Browsing Tag

Zakat fitrah suami menganggur

Berita Semasa,

Suami menganggur, perlu ke bayar zakat fitrah?

LAZIMNYA zakat fitrah dibayar oleh ketua keluarga. Senang cerita, suami, bapa atau datuk yang lebih afdal menunaikannya kerana mereka bertanggungjawab dalam menyediakan nafkah keluarga.

Namun, bagaimana pula jika ketua keluarga tadi menganggur? Keluarganya pula ditanggung oleh isterinya yang masih bekerja.

Jadi bagaimanakah dengan hukum pembayaran zakat fitrah yang sepatutnya menjadi tanggungjawab lelaki penganggur tersebut terhadap keluarganya?

Dalam hal ini, secara prinsipnya, sesiapa yang diwajibkan memberi nafkah, maka tertanggung ke atasnya untuk menunaikan zakat fitrah termasuk mereka yang berada di bawah tanggungannya iaitu isteri dan anak-anak.

Andai kata, suami seorang yang miskin dan tiada lebihan perbelanjaan untuk keperluan dirinya dan keluarganya pada malam dan hari raya keesokannya, maka tidak wajib untuknya menunaikan zakat fitrah.

Sekiranya terdapat lebihan perbelanjaan untuk keperluan dirinya dan keluarganya, tetapi dalam kadar yang sedikit, maka hendaklah didahulukan untuk dirinya. Ini bermakna, dia perlu menunaikan zakat fitrah untuk dirinya dahulu, kemudian isterinya dan anak-anaknya jika ada.

Bagaimana pula jika isteri kepada lelaki tadi mampu untuk membayarnya?

Biarpun isterinya mampu sedangkan suaminya pula tak mampu, pengeluaran zakat fitrah tetap tidak diwajibkan ke atas isteri tersebut.

Namun begitu, disunatkan ke atas isteri untuk mengeluarkan fitrah ke atas dirinya sahaja. Ini sebagai jalan keluar daripada perselisihan pandangan ulama.

Sekiranya isteri tersebut berkemampuan sedangkan suaminya seorang yang miskin, maka isteri boleh membantu membayarkan zakat fitrah dengan cara menyumbangkan wang tersebut kepada suaminya.

Bagaimanapun, tidak wajib bayaran fitrah yang telah luput diganti atau diqada seandainya suami tersebut berkemampuan pada waktu yang lain. Ini disebabkan waktu tersebut telah terkeluar dari waktu yang diwajibkan bagi mengeluarkan zakat fitrah.

Sekiranya masih berada dalam waktu yang diwajibkan untuk mengeluarkan zakat fitrah, maka ia wajib dikeluarkan.

Apa pun, jangan jadikan menganggur sebagai alasan untuk tak bayar zakat fitrah. Kalau mampu, tiada salahnya untuk kita bayar.

Zakat kan menyucikan diri dan harta. Semoga zakat kita tadi akan menyebabkan rezeki kita semakin berkat, insya-ALLAH.

(Sumber: Persoalan hukum berkaitan zakat fitrah, Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak)

Foto: Bernama