan apabila tibanya kiamat nanti, ALLAH baru hendak jadikan syurga dan neraka,“ katanya.

ANEKDOT

SALASILAH Nabi Idris AS

– Ada beberapa riwayat menyatakan, nama sebenar Nabi Idris AS ialah Akhnukh ataupun Khanukh.

– Baginda dipanggil Idris AS kerana banyak mempelajari kitab. Ia diambil daripada perkataan Arab iaitu darasa (belajar).

– Nabi Idris AS merupakan datuk kepada ayah Nabi Nuh AS dan keturunan keenam Nabi Adam AS.

– Selain menjadi tukang jahit pertama, baginda juga individu paling awal menulis dengan pena, menggunakan ilmu falak, matematik dan banyak lagi.

– Sebelum itu, semua orang memakai pakaian daripada kulit sahaja.

– Nabi dan rasul kedua yang wajib diketahui itu merupakan individu yang mula-mula mencipta senjata tajam.

– Ilmu yang dimiliki baginda membuatkan malaikat begitu dekat dan mahu bersahabat dengannya.

– Dalam satu riwayat, Nabi Idris kini dikatakan hidup di langit keempat. Ada pula menyatakan di langit keenam, ketujuh dan riwayat lain mengatakan baginda berada di dalam syurga.

Sumber: Pendakwah Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli (PU Faiz)

Foto: Freepik & 123rf

Major 9
Berita Semasa,

Pendekatan Major 9 ajak umat Islam berzikir

no comment

Oleh FOUZIAH AMIR

ALUNAN zikrullah yang meniti pada bibir dan dalam hati sememangnya menenangkan jiwa orang yang melazimkannya. Apatah lagi bait-bait kalimah memuji ALLAH SWT dilafazkan menerusi pendekatan zikir acapella yang menusuk kalbu.

Demikian pendekatan yang dilakukan oleh sekumpulan lima anak muda daripada kumpulan vokal ketuhanan, Major 9 yang menghasilkan zikir selawat bertajuk Subhanallah Acapella Zikir.

Ia menjadi runut bunyi (OST) bagi program Wacana Al-Quran Edisi Khas Al-Quds anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Sinar Harian yang disiarkan menerusi semua pelantar digital Sinar Harian serta Wacana Al-Quran pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat, jam 5.30 petang bermula 24 Mei lalu.

Selaku ketua kumpulan Major 9, Muhammad Fikri Abdoll Aziz, 28 berkata, pihaknya bersyukur dan teruja dapat menjalin kolaboratif bersama WUIF.

Major 9

MUHAMMAD FIKRI

Kata beliau, menerusi OST tersebut, mereka mahu mengajak umat Islam bertasbih dengan memuji ALLAH SWT.

“Sebagai generasi muda, kami ingin menyuntik kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang betapa pentingnya al-Quran dan as-sunnah sebagai panduan hidup seharian.

“Pada hari ini, kita lihat ramai anak muda berasa tertekan dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup. Namun, jika mereka berpegang kepada dua ‘pusaka wajib itu’ (al-Quran dan as-sunnah) dan mengamalkannya, ia dapat memberi ketahanan mental dan spiritual,” katanya ketika ditemu bual Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Baca juga Kakitangan Universiti Britain Desak Putus Hubungan Dengan Universiti Israel

Besar harapan Muhammad Fikri dan kumpulan Major 9 yang ditubuhkan sejak tahun 2012 itu untuk melihat buah tangan terbaharu mereka dapat mencetuskan semangat dan inspirasi kepada masyarakat Islam untuk memperbanyakkan tasbih dan beristighfar, sekali gus mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

“Kami mengambil masa selama lima hari untuk menyiapkan Subhanallah Acapella Zikir. “Sebelum ini, kami pernah bekerjasama bersama WUIF untuk menghasilkan OST TickTalk TV bertajuk Astaghfirullah Acapella Zikir.

“Ramai yang sukakan alunan zikir tersebut kerana menenangkan jiwa yang sedang tertekan,” katanya.

Untuk mengikuti siaran Wacana Al-Quran Edisi Khas Al-Quds dan Salawat Acapella Zikir, orang ramai boleh melayari https://bit.ly/3fzQj9E.

Untitled design - 2021-06-03T191619.410
Isu,

ALLAH ‘Jumpa’ Kita Apabila Lakukan Perkara Ini

no comment

MESKIPUN tidak tidak dapat melihat ALLAH SWT, namun kehadiran-NYA begitu dirasai. Masakan tidak, tanpa DIA, tiadalah kita dilahirkan untuk mengecapi kehidupan nikmat di dunia walaupun hanya sebentar cuma.

Pada hari akhirat kelak, beruntunglah orang mukmin yang dijanjikan oleh-NYA untuk melihat ALLAH SWT nanti.

Ia sebagaimana disebutkan dalam firman ALLAH SWT: “Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; melihat kepada Tuhannya.” (Surah al-Qiyamah, ayat 22-23)

Walaupun kita tidak dapat melihat dan bertemu ALLAH SWT ketika di dunia ini, ia bukanlah tiket untuk kita bersikap sewenang-wenangnya. Sebagaimana hidup kita yang penuh dengan peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi, begitu jugalah dengan agama Islam yang mengajar kita tentang akhlak, cara hidup, adab dan seumpamanya.

Ketahuilah bahawa kita sebenarnya masih boleh menjemput ALLAH SWT untuk ‘berjumpa’ dengan hamba-NYA.

Menjelaskan perkara itu, pendakwah Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al Hamid kemudian memetik sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda: “ALLAH SWT berfirman: AKU sesuai prasangka hamba-KU kepada-Ku dan AKU bersamanya selama mana ia mengingati-KU. Jika ia mengingati-KU dalam dirinya, maka AKU akan mengingatinya dalam diri-KU…” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis berkenaan, Habib Ali Zaenal Abidin menjelaskan, ia sebenarnya memerihalkan anjuran amalan berzikir yang kita lakukan secara bersendirian.

ALLAH jumpa kita

SENTIASA membasahkan lidah dengan zikrullah untuk mendekatkan diri kepada-NYA.

“Berzikir kepada ALLAH SWT secara bersendirian akan lebih memberikan tumpuan kepada diri seseorang yang berbuat demikian seakan-akan dirinya sedangkan diperhatikan oleh-NYA daripada sekian ramai makhluk-NYA.

Baca juga Israel Minta AS $ 1bn Untuk ‘Menampung’ Iron Dome

“Ia umpama kita mempunyai perjumpaan khas dengan orang yang hebat di dunia. Masakan tidak, individu masyhur berkenaan sanggup memperuntukkan masanya khas untuk kita, sedangkan begitu ramai orang di luar yang memerlukannya. Sudah tentulah kita berasa sangat betuah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di Instagram miliknya baru-baru ini.

Begitu jugalah yang kita rasakan apabila sentiasa membasahkan lidah dengan berzikir mengingati-NYA pada saat kita bersendirian, jelas pendakwah itu.

“Orang yang menyebut nama ALLAH SWT dan merasa dirinya ada ‘perjumpaan khas’ dengan-NYA seolah-olah berada di hadapan ALLAH dan sedang diperhatikan oleh-NYA dan didengari hajatnya.

“Itulah hikmah orang yang berzikir menyebut nama ALLAH SWT seakan-akan dunia ini tiada orang lain kecuali dirinya dan ALLAH SWT. Jika begitulah perasaan kita, pasti akan dapat ketenangan,” ujarnya.

ALLAH jumpa kita

BEGITU banyak fadilat yang bakal diraih andai kita sentiasa mengingati ALLAH dan sentiasa memuji serta mengagung-agungkan-NYA.

Sementara itu, memetik artikel bertajuk Zikir dan Peranannya Dalam Pembentukan Sahsiah yang disiarkan menerusi laman web Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan hasil nukilan Abdul Manam Mohamad al-Merbawi, kedudukan zikir sebenarnya sangat tinggi jika dibandingkan dengan amalan-amalan yang disyariatkan dalam Islam. Boleh dikatakan, zikrullah adalah amalan yang agung.

Darjah ketinggiannya boleh diukur apabila ALLAH SWT berfirman: “Dan sesungguhnya zikrullah itu adalah pekerjaan yang sangat agung dan ALLAH mengetahui apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Bahkan, mereka yang melazimkan diri dengan membasahkan lidah menyebut-nyebut dan mengagung-agungkan nama ALLAH dikira sebagai pendamping Tuhan.

Dalam sebuah riwayat: “ALLAH berfirman: “AKU adalah berdasarkan keyakinan hamba-KU terhadap-KU dan AKU bersamanya ketika dia mengingati-KU.” (Tafsir al-Baghawi)

Malah, peranan zikir dalam pembentukan sahsiah juga bukan calang-calang. Melalui amalan dan pendekatan mulia itulah sahsiah baik dapat terbentuk dan terbina dengan hati penuh keimanan serta ketakwaan.

Antara peranan zikir adalah:

1. Sebagai penggilap dan penyuci hati.

2. Penyedar hati yang lalai dan zikir juga menjadi pendorong kepada taubat.

3. Penghapus dorongan hawa nafsu.

4. Pengukuh keimanan.

5. Penghapus hijab rohani dan pembuka jalan makrifat.

ALLAH jumpa kita

ZIKRULLAH adalah amalan yang paling agung berbanding yang lain.

Sesungguhnya, begitu besar fadilatnya kepada mereka yang mengamalkannya. Sebagai hamba ALLAH, tidak lengkap rasanya jika kita tidak berbuat demikian.

Oleh itu, luangkanlah sedikit masa secara bersendirian untuk mengingati-NYA. Begitu banyak nikmat yang telah dikurniakan kepada kita. Tidak mampu kita membalasnya. Hanya ingatan tulus dan ikhlas serta mengerjakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-NYA boleh dilakukan sebagai tanda kita bersyukur atas pemberian-NYA.

Foto: Freepik

Berita Semasa, Panduan,

Jari jadi saksi di akhirat kelak, ini sebabnya Rasulullah SAW gunakannya bila berzikir dan bertasbih

SELALU kita tengok orang guna alatan untuk berzikir atau bertasbih di mana-mana. Malah, tasbih manik dan tasbih digital seakan menjadi barang yang wajib ada buat semua umat Islam.

Ya, pada perkiraan kita, alat tersebut sangat memudahkan kita untuk mengira jumlah tasbih dan zikir yang dibaca. Mungkin kerana reka bentuknya yang kecil dan ringan, mudah saja untuk di bawa ke mana-mana.

Tapi andai kita tiada alatan sekalipun, itu bukanlah alasan untuk kita tidak membasahkan lidah dengan membesarkan ALLAH SWT yang menciptakan segala makhluk yang ada di muka bumi ini.

Kitakan masih punya jari untuk mengira. Dengan jari inilah kita boleh berzikir dan bertasbih.

Bahkan, Rasulullah SAW juga menggunakan jari ketika berzikir dan bertasbih. Sebenarnya, ada sebab kenapa baginda berbuat demikian tau. Yang pastinya ia untuk kebaikan diri kita juga.

Apa istimewanya berzikir dan bertasbih dengan jari? Mengapa kita digalakkan bertasbih menggunakan jari bukannya dengan ‘mesin pengira’?

Sunat berpahala

Tatkala Sinar Islam mengajukan persoalan berkenaan, pendakwah Ustaz Fauzi Mustaffa mengajak kita mendalami hadis Nabi Muhammad SAW.

USTAZ FAUZI

Ujarnya, baginda SAW begitu mengalakkan umat Islam berzikir dengan menggunakan jari biarpun ketika itu sudah ada alat menyerupai tasbih diperbuat menggunakan anak-anak batu yang diikat.

Sabda baginda SAW: “Wahai para wanita mukminah, kalian harus rajin bertasbih, bertahlil dan mensucikan nama ALLAH. Janganlah kalian lalai sehingga melupakan rahmat. Hitunglah dengan jari-jari kalian kerana semua jari itu akan ditanya dan diminta untuk bicara (ditanya pada hari akhirat kelak).” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Tirmizi)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, ujar Ustaz Fauzi, meskipun hukumnya tidaklah wajib untuk kita bertasbih atau berzikir dengan jari, namun sunat seandainya perbuatan mulia itu dilakukan.

“Hukumnya sunat berpahala sebab kita beramal dengan sunah Nabi Muhammad SAW. Katakanlah kita bertasbih 33 kali atau melakukan tahlil, takbir, tasbih dan seumpamanya, gunakanlah jari.

“Jarilah yang akan menjadi saksi kepada kita sama ada kita berbuat baik atau sebaliknya. Seandainya kita gunakan jari ini (untuk bertasbih, berzikir) dan seumpamanya, jari inilah yang akan menjadi saksi di hadapan ALLAH bahawa kita menggunakannya untuk tujuan mengingati-NYA,” katanya kepada Sinar Islam ketika dihubungi baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ustaz Fauzi turut menegaskan, tidak menjadi satu kesalahan jika kita menggunakan peralatan seperti tasbih manik atau digital.

“Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan bilangan zikir yang banyak berjumlah ribuan dan sebagainya. Sebenarnya ada satu cara yang memudahkan untuk kita berzikir dengan banyak sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Bacalah subhanallah adada khalqihi (subhanallah sebanyak-banyak ciptaan-NYA),” jelas beliau.

Teladani cara Rasulullah SAW

Fakta yang dilontarkan oleh Ustaz Fauzi turut diakui oleh Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah.

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

Ujar beliau, sebenarnya, bertasbih atau berzikir menggunakan apa sahaja alat tidak menjadi halangan. Malah, dianjurkan jika penggunaan alat ibadah sebegini akan lebih mendorong, mempermudah dan memotivasikan kita untuk mengingati ALLAH.

Paling utama katanya, kita perlu sentiasa berusaha melazimi zikir dan tasbih sebagai sebahagian daripada rutin yang perlu dilakukan secara istiqamah.

“Namun dari sudut keutamaan, lebih afdal zikir dan tasbih dilakukan dengan jari berbanding alatan seperti manik dan tasbih digital. Ia berdasarkan kepada beberapa hadis-hadis Rasulullah SAW.

“Selain mengikuti sunah baginda dan jari menjadi saksi, amalan itu merupakan manifestasi syukur kita kepada ALLAH melalui sedekah oleh anggota badan kita,” katanya.

Jelas ahli akademik berkenaan, Rasulullah SAW juga sering mempraktis tasbih dengan jari.

Daripada Abdullah bin ‘Amr, beliau berkata: “Saya melihat Rasulullah SAW menghitung tasbih dengan melipatkan jari-jari menggunakan tangan kanannya.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Ustazah Sharifah Fadylawaty menjelaskan, maksud menghitung (aqdu) menurut amalan orang Arab adalah dengan meletakkan salah satu hujung jari pada pelbagai ruas jari yang lain. Ia sebagaimana disebutkan dalam Nataij Al-Afkar fi Takhrij Ahadith Al-Adzkar, 1/90.

“Dibolehkan kita berzikir dengan kedua-dua tangan. Namun, kita dianjurkan untuk mengutamakan yang kanan kerana Rasulullah SAW sentiasa mendahulukan anggota badan yang kanan untuk hal yang baik,” katanya.

 

Berzikir

CONTOH kaedah pengiraan zikir menggunakan jari yang boleh kita amalkan. -Foto: Facebook Abu Anas Madani)

Menjawab satu soalan lain, kata Ustazah Sharifah Fadylawaty, dari sudut lain, berzikir atau bertasbih dengan jari didapati sangat efektif dalam terapi psikologi.

“Terdapat satu kajian di Indonesia membuktikan bahawa amalan berzikir menggunakan jari kanan didapati berupaya meningkatkan kemampuan kognitif pesakit skizofrenia,” jelas beliau mengakhiri bicara.

Sesungguhnya, terdapat banyak kelebihan berzikir dan bertasbih dengan jari. Fadilatnya bukan calang-calang. Sebagai hamba ALLAH SWT, selayaknya kita wajib mengingati-NYA yang menciptakan segala makhluk sekalian alam.

Justeru, walau sesibuk mana pun, latih diri agar sebati dengan amalan mulia itu. Paling tidak pun, lakukanlah pada setiap kali selepas menunaikan solat atau sebelum tidur sebagai ‘pemberat amal’ untuk kita pada hari perhitungan kelak.

ANEKDOT

Kelebihan dan ganjaran berzikir

– Pemberat amal.

– Memperoleh keampunan ALLAH SWT.

– Mengurangkan tekanan dan kepenatan.

– Disukai oleh ALLAH SWT.

– Menyucikan hati.

– Penyelamat daripada azab ALLAH.