Browsing Tag

zakat

Bayar zakat walaupun bukan Islam
Hukum,

Bayar zakat walaupun bukan Islam, apa hukumnya di sisi agama?

WALAUPUN bukan beragama Islam, tetapi bayar zakat. Itu yang dilakukan oleh pempengaruh media sosial berketurunan Siam, Shaniena Natasya a/p Lop, 20, atau lebih dikenali sebagai Niena.

Tindakan wanita beragama Buddha yang juga seorang usahawan itu mendapat pujian ramai.

Masakan tidak, beliau membayar zakat kerana merasakan perkara itu menjadi tanggungjawabnya kepada negara, termasuk golongan memerlukan dan fakir miskin.

Bayar zakat walaupun bukan Islam

PERKONGSIAN Niena di laman TikTok miliknya tentang pembayaran zakat yang dibuat.

 

Persoalannya, bolehkah orang bukan Islam membayar zakat?

Menerusi laman web Lembaga Zakat Selangor (LZS), antara syarat wajib seseorang mengeluarkan zakat ialah individu tersebut mestilah orang Islam.

Baca juga Walaupun diisytihar bankrap, tetap wajib bayar zakat fitrah

Maka, jelaslah bahawa orang bukan Islam belum layak mengeluarkan zakat.

Walaupun ‘zakatnya’ tidak sah kerana pemberinya bukan orang Islam, LZS menjelaskan, pihak pengurusan zakat boleh menerima pemberian tersebut.

“Ia dianggap sebagai penerimaan biasa iaitu sama ada hadiah atau apa sahaja dan bukannya zakat.

“Wang tersebut boleh dimasukkan ke dalam Baitulmal dan penggunaannya adalah untuk maslahah atau kebajikan umum,” katanya sebagaimana dipetik menerusi zakatselangor.com.my.

Andai kata, pemberi ‘zakat’ tadi yang pada awalnya bukan Islam, tetapi akhirnya memeluk agama suci itu, Lembaga Zakat Selangor menegaskan, individu berkenaan tidak wajib mengqadakan kembali zakatnya. Bahkan, perbuatan itu tidak perlu dilakukan sama sekali.

Bagaimana pula dengan pahala atas amal kebaikannya sebelum Islam dan selepas dia menjadi saudara baharu?

Bayar zakat walaupun bukan Islam

WALAUPUN bukan Islam, boleh bayar ‘zakat’, tetapi pemberian itu dianggap sebagai penerimaan biasa oleh pihak pengurusan zakat. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Menjawab persoalan itu, LZS menjelaskan, soal pahala dan dosa hanya diambil kira selepas waktu keislamannya.

Apa pun, agensi zakat itu menitipkan pesan supaya berdoa agar orang yang masih belum menerima Islam, tetapi sedia berkongsikan hartanya itu agar mendapat hidayah daripada ALLAH SWT.

Baca juga Pelajar berusia 14 tahun menjadi pembayar termuda, ini fakta tentang zakat perniagaan perlu diketahui

“Ini kerana amal perbuatan yang baik itu amat besar ertinya jika dia telah memeluk Islam,” ungkapnya.

Ia sebagaimana kisah yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Ada seorang pemuda telah datang dan berkata: “Saya akan turut berperang lebih dahulu, kemudian baru saya memeluk Islam.”

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Islamlah engkau lebih dahulu, kemudian berperang!”

Lalu, lelaki itu pun memeluk Islam dan dia turut berperang serta terbunuh.

Rasulullah SAW bersabda: “Dia (lelaki berkenaan) bekerja sedikit, tetapi banyak beroleh pahala.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

POV Podcast
POV Podcast,

WAKAF: Hebatnya Erti Memberi

SELAIN Zakat dan Sedekah, WAKAF merupakan amalan yang amat digalakkan oleh Islam terhadap umatnya yang berharta agar kesenangan yang dikurniakan itu dapat dinikmati oleh golongan kurang berkemampuan.

Hal ini kerana Institusi wakaf perlu dilihat sebagai antara instrumen penting dalam membantu memperhebatkan pembangunan ekonomi negara selain membantu pelbagai bidang sosial lain.

Nak tahu lebih lanjut mengenai pengurusan harta wakaf, jangan lupa saksikan podcast POV Sinar Islam Plus, pada 14 Julai jam 8:30 malam di platform Sinar Islam Plus dan Sinar Harian.

FB SI+ : https://www.facebook.com/344035726971489/posts/pfbid02qKd7tqeEqvLTEKwxf7tsfNbXHNYAeihUbMtecfpPJo7y5YJASwnnaQqVVreuWeVml/?mibextid=afzh1R
IG SI+ : https://www.instagram.com/p/CulLkY-pkKc/igshid=OGIzYTJhMTRmYQ==
TIKTOK SI+ : https://vt.tiktok.com/ZSLfD2SWe/

FB SH : https://www.facebook.com/photo?fbid=695320525969389&set=a.634216988746410
FB SP : https://www.facebook.com/photo/?fbid=662369679260312&set=a.609644804532800
IG SH : https://www.instagram.com/p/CujeMTQrTcC/?igshid=MzRlODBiNWFlZA==
IG SP : https://www.instagram.com/p/CujeVQTL2wJ/?igshid=MzRlODBiNWFlZA==

Bayar zakat walaupun bukan Islam
Isu,

Bekas banduan boleh mohon bantuan zakat jika termasuk kategori asnaf

ISTILAH bekas banduan tidak wujud dalam ‘kamus’ Islam. Justeru, tiada isu golongan tersebut tidak boleh memohon bantuan di bawah institusi zakat andai mereka termasuk dalam lapan senarai kelompok asnaf selagi bergelar Muslim.

Demikian komentar Ketua Unit Pembangunan Asnaf, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MAIP), Ustaz Md Hashrul’din Amdan ketika ditanya berhubung bentuk bantuan kepada bekas banduan untuk kembali meneruskan kehidupan selepas dibebaskan.

Jelas beliau, di bawah skim bantuan zakat MAIP, terdapat banyak jenis bantuan seperti modal dan peralatan, sara hidup, mualaf serta lain-lain.

“Kita tidak memilih waima mereka banduan atau bekas banduan, selagi dia orang Islam dan termasuk sebagai asnaf tidak kiralah sama ada fakir, miskin atau al-gharimin, mereka layak dapat bantuan.

USTAZ MD HASHRUL’DIN

“Cuma kena buat permohonan. Setakat ini, pihak kami tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana bekas banduan atau persatuan tertentu untuk bantuan zakat. Yang ada hanyalah daripada program Komuniti Intervensi Dadah Malaysia (DiC),” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini. Bukan sahaja bantuan, Ustaz Md Hashrul’din menjelaskan, MUIP mempunyai sebuah penempatan asnaf yang dikenali sebagai Pusat Komuniti Asnaf Bukit Kenau melibatkan sebanyak 80 unit jika mereka memerlukannya.

Baca juga Tunai zakat bukan untuk tambah rezeki? Umat Islam diminta jangan salah faham objektif tunaikan Rukun Islam ke-4 itu

Peluang pekerjaan

Kepada golongan asnaf termasuk bekas banduan dalam kategori berkenaan di Pahang, katanya, mereka boleh cuba membuat permohonan tertakluk kepada kekosongan.

“Jika ada ruang, kami akan hubungi mereka dan panggil menghadiri sesi temuduga untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar layak boleh mendiaminya secara percuma selagi mana mereka bergelar asnaf.

“Pada masa ini, terdapat 25 unit penempatan dalam proses baik pulih, insya-ALLAH kita akan buat kemasukan baharu pada tahun depan.

“Dalam penempatan itu juga, kami dalam proses untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada komuniti di situ,” katanya sambil menjelaskan antara kriteria pemohon yang dipertimbangkan termasuklah kategori fakir, miskin dan keutamaan diberikan kepada mereka yang berkeluarga serta tiada tempat untuk dituju.

KEPADA kelompok asnaf, mereka boleh mengisi borang permohonan untuk bantuan tertentu sebelum proses saringan dan tapisan dilakukan oleh pihak berkuasa agama di negeri masing-masing. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: FREEPIK

Bagi penceramah bebas, Ustaz Mohamed Sabir Jamaludin, bekas banduan memerlukan rumah perlindungan untuk mereka memulakan kembali kehidupan selepas lama ‘dikurung’.

Lebih-lebih lagi mereka yang sebatang kara, sudah berusia lanjut dan hidup dalam buangan serta langsung tiada sumber kewangan.

Sebagai penceramah jemputan yang terlibat dalam program pemulihan dan rawatan di penjara, beliau melihat peri pentingnya hal perkara tersebut pada masa sekarang.

Baca juga Peluk Islam ketika dalam penjara, bekas banduan kini jadi pendakwah

“Ada dalam kalangan mereka memang benar-benar telah insaf, tetapi tidak diterima oleh masyarakat. Ke mana mereka hendak pergi? Di mana mereka hendak tidur?

“Lebih-lebih lagi bekas banduan yang sudah tua dan tiada sesiapa,” katanya ketika ditemui Sinar Islam Plus di pejabatnya di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Jati diri bekas penghuni penjara

Meskipun perkara itu kelihatan remeh, namun sewajarnya perkara itu perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini memandangkan ia berkait rapat dengan soal akidah mereka.

“Kita tidak mahu lihat ada pihak lain yang membantu kelompok ini, seterusnya menarik mereka dalam dakyah yang memesongkan,” tegas beliau.

Sebelum ini, bekas Pengarah Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Ibrisam Abdul Rahman yang kini merupakan Timbalan Komisioner Jeneral Penjara, Jabatan Penjara Malaysia pernah menyuarakan perkara sama pada tahun lalu.

Memetik laporan media tempatan, beliau meluahkan rasa sedih kerana kurangnya pembabitan NGO Islam di negara ini dalam membantu bekas banduan dari aspek pemulihan, sokongan dan mendapatkan pekerjaan, sebaliknya lebih cenderung kepada isu di luar negara.

Perkara itu diberitahu ketika Perbincangan Meja Bulat Mengenai Proses Integrasi Semula Bekas Banduan Dalam Masyarakat secara maya dan turut disertai bekas Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Jerald Joseph serta beberapa NGO lain.

Baca juga Pernah bergelar banduan, bekas guru ini bangkit daripada kisah silam

Selain bekas banduan, Ustaz Mohamed Sabir yang juga Presiden Pertubuhan Alif dan Ketua Pegawai Eksekutif Alif Consultant Plt berpandangan, penghuni penjara juga memerlukan ‘suntikan luar’ untuk memantapkan jati diri mereka apabila dibebaskan kelak. “Mereka bukan hanya perlu solat dan baca al-Quran sahaja, tetapi juga kena memahaminya. Jika tidak tahu inti patinya akan memberi implikasi kepada jati diri mereka.

USTAZ MOHAMED SABIR

“Walaupun para banduan sudah diberikan bimbingan agama oleh kader daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan pegawai penjara, namun kita ada banyak NGO Islam di luar. Mungkin mereka boleh menghulurkan bantuan berbentuk ceramah motivasi kepada penghuni tirai besi.

“Pihak institusi pengajian tinggi pula boleh bantu mereka dari segi cara hidup dengan memberikan sijil-sijil pencapaian tertentu,” sarannya.

Diisytihar bankrap
Isu,

Perlukah Bayar Zakat Bagi Wang Pembiayaan Untuk Tujuan Pelaburan?

PADA hari ini, terlalu banyak kemudahan yang ditawarkan institusi perbankan mahupun kewangan kepada masyarakat.

Bukan sekadar pinjaman peribadi dan perumahan sahaja, malah pembiayaan bagi tujuan pelaburan turut disediakan. Semuanya demi membantu masyarakat kita untuk membuat simpanan demi masa depan.

Misalnya, seseorang membuat pembiayaan daripada Bank Rakyat atau mana-mana institusi kewangan lain untuk membeli Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebagaimana yang acap kali dilakukan oleh orang di sekeliling kita.

Menyentuh tentang perkara itu, adakah wang pembiayaan yang digunakan untuk tujuan pelaburan tersebut diwajibkan untuk zakat?

Pendakwah Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Amin menjelaskan, zakat wajib dikeluarkan sekiranya terdapat hasil pulangan andai kita membuat pinjaman untuk dilaburkan ke dalam sektor berkenaan.

PU AMIN

“Sebagai contoh, jika wang pembiayaan tersebut digunakan untuk membuat pelaburan dalam ASB. Seandainya kita memperoleh dividen dan bonus, ketahuilah bahawa kedua-dua jenis pulangan tersebut dianggap sebagai pendapatan berbentuk pemilikan sempurna.

“Malah, tiada halangan untuk kita menggunakannya. Maka, ia diwajibkan zakat,” jelas beliau.

Menyentuh tentang wang pinjaman awal yang dijadikan duit pelaburan pula, PU Amin menjelaskan, ia tidak dikenakan zakat.

“Ini kerana ia bukanlah pemilikan yang sempurna bagi kita.

“Andai kata, hutang yang dibayar kepada bank melebihi daripada dividen yang diperoleh. Misalnya, kita berhutang sebanyak RM12,000 dan dividen yang diperoleh pula RM10,000, maka dalam hal itu, tiada kewajiban untuk zakat dibayar,” jelasnya.

Baca juga Jatuh Murtad Jika Ingkar Tunaikan Zakat? Ini Penjelasannya

Zakat harta
Isu, Pilihan Editor,

Sudah Hujung Tahun, Jangan Lupa Tunaikan Zakat Harta

Oleh DR AZRI BHARI

MASYARAKAT Islam kini berada pada penghujung tahun 2021. Sudah sampai masanya ibadah zakat diberi perhatian terutamanya bagi individu yang menjadikan bulan Disember sebagai tempoh penuh dalam pengiraan zakat mereka.

Menyoroti Rukun Islam keempat itu, zakat dikelaskan kepada dua bahagian iaitu zakat fitrah dan harta. Zakat fitrah wajib ditunaikan oleh semua masyarakat Islam sebelum 1 Syawal setiap tahun.

Bagi zakat harta pula, ia diwajibkan kepada individu yang memenuhi syarat-syarat tertentu. Antara lain adalah cukup haul (tahun), sempurna milik, cukup nisab (melepasi paras minimum) dan harta yang disifatkan al-nama (berkembang).

Sebenarnya, terdapat pelbagai jenis zakat harta. Ia termasuklah hasil perniagaan, pertanian dan ternakan, harta ma’adin (galian), harta rikaz (temuan atau karun), emas, perak serta mata wang, hasil pendapatan, wang simpanan, hasil pelaburan dan saham.

Berdasarkan historiografi, pensyariatan zakat sangat unik berbanding dengan ibadah-ibadah yang lain. Ini kerana kewajiban tersebut telah menggabungkan dua tanggungjawab iaitu terhadap ALLAH SWT dan juga manusia.

Justeru, maqasid (objektif) dan hikmah zakat terbahagi kepada dua iaitu mendekatkan diri kepada ALLAH SWT berdasarkan ibadah mahdah (semata-mata) yang bersifat pengabdian.

Zakat harta

SELAIN zakat fitrah, umat Islam yang memenuhi syarat-syarat tertentu juga wajib membayar zakat harta.

Satu lagi ibadah yang termasuk dalam kategori sedekah wajib itu bermatlamat untuk memenuhi kehendak fakir dan miskin yang lebih dikenali sebagai ibadah maliyah (harta).

Hikmah pensyariatan

Sesungguhnya, perintah melaksanakan zakat terselit pelbagai maqasid dan hikmah bagi memastikan maslahah dipelihara dan mafsadah (kerosakan) dicegah daripada menimpa kehidupan manusia.

Baca juga Zakat perniagaan tetap perlu dibayar walaupun rugi

Antaranya seperti berikut:

i. Membentuk kepatuhan dan ketaatan manusia kepada ALLAH SWT.

Imam al-Ghazali berpandangan, objektif utama pensyariatan zakat adalah untuk membuktikan sepenuhnya kepatuhan, ketaatan, pengabdian diri dan keimanan kepada ALLAH SWT.

Masakan tidak, segala harta adalah hak milik mutlak ILAHI, manakala manusia hanyalah sebagai khalifah yang diamanahkan untuk mengurus dan mentadbir harta di sekeliling dengan sebaiknya.

Sebagai bukti menzahirkan tanggungjawab tersebut, maka setiap insan diuji dengan kewajipan berzakat iaitu dengan mengeluarkan kadar tertentu daripada harta yang dikurniakan kepada mereka.

ii. Manifestasi kesyukuran seorang hamba.

Begitu besar imbalan bagi mereka yang berbuat demikian sehinggakan ALLAH SWT berjanji untuk menyuburkan harta dan menambah nikmat bagi orang yang bersyukur.

Firman ALLAH SWT: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur, nescaya AKU akan tambahi nikmat-KU kepada kamu…” (Surah Ibrahim, ayat 7)

iii. Menghapus dan membersihkan diri seseorang daripada dosa.

ALLAH SWT berfirman: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya ENGKAU membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk)…” (Surah at-Taubah, ayat 103)

Seterusnya, terdapat hadis Nabi Muhammad SAW yang menegaskan bahawa perbuatan mengeluarkan harta bertujuan untuk pembersihan daripada dosa.

Zakat harta

SESUNGGUHNYA Rukun Islam keempat itu membersihkan manusia daripada bersifat kikir dan kedekut, selain menzahirkan ketaatan kepada ALLAH YANG MAHA ESA.

Baginda SAW bersabda: “Sedekah itu memadamkan kesalahan sebagaimana air memadamkan api.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

iv. Memupuk jiwa menjadi pemurah, melatih diri menunaikan amanah dan menyampaikan hak orang lain.

Secara tidak langsung, ibadah zakat dapat menghiasi akhlak dengan sifat dermawan dan pemurah, selain membuang sifat kikir dan kedekut kerana fitrah manusia sangat sayangkan harta benda.

v. Mewujudkan kesatuan masyarakat dan jaminan sosial.

Amalan zakat menjadi medium yang berperanan secara langsung kepada asas jaminan sosial. Harta yang terkumpul akan disalurkan untuk tujuan kebajikan dan keredaan ALLAH SWT sebagaimana yang terangkum dalam konsep jaminan sosial.
Ia adalah satu bentuk perkongsian menerusi kaedah mengambil harta daripada golongan kaya dan berada untuk diberikan kepada kelompok miskin, melarat serta melata termasuk mereka yang memerlukan.

Falsafah zakat juga menggambarkan keseimbangan sosial di dalam Islam.

vi. Mewujudkan suasana aman dan tenteram dalam kehidupan masyarakat di dalam sesebuah negara.

Perkara itu boleh digambarkan melalui ketiadaan kes jenayah, rompakan dan sebagainya sekiranya golongan yang memerlukan kewangan dibantu dengan wang zakat.

Demikianlah manfaat zakat yang diperincikan dalam Islam agar seluruh umat Islam termotivasi dan cakna untuk melaksanakan kewajiban tersebut.

Sinergi institusi-institusi zakat di Malaysia yang berperanan dan bertanggungjawab dalam menguruskan zakat perlu lebih efektif dengan menjalankan kempen kutipan zakat.

Pada masa sama, bersedia membantu dan memberi khidmat terbaik kepada seluruh masyarakat Islam.

***Dr Azri Bhari ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor.

Foto: Bernama, Unsplash & Pexels

702495
Berita Semasa, Isu, Pilihan Editor,

PPZ-MAIWP Ajak Orang Ramai Mulakan Kewajipan Berzakat Serendah RM10

no comment

PUSAT Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memperkenalkan Kempen RM10 sebagai satu usaha untuk mengajak dan mendidik masyarakat Islam menunaikan zakat dengan jumlah serendah RM10.

Dalam situasi pandemik Covid-19 kini, semakin ramai yang memerlukan bantuan apabila terjejas pendapatan akibat dibuang kerja, dipotong gaji dan sebagainya sehingga melahirkan asnaf baharu. Dengan memulakan zakat serendah RM10, ianya mampu menyediakan satu hidangan makanan buat mereka yang memerlukan.

Kempen yang berlangsung selama enam bulan bermula Julai hingga Disember tahun ini menyasarkan mereka yang berpendapatan atau gaji bersih serendah RM1,692 yang mana merupakan gaji minima wajib bagi seseorang untuk menunaikan zakat.

Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman berkata, kempen RM10 itu adalah sebagai satu permulaan buat mereka yang tidak pernah menunaikan zakat untuk memulakannya dengan bayaran zakat serendah RM10.

“Kesan daripada pendemik Covid-19, golongan yang sebelum ini adalah M40, malah T20 juga kini telah jatuh ke golongan B40 dan menjadi asnaf ‘segera’. Walaupun nilai RM10 itu tidak nampak banyak namun inisiatif ini dilihat mampu membantu meningkatkan kutipan zakat bagi membantu golongan asnaf yang semakin meningkat.

“Oleh itu, PPZ-MAIWP menyeru orang ramai khususnya mereka yang tidak pernah menunaikan zakat untuk memulakan ibadah wajib ini dan merasai sendiri nikmatnya di mana Allah akan melipatgandakan rezeki mereka sehingga 700 kali ganda dalam pelbagai bentuk seperti kesihatan yang baik, kemudahan dalam selesaikan masalah, kewangan yang stabil, ketenangan jiwa dan pelbagai lagi.

“Kempen ini terbuka kepada semua pembayar baru yang menunaikan zakat secara dalam talian melalui zakat_10.zakat.com.my. Pembayar bertuah berpeluang memenangi hadiah menarik seperti Kamera Perakam Video dan Jam Pintar,” katanya.

Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada info@zakat.com.my atau melalui Facebook Messenger di m.me/myzakat.

Sumber: BERNAMA

nordwood-themes-q8U1YgBaRQk-unsplash
Berita Semasa,

Bayar zakat fitrah, lakukan amal jariah di hujung jari sahaja dengan Tulus. Mudahnya…

KINI, pelbagai urusan amal jariah merangkumi zakat, wakaf, infaq dan sedekah mampu disempurnakan melalui pembayaran secara online sahaja.

Lebih-lebih lagi pada era pandemik Covid-19 yang menyaksikan banyak urusan tergendala.

Melihat situasi itu, sebuah syarikat, Tulus Digital Sdn Bhd melancarkan aplikasi Tulus yang merupakan platform pembayaran beretika yang mematuhi asas syariah.

Ia antara lain memberi peluang kepada masyarakat Islam untuk melaksanakan pembayaran pelbagai urusan berkaitan amal jariah dengan mudah dan telus.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, aplikasi mudah alih berkenaan memberi kemudahan pembayaran secara digital kepada pengguna tanpa mengira masa dan lokasi.

Lebih menarik, Tulus berperanan menggabungkan semua organisasi Islamik yang merangkumi perkhidmatan pembayaran zakat, wakaf, infaq dan sedekah.

“Istimewanya pada bulan Ramadan kali ini, aplikasi Tulus turut menyediakan saluran pembayaran zakat fitrah bagi sembilan negeri di Malaysia yang merangkumi Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Perlis.

“Bukan kemudahan itu sahaja, kami menyediakan pembayaran bagi imbasan kod QR melalui aplikasi SnapNPay yang boleh digunakan untuk pembayaran zakat fitrah untuk kesemua negeri-negeri yang tersenarai tadi termasuk negeri Perak,” katanya sambil menambah, pihaknya menjalin kerjasama strategik dengan Touch ‘n Go eWallet dan Ikhlas.com bagi pembayaran zakat pada bulan Ramadan ini.

Aplikasi tersebut bakal membantu 800,000 sehingga 1,000,000 pembayar zakat.

Dr Mohd Daud menambah, bagi perancangan masa hadapan, mereka berhasrat untuk meluaskan perkhidmatan yang terdapat di aplikasi melibatkan pembayaran bagi pelbagai urusan amal jariah yang lain termasuk ibadah korban, aqiqah, khairat, takaful dan seumpamanya.

Bertemakan ‘Nak Zakat, Wakaf, Infaq dan Sedekah Online? #TulusJerlah!’, Tulus Digital mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya umat Islam bersama-sama menggunakan aplikasi tersebut sebagai salah satu cara untuk membuat sumbangan dan pembayaran zakat secara digital.

Jadi, jangan tunggu lagi! Orang ramai boleh memuat turun aplikasi mudah alih Tulus dan SnapNPay daripada Google Play Store dan Apple iOS Store.

Selain kaedah itu, bayaran zakat ke setiap negeri juga boleh dibuat secara dalam talian di laman web app.tulus.my. Selamat berpuasa!

Foto: Unsplash

Berita, Berita Semasa,

Bantu komuniti setempat, McDonald’s Malaysia bayar RM1 juta tunaikan kewajipan zakat  

KEWAJIPAN membayar zakat sememangnya tidak boleh dipandang enteng. Tidak kiralah sama ada kepada individu, perniagaan atau syarikat korporat.

Ia merupakan sedekah wajib yang perlu dilunaskan. Masakan tidak, ibadah zakat merupakan Rukun Islam ke-4.

Lazimnya, sebelum tahun baharu membuka tirainya, ia adalah masa yang paling sibuk bagi setiap orang untuk menunaikan ibadah zakat berkenaan.

Begitu juga dengan rangkaian restoran McDonald’s Malaysia. Syarikat berkenaan membayar zakat berjumlah RM1 juta bagi tahun 2020 baru-baru ini.

Jumlah itu merangkumi kesemua 14 negeri di Malaysia. Bagi zakat di Wilayah Persekutuan dan Selangor, ia telah disampaikan kepada Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi dua majlis berasingan baru-baru ini.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar menjelaskan, sejak tahun 2017, McDonald’s Malaysia yang diambil alih oleh Lionhorn Pte Ltd iaitu anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi, mula membayar zakat untuk diagihkan kepada golongan masyarakat yang memerlukan.

“Sebagai entiti perniagaan 100 peratus milik umat Islam dan sebagai sebuah syarikat yang mengendalikan operasi lebih daripada 300 restoran di seluruh negara ini, komuniti di kawasan kami beroperasi telah menjadi sebahagian daripada kami.

Zakat McDonald's

“Kami berharap sumbangan ini akan terus membantu golongan miskin di seluruh negara, terutamanya dalam suasana hidup semasa yang penuh dugaan ini,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

(Artikel berkaitan: Miskin akibat Covid-19, LZS bantu golongan terkesan)

Pada tahun ini juga, ujar Azmir, McDonald’s Malaysia telah menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada LZS. Sijil  berkenaan sedia terpamer di 95 buah restoran McDonald’s di Selangor.

“Di Wilayah Persekutuan pula, McDonald’s Malaysia juga merupakan entiti perniagaan yang pertama menerima Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP pada tahun lalu.

“Sijil ini mengiktirafkan perniagaan Malaysia bagi sumbangan zakat korporat mereka di negeri-negeri Wilayah Persekutuan. Sijil-sijil ini sedia terpamer di 40 restoran-restoran McDonald’s Malaysia di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau menambah, pihaknya turut bekerja rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk terus mendukung komitmen halal kepada para pelanggannya dalam semua aspek perniagaan.

“Kami juga terlibat secara aktif dalam pelbagai program halal sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia, Fiesta Halal Malaysia dan Sidang Kemuncak Halal Sedunia.

Zakat McDonald's

“Sebagai restoran khidmat segera pertama di Malaysia yang menerima pensijilan halal daripada Jakim, halal di McDonald’s Malaysia merangkumi seluruh rantaian bekalan sumber dan operasi, daripada rasa makanan dan bahan ramuan halal hingga kebersihan restoran dan program komuniti yang disertai oleh syarikat,” katanya.

Bagi memastikan standard halal yang ketat sentiasa dipatuhi, jelas Azmir, syarikat ini telah membentuk Jawatankuasa Halal Dalaman pada tahun 2013.

Jawatankuasa itu, katanya, ditugaskan untuk memantau pematuhan sepenuh secara menyeluruh melalui audit dan pemeriksaan mengikut tatatertib halal yang digariskan oleh Jakim.

“Ia terdiri daripada anggota-anggota yang mewakili lembaga pengarah, rantaian bekalan, jaminan kualiti, operasi, sumber manusia dan pemasaran. Dua pakar luar juga terlibat sebagai penasihat syariah,” jelasnya.