Browsing Tag

ziarah orang sakit

Berita, Berita Semasa,

Nak ziarah orang sakit jangan semberono saja, ketahui adab-adab yang diajar oleh Islam

KALAU sudah namanya hidup bermasyarakat, pastinya kita kena ambil tahu keadaan di sekeliling terutama jiran berhampiran.

Ia bukanlah bermaksud kita menjaga tepi kain orang. Namun, cukuplah sekadar ambil tahu perihal kesihatan dan keperluannya yang mungkin kita boleh bantu.

Seandainya dikhabarkan jiran, kenalan mahupun saudara-mara dalam keadaan sakit, segeralah melawat mereka.

Ketahuilah, Islam begitu menganjurkan umatnya agar menziarahi saudara seagamanya yang sakit. Ini kerana agama suci itu sangat menitikberatkan umatnya agar menjaga hubungan sesama manusia dan menunaikan hak masing-masing.

Ziarah orang sakit sebenarnya merupakan antara hak-hak yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim kepada saudaranya.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Hak Muslim ke atas Muslim enam perkara: Dikatakan (sahabat bertanya): Apakah ia wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAW berkata: “Apabila kamu bertemu dengannya, maka ucapkanlah salam ke atasnya. Apabila kamu diundang, maka penuhilah. Apabila dia meminta nasihatmu, maka berilah nasihat kepadanya. Apabila bersin, maka ucapkanlah hamdalah serta balaslah (dengan doa yarhamukallah). Apabila dia sakit, maka ziarahilah dia. Apabila dia meninggal, maka hantarlah jenazahnya ke kubur.” (Riwayat Muslim)

Meskipun kita dianjurkan untuk menziarahi orang sakit, tetapi ada adab dan etika yang perlu dipatuhi sebagaimana yang diajarkan oleh agama Islam.

Ada beberapa adab yang digariskan oleh Islam ketika menziarahi orang sakit tidak kiralah sama ada di rumah atau di hospital.

Antara adab berkenaan adalah:

1. Tujuan ziarah ikhlas kerana ALLAH SWT

Melawatlah orang yang sakit dengan niat yang baik seperti kerana kasih sayang, persaudaraan dan tanggungjawab kita sebagai orang Islam.

Ingat, janganlah kita menziarahi mereka dengan niat lain seperti ingin mendapatkan kemewahan, pujian dan seumpamanya.

2. Pilih waktu yang sesuai

Jika di hospital, barangkali tiada masalah kerana ada waktu khusus untuk melawat. Andai orang sakit itu berada di rumah, sebaiknya beritahulah mereka atau waris yang menjaganya terlebih dahulu akan kehadiran kita.

Usahlah terlalu lama melakukan ziarah. Bukan apa, dikhuatiri ia akan mendatangkan kesusahan dan gangguan kepada orang sakit. Malah, ia mungkin boleh mengganggu orang sakit berhampiran jika di hospital seperti keadaan bising dan gurau senda yang kuat.

Ziarah orang sakit

DOAKAN agar saudara agama kita yang sakit diberi kesembuhan.

3. Ucapkanlah kata-kata yang baik

Ungkapkanlah kata-kata yang dapat menyenangkan, menggembirakan dan mententeramkan hati orang yang sedang sakit.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu menghadiri (menziarahi) orang sakit, maka katakanlah perkara-perkara yang baik. Ini kerana, malaikat akan mengaminkan setiap yang kamu ucapkan.” (Riwayat Muslim)

(Artikel berkaitan: 70,000 malaikat mendoakan kita bila lakukan amalan ini)

4. Tidak banyak bertanya atau bercakap

Ketika menziarahi mereka, jangan bercakap atau bertanyakan soalan sensitif yang tidak disukainya. Begitu juga perkataan yang boleh melemahkan semangat dan menambah kesakitannya.

5. Jangan cerita aib atau perkara buruk tentang orang sakit

Sembunyikanlah sebarang keburukan atau keiinginan mereka yang dilihat ketika ziarah.

6. Sentiasa mendoakan yang baik-baik

Berdoalah agar mereka diberi kesembuhan atas kesakitan yang dihadapi.

Jagalah adab ketika menziarahi orang sakit. Paling penting adalah menjaga tingkah laku, tutur kata dan tidak membuat bising.

Seperkara lagi, elakkanlah mengambil gambar pesakit ketika di hospital atau di rumah. Andai orang yang sakit itu mengizinkannya, peliharalah aurat dan aibnya ketika gambar dirakam untuk tujuan hebahan dan bantuan. Hukumnya adalah harus.

Jika sebaliknya, jangan melakukan perkara tersebut kerana dibimbangi menimbulkan fitnah.

Sumber: Sinar Islam, laman web Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Berita Semasa,

70,000 malaikat mendoakan kita bila lakukan amalan ini

HATI manalah yang tak seronok kalau dirinya sentiasa didoakan oleh orang lain. Maklum sajalah, bukan senang orang nak ingat pada kita dan mendoakan kita.

Paling tidak pun, kedua ibu bapa, ahli keluarga dan kenalan rapat yang mungkin sentiasa menitipkan doa buat kita.

Cuba bayangkan kalau malaikat yang mendoakan kita. Alangkah bertuahnya diri ini jika itulah realitinya.

Pastinya nak dapatkan doa malaikat bukan sesuatu yang mudah. Mesti banyak amal lain yang kita perlu buat.

Ya, memang ramai yang beranggapan begitu. Tapi sebenarnya ada satu amalan yang sangat terpuji boleh kita lakukan untuk mendapat doa daripada malaikat ini.

Demikian perkongsian oleh pendakwah Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang dalam sebuah video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Menurut beliau, amalan yang dimaksudkan adalah menziarahi orang sakit.

Pendakwah itu turut mengemukakan hadis yang menyokong kepada fakta berkenaan.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menziarahi saudaranya yang sakit di pagi hari, ada 70,000 malaikat yang mendoakannya untuk mendapat rahmat sehingga ke petangnya. Dan sekiranya dia menziarahinya pada waktu petang, maka 70,000 malaikat itu akan mendoakannya untuk mendapat rahmat ALLAH di malam hari hingga ke Subuh esok.” (Riwayat al-Tirmidzi dan Ahmad)

Dalam sebuah hadis qudsi, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH SWT di hari kiamat: “Wahai Anak Adam, AKU sakit akan tetapi kamu tidak menziarahi AKU.

Berkata (anak Adam): “Wahai Tuhan bagaimana mungkin aku menziarahi ENGKAU padahal ENGKAU adalah Tuhan sekalian alam?

ALLAH SWT berfirman: “Apakah kamu tidak ketahui bahawa seorang hamba-KU si fulan telah sakit, tetapi engkau tidak menziarahinya. Apakah engkau tidak mengetahui bahawa jika engkau menziarahinya akan engkau dapati AKU di sisinya?” (Riwayat Muslim)

Amalan didoakan malaikat

ZIARAHILAH orang sakit jika diberikan kesempatan berbuat demikian dan berdoa agar diberikan kesembuhan kepadanya.

Menjelaskan maksud hadis qudsi berkenaan, ujar Ustaz Syed Mohd Norhisyam, tatkala kita menziarahi orang sakit, ALLAH SWT menurunkan rahmat dan barakah-NYA di tempat orang yang sedang sakit tersebut.

“Bila kita pergi ziarah orang sakit, kita akan dengar (orang sebut nama) ALLAH, ya ALLAH. Bila kita ziarah orang sakit, (ia) akan mengingatkan kita kepada ALLAH SWT. Rahmat ALLAH di sisi orang sakit itu,” jelas beliau.

Pendakwah itu turut berkongsi kisah benar yang berlaku kepada sahabat perjuangan dakwahnya, Ustaz Hanafiah Abd Malek yang pernah diuji dengan kanser suatu masa dulu.

“Dalam satu slot saya bersama dengan Ustaz Hanafiah Abd Malek, beliau berkongsi antara amalan bila dia confirm sakit kanser.

“Beliau pergi ziarah orang sakit kanser lebih teruk daripadanya. Bila ada orang tanya ‘ustaz pun sakit juga, kenapa datang ziarah?’, Ustaz Hanafi jawab; ‘saya dengar ada hadis yang mendoakan kita yang ziarah. Jadi, saya nak mendapat doa malaikat. Sebab itulah saya ziarah orang yang sakit ni’,” kongsinya.

Seperkara lagi, kita kena faham bahawa menziarahi orang sakit merupakan antara hak yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam dan mendoakan mereka.

Para ahli ulama telah menggariskan beberapa adab untuk diikuti ketika menziarahi orang yang sedang sakit. Antaranya adalah:

– Memilih waktu yang sesuai untuk melakukan ziarah.
– Tidak mengambil tempoh masa yang lama ketika ziarah.
– Menundukkan pandangan pada perkara-perkara yang diharamkan.
– Tidak banyak bertanya atau bercakap.
– Menzahirkan kebimbangan dan keprihatinan terhadap orang yang sakit.
– Sentiasa mendoakan yang baik-baik kepada pesakit.

Bagaimanapun, ketika semua masih bergelut dengan pandemik Covid-19 kini, barangkali tuntutan ini tidak dapat ditunaikan.

Namun usahlah bersedih, sebaliknya berdoalah agar saudara seagama kita yang sakit agar diberi kesembuhan.

Pada masa sama, panjatkanlah doa semoga wabak Covid-19 segera berakhir agar kita dapat menjalani rutin biasa sebelum ini.

Sumber: Facebook Ustaz Syed Mohd Norhisyam al-Idrus dan Irsyad Hadith Siri ke-334: Malaikat Mengaminkan Doa kepada Orang Sakit, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan