Browsing Tag

zaitun

Makanan super
Gaya Hidup,

Kenali Makanan Super Yang Disebut Dalam Al-Quran Dan Hadis

MANUSIA sememangnya mempunyai cita rasa yang berbeza. Ia termasuklah dalam soal makanan yang menjadi keperluan fizikal setiap insan.

Meskipun demikian, bukan semua hidangan boleh dijamah sewenang-wenangnya. Malah, Islam menggariskan panduan untuk kita memilih sajian yang boleh dimakan mahupun diminum.

Dalam hal itu, al-Quran dan as-Sunnah menjadi rujukan utama supaya tubuh kita terhindar daripada azab api neraka yang dahsyat.

Daripada Jabir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “…Tidak akan masuk syurga orang yang dagingnya tumbuh dari makanan yang haram kerana neraka lebih dekat dengannya.” (Hadis Riwayat Muslim, an-Nasai dan ad-Darami)

Ya, terlalu banyak makanan dan minuman yang boleh kita nikmati di dunia ini. Namun begitu, terdapat beberapa santapan yang memberi manfaat kepada diri. Ia dipanggil superfood atau makanan super yang kaya dengan nutrisi dan baik untuk kesihatan tubuh badan.

Terdapat beberapa makanan dalam kategori hebat seperti yang disebutkan dalam nas. Malah, ia turut diamalkan oleh kebanyakan individu di muka bumi tanpa mengira bangsa dan agama.

Manfaat untuk tubuh

Dalam membicarakan topik makanan super, Sinar Islam Plus mendapatkan Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Nur Hafizah Harun.

NUR HAFIZAH

Ujar beliau, umat Islam sememangnya dituntut supaya memakan hidangan yang baik lagi halal (halalan toyyiban) sebagaimana disebutkan dalam Surah al-Maidah, ayat 86 yang bermaksud: “Hai orang-orang beriman. Makanlah kamu apa sahaja di atas muka bumi ini, makanan yang halal lagi baik. Dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya mereka adalah musuh yang nyata.”

“Konsep halalan toyyiban adalah menyeluruh. Makanan yang dimakan seharusnya daripada sumber yang halal, selain berkeadaan baik iaitu bersih, selamat, menyihatkan, tidak memudaratkan dan semestinya bernutrisi,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Berbicara lanjut tentang makanan super, jelas Nur Hafizah, terma penggunaan superfood tidak digunakan secara langsung dalam industri makanan di negara ini terutama jika dilihat dari aspek perundangan di Malaysia, khususnya dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Namun begitu, dari sudut sains, sesuatu makanan yang boleh memberikan manfaat baik kepada tubuh badan, mengurangkan risiko penyakit tertentu dan boleh digunakan untuk merawat beberapa penyakit. Itulah yang dipanggil sebagai makanan fungsian (functional food), ujarnya.

“Melihat kepada definisi tersebut, dapatlah dikaitkan di antara makanan fungsian dengan makanan super. Penggunaan istilah superfood sebenarnya telah bermula 30 tahun yang lalu di Jepun dan kini ia diiktiraf di seluruh dunia.

“Ciri makanan super yang menjadikannya bermanfaat untuk kesihatan badan adalah kerana kandungan bahan bioaktif yang mempunyai sifat dan kesan biologi tertentu dalam tubuh manusia.

Superfood mengandungi pelbagai nutrien seperti antioksidan yang dapat menghindarkan kanser. Terdapat juga superfood yang mengandungi lemak yang sihat, tinggi kandungan serat dan banyak lagi,” katanya.

Baca juga Waspada Dengan Maksiat Perut, Ia Bukan Berkait Soal Makanan Sahaja

Makan berpada-pada

Makanan super


TERDAPAT banyak makanan super yang boleh diamalkan dan ada beberapa disebutkan dalam al-Quran serta as-Sunnah untuk dilazimkan.

Menyambung hujahnya, ahli akademik itu menjelaskan, Nabi Muhammad SAW sentiasa memakan makanan yang halal lagi baik termasuk makanan super.

Antara yang menjadi pilihan baginda ialah buah kurma, habbatus sauda dan madu.

“Masakan tidak, banyak kelebihan yang ada pada makanan tersebut. Ia juga telah dibuktikan melalui kajian saintifik. Kurma misalnya, kaya dengan vitamin dan mineral, kadar karbohidrat yang tinggi dan lain-lain lagi.

“Begitu juga dengan habbatus sauda atau jintan hitam sehinggakan baginda SAW menyebut-nyebut kelebihannya dalam sebuah hadis masyhur iaitu ia merupakan penawar bagi segala penyakit kecuali maut,” ujarnya.

Ditanya tentang sikap segelintir masyarakat yang gemar mengaitkan makanan super sebagai alternatif untuk menghindari dan merawat penyakit, Nur Hafizah menjelaskan, perbuatan itu menurut perspektifnya adalah tidak salah. Ini kerana apa yang terkandung dalam al-Quran itu adalah benar sama sekali, ungkapnya.

Justeru, pengambilan buah kurma, habbatus sauda dan madu yang diketahui mempunyai khasiat bagus untuk tubuh boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Suka saya ingatkan, masyarakat juga perlu sedar bahawa kita tidak boleh bergantung sepenuhnya terhadap superfood ini. Andai ditimpa penyakit yang berat, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Ini kerana Islam mengajar kita supaya mencari ikhtiar untuk mengubati penyakit yang dihidapi. Pun begitu, lebih baik jika kita dapat menghindari diri daripada terkena sebarang penyakit.

“Benar, pengambilan superfood sememangnya dapat membantu menyihatkan tubuh, tetapi usahlah terlalu berlebih-lebihan. Apapun, makanlah berpada-pada supaya tidak mendatangkan keburukan melebihi kebaikan,” sarannya.

Islam dan sains

Fakta yang dilontarkan oleh Nur Hafizah turut disokong oleh pendakwah Mohd Fauzi Mustaffa. Beliau mengakui terdapat beberapa makanan super yang disebut dalam al-Quran dan hadis.

MOHD FAUZI

Malah, ia sudah dibuktikan menerusi kajian saintifik yang dijalankan bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia. Antaranya termasuklah buah tamar, tin, zaitun, madu, anggur dan delima yang mempunyai khasiat tersendiri.

Bahkan, katanya, Aisyah RA pernah berkata bahawa Rasulullah SAW menggelar buah kurma dan susu dengan gelaran al-Atyabaani iaitu dua makanan yang terbaik dalam hadis riwayat al-Hakim.

Bukan itu sahaja, agamawan tersebut menjelaskan, buah kurma dan delima bukan calang-calang makanan. Kedua-duanya antara buah-buahan yang diceritakan ada di dalam syurga.

“Begitu juga dengan madu. Ayat 15, Surah Muhammad merekodkan adanya sungai madu di dalam tempat yang paling diidam-idamkan oleh umat Islam itu.

“Sementara itu, kajian yang dijalankan University of Wales Institute Cardiff mendapati, madu lebah berfungsi sebagai antibiotik yang mampu menembusi sistem pertahanan kuman, sekali gus mencegah pembiakan dan jangkitan kuman.

“Sementelah, buah tin dan zaitun turut dirakamkan dalam Surah at-Tin. Seorang ulama tafsir, al-Imam an-Nasafi berkata, ALLAH SWT bersumpah dengan kedua-dua buah ini kerana ia merupakan hasil bumi yang amat menakjubkan di tengah-tengah pokok lain. Jelaslah betapa besarnya manfaat makanan yang disebutkan tadi,” ujarnya.

Mengapa begitu banyak buah-buahan disebut sebagai makanan super dalam al-Quran berbanding hidangan yang lain?

Menjawab persoalan itu, Mohd Fauzi menjelaskan, ini kerana buah-buahan bukan sahaja sejenis makanan, malah mudah untuk dimanfaatkan.

“Umpamanya kurma, ia boleh dikeringkan. Sama juga halnya dengan buah tin dan boleh diimport atau eksport ke mana sahaja. Begitu juga dengan buah zaitun yang boleh diproses kepada minyak. Tambahan pula, buah tadi boleh terus dimakan tanpa perlu kita memasaknya,” ungkapnya.

Makanan super

KEBANYAKAN makanan super yang disebutkan dalam al-Quran dan hadis adalah dari kategori buah-buahan yang mudah dimakan dan dibawa ke mana-mana.

Kepada satu soalan, Mohd Fauzi menjelaskan: “Walaupun al-Quran itu bukan buku sains, namun dalam kitab suci itu sarat dengan perkara berkaitan dengannya. Antaranya menyentuh perihal ilmu falak dan sains kejadian alam berbanding dengan hukum seperti minum arak, berjudi, berzina dan seumpamanya.

“Apabila kita bercerita tentang sains, Islam sebenarnya tidak menolaknya. Ini bermakna, Islam selari dengan sains. Jika sains membuat kajian empirikal tentang buah kurma, tin dan sebagainya yang kaya dengan pelbagai khasiat, agama suci ini boleh menerimanya.

“Apatah lagi ia sememangnya disebut dalam dua rujukan penting yang menjadi pegangan kita sehingga pada hari ini iaitu kalam ALLAH dan hadis nabi,” katanya mengakhiri bicara.

ANEKDOT

MAKANAN super yang disebut dalam al-Quran dan hadis

1. Kurma.

Makanan super

KURMA sememangnya menjadi sajian penting bagi kebanyakan umat Islam terutama pada bulan Ramadan.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Kurma Ajwa itu berasal dari syurga dan ia merupakan penawar daripada racun.” (Hadis Riwayat Ahmad, at-Tirmidzi dan Ibn Majah)

2. Buah tin dan zaitun.

Firman ALLAH SWT: “Demi buah tin dan zaitun.” (Surah at-Tin, ayat 1)

Menurut al-Imam an-Nasafi, ALLAH SWT bersumpah dengan kedua-dua buah ini kerana ia merupakan hasil bumi yang amat menakjubkan di tengah-tengah pokok lain.

Sementelah, orang Arab Mesir purba dahulu menganggap pokok zaitun ada perkaitannya dengan Tuhan.

3. Madu lebah.

Makanan super

MADU bagus diamalkan kerana hasil kajian mendapati, ia berfungsi sebagai antibiotik yang mampu menembusi sistem pertahanan kuman sekali gus mencegah pembiakan dan jangkitan kuman.

ALLAH SWT berfirman: “Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”. (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit)…” (Surah an-Nahl, ayat 68-69)

4. Buah anggur.

Makanan super

on
BUAH anggur antara makanan super yang disebutkan dalam al-Quran.

Dalam Surah an-Nahl, ayat 11, ALLAH SWT berfirman: “Ia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanaman-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur; dan juga dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan ALLAH) bagi kaum yang mahu berfikir.”

5. Buah delima.

Makanan super


DELIMA antara jus yang sering kali diamalkan oleh kebanyakan daripada kita kerana khasiat yang ada padanya.

Firman ALLAH SWT: “Di dalam kedua- duanya (syurga) juga terdapat buah- buahan serta pohon kurma dan delima.” (Surah ar-Rahman ayat 68)

Sumber Pendakwah Mohd Fauzi Mustaffa

Foto: 123rf, Pexels & Unsplash