Browsing Tag

Yahudi

Bumi Palestin
Isu, Pilihan Editor,

Bersama Pertahankan Kesucian Bumi Palestin, Berdosa Jika Umat Islam Tidak Ambil Tahu

no comment

BIBIR Muhammad Hadidi tidak henti-henti mengungkapkan kalimah alhamdulillah. Sambil menangis teresak-esak, beliau berkali-kali mencium pipi dan tangan mulus bayinya yang ditempatkan di sebuah hospital di Gaza, Palestin.

Beliau tidak menyangka, ALLAH YANG MAHA MENGASIHANI telah mempertemukan beliau dengan anaknya selepas kem pelarian Shatea, Gaza yang dihuni mereka dibom oleh tentera Zionis.

Di sebalik kegembiraan itu, Muhammad Hadidi sebenarnya sedang menahan kepiluan. Sukmanya bagai ditusuk pedang paling tajam. Masakan tidak, isteri dan empat anaknya terbunuh dalam insiden pengeboman itu.

Rintihan atmanya sesungguhnya sukar dijelaskan dengan kata-kata, tetapi riak wajahnya menceritakan segalanya.

Itu hanyalah secebis daripada peristiwa pilu yang sempat dirakam. Barangkali ada yang lebih menyayat hati. Ya, seperti ramai yang sudah maklum, pada penghujung Ramadan lalu, Palestin bermandi darah.

Insiden serangan terhadap umat Islam yang sedang beribadah di Masjid al-Aqsa begitu menjentik hati. Lebih-lebih lagi apabila kita melihat saudara seagama kita diperlakukan sewenang-wenangnya dan agama suci yang kita agungkan diperkotak-katikkan begitu sahaja.

Setakat artikel ini ditulis, seramai 232 penduduk terkorban, sementara 1,900 mangsa cedera parah. Sehingga kini, Palestin masih lagi berduka!

Bumi Palestin


BUKAN sahaja ratusan nyawa yang melayang, malah banyak kediaman ranap akibat serangan udara Israel di Gaza.

Tragedi di tempat suci itu benar-benar mencetuskan amarah yang membuak-buak. Meskipun terpisah jauh, rakyat Malaysia bersoladiriti menentang kezaliman rejim Zionis.

Kita bersama-sama mengangkat tangan berdoa, bersolat hajat, menghulurkan dana termasuk bertubi-tubi mengecam musuh Islam itu menerusi media sosial. Semangat kebersamaan itu sebenarnya menjadi formula paling ampuh untuk kita mengukuhkan agama dan kesucian bumi Palestin yang sangat dimuliakan.

Baca juga Musta’ribeen : Perisik Israel mudah menyamar sebagai rakyat Palestin

Sebagai medium berpengaruh, Sinar Islam Plus ingin mengajak pembaca menggali lebih lanjut tentang negara Palestin yang banyak kali diungkapkan dalam al-Quran. Mengapakah kita perlu mempertahankan bumi suci itu dan Masjid al-Aqsa dan bagaimana isu Palestin dikaitkan dengan akidah umat Islam?

Disebut 70 kali dalam al-Quran

Untuk topik yang penuh menyentuh sanubari itu, penulis menghubungi Profesor Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Kamaruzaman Yusoff.

DR KAMARUZAMAN

Jelas beliau, ada beberapa sebab utama yang menyebabkan pertembungan antara Palestin dan Zionis terus-menerus berlaku sehingga ke hari ini. Antaranya tanah Palestin disebut sebagai Tanah Yang Dijanjikan Tuhan berdasarkan kitab Bible Ibrani kepada Bani Israel.

“Namun, insiden serangan dan kebiadaban Zionis terhadap Palestin yang berlaku pada masa ini adalah disebabkan keganasan, kejahatan, rampasan tanah dan rumah yang dilakukan oleh Israel.

“Tindakan itu menyebabkan orang Arab yang meyakini bahawa Palestin ialah tanah mereka merasakan hak dan ladang mereka perlu dipertahankan,“ katanya yang juga penganalisis Asia Barat.

Paling menyentap emosi umat Islam apabila keganasan yang dilakukan tentera negara haram Israel itu telah merenggut kesucian Masjid al-Aqsa.

“Walaupun Masjidil Aqsa terletak jauh dari Gaza, namun semangat kebersamaan yang tinggi membuatkan mereka turut merasai kepedihan serangan tersebut. Itu yang menyebabkan kebangkitan penuh semangat rakyat di sana,“ katanya.

Palestin yang merupakan negara yang pernah menjadi sebahagian bumi Syam adalah tanah yang diberkati, kata Dr Kamaruzaman.

“Bahkan, ia disebut lebih 70 kali dalam al-Quran sama ada secara langsung atau tidak,“ katanya.

Berkongsi pandangan sama, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor, Profesor Madya Dr Arieff Salleh Rosman berkata, sebagai umat Islam, menjadi kewajipan setiap Muslim untuk terus mempertahankan bumi Palestin yang terdapat Masjid al-Aqsa di dalamnya.

DR ARIEFF SALLEH

ALLAH SWT berfirman: “MAHA SUCI ALLAH yang telah menjalankan hamba-NYA (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang KAMI berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) KAMI…“ ( Surah al-Isra‘, ayat 1)

Melihat nas itu, jelaslah bahawa bumi Palestin begitu dimuliakan oleh ALLAH SWT, ujar Dr Arieff Salleh.

“Hubungan Masjidil Haram dan Masjid al-Aqsa dalam peristiwa Israk dan Mikraj menunjukkan kepentingan kedua-dua kawasan tersebut kepada akidah umat Islam.

“Bahkan, Masjid al-Aqsa merupakan masjid kedua yang dibina dalam sejarah umat manusia selepas Masjidil Haram,“ katanya.

Akidah umat Islam

Bukan itu sahaja, Dr Arieff Salleh menjelaskan, Masjid al-Aqsa juga pernah menjadi kiblat pertama umat Islam. Selama 16 bulan, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat bersolat berkiblatkan masjid berkenaan sebelum ALLAH memerintahkan agar ditukar kiblat kepada Kaabah di Masjidil Haram.

Beliau menambah, menghadap kiblat yang menjadi salah satu syarat sah solat adalah satu simbol pengabdian seorang hamba kepada ALLAH. Jelaslah, ia merupakan isu iman dan akidah.

Bumi Palestin

SEBAGAI umat Islam, menjadi kewajipan kita untuk mempertahankan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa yang merupakan tanda keimanan kepada ALLAH SWT.

“Oleh itu, perjuangan mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa dan kawasan sekitarnya iaitu bumi Palestin daripada dijajah oleh rejim Zionis Yahudi merupakan tanda keimanan seseorang Muslim kepada ALLAH YANG MAHA ESA.

“Ingatlah bahawa sejarah membuktikan, kebencian Yahudi terhadap Nabi Muhammad SAW dan umat Islam masih berlarutan, mereka sentiasa merancang untuk menghancurkan kita,“ ujar beliau.

Baca juga Lelaki Lumpuh Digeruni Zionis

Justeru, Dr Arieff Salleh yang juga Felo Perundangan Islam & Kefatwaan, Pusat Penyelidikan Fiqh Sains & Teknologi, UTM sekali lagi menegaskan, apa yang berlaku di Palestin sememangnya isu yang melibatkan akidah umat Islam. Ia bukan sekadar isu politik dan kemanusiaan.

Ujarnya lagi, menentang rejim zionis Yahudi yang memimpin negara haram Israel merupakan kewajipan setiap individu Muslim di seluruh dunia!

Jelas beliau, pertembungan antara umat Islam di Palestin dengan rejim Zionis melibatkan pertembungan antara agama Islam dan Yahudi.

“Doktrin yang diimani Yahudi dan sebilangan besar Kristian Protestan bahawa tanah Palestin ialah tanah suci yang dijanjikan untuk umat Yahudi yang wajib mereka kuasai.

“Mereka mahu membina semula Haikal Sulaiman di tapak Masjid al-Aqsa sebagai pusat pemerintahan Dajal yang diyakini sebagai pemimpin yang ditunggu-tunggu untuk mengetuai dan menyelamatkan umat Yahudi.

“Sementelah dalam Islam pula, peristiwa tanda besar kiamat juga berlaku di kawasan Syam termasuk Syria dan Palestin.

“Antara peristiwa dan petunjuk besar kiamat adalah peperangan yang akan berlaku antara umat Islam dan Yahudi,“ terangnya.

Keberkatan tiada tandingan

Mengapakah bumi Palestin dianggap sebagai bumi suci bagi umat Islam dan memiliki keberkatan yang tiada tandingannya?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran menjelaskan, bumi suci itu ada kaitan dengan hampir separuh daripada 25 nabi dan rasul.

IMAM MUDA ARAN

Antaranya Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS, Nabi Ishak AS, Nabi Yaakub AS, Nabi Daud AS, Nabi Yunus AS, Nabi Yusuf AS dan Nabi Syuib AS.

“Bahkan, Palestin sendiri sarat dengan kisah yang istimewa seperti kisah Nabi Muhammad SAW dan peristiwa Israk dan Mikraj.

“Bayangkan, ketika kejadian itu, baginda SAW mengimamkan solat di Masjid al-Aqsa yang diikuti dengan kehadiran (roh) 124,000 nabi, menurut para ulama,“ ujarnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu Masjidil Haram, masjidku ini (Masjid Nabawi) dan Masjid al-Aqsa.“ (Hadis Muttafaqun ‘Alaih)

Bukan itu sahaja, jelas beliau, ALLAH SWT menyebut Palestin dalam al-Quran dengan pelbagai gelaran.

“Antaranya al-ardh al-muqaddasah (tanah yang suci) yang merujuk kepada Palestin sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab tafsir yang muktabar,“ katanya.

Baca juga Mengutuk Jenayah Negara Haram Israel: Anti-Zionisme atau Anti-Semitik?

Kepada satu soalan, Imam Muda Aran berkata: “Berdosa hukumnya andai kita tidak ambil berat tentang urusan umat Islam yang lain. Ini termasuklah situasi yang berlaku di Palestin.

“Bahkan, dalam satu riwayat, Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa golongan itu bukan dalam kalangan mereka.“

Pembebasan Baitulmaqdis antara petanda kiamat

PEMBEBASAN Baitulmaqdis di Palestin merupakan antara tanda-tanda hari kiamat sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa hadis masyhur.

Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: “Hitunglah enam perkara yang akan terjadi menjelang hari kiamat; iaitu kematianku, kemudian pembebasan Baitulmaqdis (dalam riwayat lain: pemakmuran Baitulmaqdis), kemudian kematian yang menyerang kamu sekalian bagaikan penyakit yang menyerang kambing sehingga mati tiba-tiba, kemudian melimpahnya harta benda sehingga ada lelaki yang diberi seratus dinar, namun ia masih marah (merasa kurang), kemudian timbulnya fitnah sehingga tidak ada satu pun rumah orang Arab (dalam riwayat lain: rumah orang Islam) melainkan ia akan memasukinya, kemudian perjanjian yang akan berlaku antara kamu sekalian dan bangsa kulit kuning (Bani al-Asfar iaitu Rom), lalu mereka akan mengkhianati perjanjian tersebut dan mereka akan datang menghadapi kalian di bawah 80 panji-panji perang, di bawah setiap panji pula terdiri daripada 12,000 tentera.“ (Riwayat al-Bukhari, Ibn Majah, Ahmad, Ibn Abi Syaybah, al-Tabarani, al-Hakim dan lain-lain)

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Mohd Hasrul Shuhari menjelaskan, dalam sebuah hadis yang lain, tidak disebut nama tempat. Namun, ia menunjukkan pertembungan sebelum hari kiamat antara umat Islam dan orang Yahudi.

DR MOHD HASRUL

Sabda Rasulullah SAW: “Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah orang-orang Islam memerangi Yahudi. Orang-orang Islam akan memerangi (membunuh) Yahudi sehinggalah orang Yahudi bersembunyi di sebalik batu dan pokok. Maka, batu atau pokok akan bersuara: ‘Wahai Muslim! Wahai hamba ALLAH! di belakangku ini ada orang Yahudi, marilah bunuhnya, kecuali pokok gharqad kerana sesungguhnya ia merupakan pokok Yahudi.“ (Riwayat Muslim)

Berdasarkan beberapa hadis berstatus sahih atau hasan itu, katanya, ia jelas menunjukkan bahawa antara tanda-tanda kiamat adalah berlakunya peperangan antara umat Islam dan orang Yahudi dan Baitulmaqdis yang kini masih dikuasai oleh puak Zionis Yahudi.

“Maka, tanggapan masyarakat bahawa pembebasan Baitulmaqdis merupakan tanda-tanda kiamat bukanlah perkara yang salah kerana banyak hadis lain menunjukkan kita memang berada pada akhir zaman yang hampir dengan hari kiamat,“ katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Dalam pada itu, ahli akademik itu turut mengingatkan umat Islam agar memahami hadis akhir zaman berdasarkan bimbingan para ulama dan bukan membuat telahan sesuka hati.

Bumi Palestin

TIDAK kiralah di mana sahaja keberadaan kita, sebagai umat Islam, jangan putus mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin.

“Contohnya, terdapat pihak yang mentafsirkan atau mensyarahkan nas-nas al-Quran dan hadis berkaitan peperangan ini dengan menubuhkan tentera atas nama jihad.

“Mereka sesuka hati membunuh, mengebom dan menembak orang bukan Islam termasuk orang Islam sendiri yang didakwa tali barut kuffar.

“Puak-puak tersebut memahami nas-nas secara literal sehingga mengkafirkan orang Islam sendiri.

“Mereka lupa terdapat juga hadis yang memberi peringatan tentang golongan ruwaibidah yang mudah mengkafirkan dan membunuh orang lain pada akhir zaman seperti yang dilakukan golongan Khawarij dahulu,“ tegasnya.

ANEKDOT

SEJARAH peperangan di Palestin

Bumi Palestin

Pemandangan Baitulmaqdis sebelum 1948. -Sumber: Library of Congress USA

– Peperangan yang tercetus di Palestin sudah lama berlaku sejak sebelum kedatangan Islam lagi.

– Palestin atau khususnya Baitulmaqdis pernah dikuasai oleh umat Islam pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab RA.

– Pada tahun 16 Hijrah (638 Masihi), tentera Islam berjaya menguasai Baitulmaqdis yang ketika itu berada di bawah pemerintahan Empayar Rom Byzantine.

– Sekitar 400 tahun kemudian iaitu pada tahun 1099 Masihi, Empayar Rom Byzantine menerusi Perang Salib telah berjaya merampas semula Baitulmaqdis daripada tangan umat Islam.

– Lebih kurang 88 tahun selepas itu, berlaku pertempuran Hattin pada tahun 1187 Masihi (583 Hijrah) yang menyaksikan Sultan Salahuddin al-Ayyubi berjaya mengalahkan tentera Salib dan menawan kembali Baitulmaqdis.

– Setelah Palestin terlepas lagi daripada tangan umat Islam, datanglah seorang pemimpin yang disebut dalam sebuah hadis: “Akan dibuka kota Constantinople. Sebaik-baik pemerintah ialah pemerintahnya, dan sebaik baik tentera ialah tentera tersebut.“ (Kata al-Hafiz al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawaid: Diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bazzar dan al-Tabarani. Perawinya thiqah)

– Hadis itu dikatakan merujuk kepada Sultan Muhammad al-Fatih yang berjaya menguasai Palestin pada tahun 1453 Masihi (857 Hijrah).

– Penguasaan tersebut sekali gus berjaya menguburkan terus Empayar Rom Byzantine untuk selama-lamanya.

– Begitulah antara sejarah penguasaan umat Islam terhadap Palestin dan kini ia dikuasai oleh Zionis Yahudi menubuhkan Israel.

Sumber: Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Mohd Hasrul Shuhari

Foto: Freepik, AFP, Reuters, Aljazeera & Bernama

iswnews com
Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Musta’ribeen : Perisik Israel mudah menyamar sebagai rakyat Palestin

no comment

Oleh MUHAMMAD YUSUFF HASSAN

Bagaimana jika anda ditugaskan untuk bertindak, berfikir dan hidup seperti musuh anda? Itulah yang dilakukan oleh beberapa perisik Israel sebagai pekerjaan harian, mereka ‘berlakon’ sebagai rakyat Palestin.

Penyamaran ini termasuk berpakaian sebagai lelaki tua atau wanita Palestin yang berpura-pura memeluk bayi . Semasa tunjuk perasaan, mereka bersama dengan orang ramai sambil melaungkan kata-kata semangat dan kemudian melemparkan batu ke arah tentera. Strategi ini adalah untuk menggalakkan penunjuk perasaan lain untuk mendekati tentera. Ketika tiba waktu yang tepat, mereka tiba-tiba mula menangkap orang Palestin, yang mana sebentar tadi mereka sama-sama memprotes dan bergandingan ‘menentang’ kezaliman Zionis, perkara ini bukan suatu yang baharu dalam sejarah penjajahan bumi Palestin.

Semasa tunjuk perasaan, mereka bersama dengan orang ramai sambil melaungkan kata-kata semangat dan kemudian melemparkan batu ke arah tentera. Strategi ini adalah untuk menggalakkan penunjuk perasaan lain untuk mendekati tentera. (jerusalem.fund.org)

Mereka adalah Musta’ribeen

Musta’rib adalah perkataan Arab yang merujuk kepada seseorang yang hebat dalam bahasa atau budaya Arab atau turut ditakrifkan “seseorang yang tinggal di kalangan orang Arab atau menjadi Arab”, walaupun mereka sebenarnya bukan dari bangsa Arab sendiri. Perkataan musta’ribeen adalah sifat jamak bagi musta’rib.

Dalam konteks Israel, Musta’ribeen atau dalam bahasa Ibrani disebut Mista’arvim, merujuk kepada unit penyamaran Pasukan Pertahanan Israel, yang terdiri dari tentera Israel yang menyamar sebagai Arab dan menyusup masuk ke dalam wilayah Palestin.

gambar dipotong dari pita kamera pengawasan yang menunjukkan penyamar Musta’ribeen memegang senjata di dalam Hospital Al-Ahly di Hebron pada tahun 2015 (sumber : AFP)

Unit Mista’arvim mula ditubuhkan pada tahun 1942, sebelum negara haram Israel terbentuk dan mereka dilatih untuk berfikir dan bertindak seperti orang Arab dan mereka juga turut belajar cara hidup orang Palestin sambil melakukan apa yang mereka sebut sebagai operasi ‘melawan pengganas/counter terrorist’.’ Melalui cara ini, mereka dapat memperoleh akses ke wilayah Palestin yang biasanya mustahil sebagai individu yang berketurnan Yahudi di Israel.

Musta’ribeen belajar bertutur dalam bahasa Arab termasuk dialek bahasa Palestin seolah-olah itu adalah bahasa pertama mereka, berpakaian seperti orang Palestin yang memakai keffiyeh, mereka juga dilatih untuk bertindak seperti gerak geri orang Palestin. Selain dari menjadi perisik mereka juga dipertanggungjawabkan untuk melakukan operasi lain. Ini termasuklah menyelamatkan tebusan, mengumpulkan informasi dan seringkali menangkap atau mencari suspek “pengganas”.

Musta’ribeen belajar bertutur dalam bahasa Arab termasuk dialek bahasa Palestin seolah-olah itu adalah bahasa pertama mereka, berpakaian seperti orang Palestin yang memakai keffiyeh, mereka juga dilatih untuk bertindak seperti gerak geri orang Palestin. Selain dari menjadi perisik mereka juga dipertanggungjawabkan untuk melakukan operasi lain. Ini termasuklah menyelamatkan tebusan, mengumpulkan informasi dan seringkali menangkap atau mencari suspek “pengganas”.

Foto yang pernah tular pada 2017 oleh agensi berita AFP yang dirakam oleh Abbas momani apabila dari pasukan penyamaran Israel yang turut sama dalam tunjuk perasaan di Ramallah.(Sumber : AFP/ Twitter @Abbasmomani)

Seandainya operasi mereka diketahui, tentera Israel akan membubarkan unit tersebut dan membentuk pasukan baru dan walaupun tidak banyak yang diketahui mengenai unit ini atau bagaimana ia beroperasi, dipercayai terdiri daripada lebih empat unit yang operasi di pelbagai wilayah Palestin.

Siri drama Netflix ‘Fauda’ menggambarkan unit mista’arvim dan bagaimana mereka menjalankan operasi ‘melawan pengganas’ ini.

Jadi bagaimana mista’arivim dilatih untuk menjadi Arab?

Rakyat Isreal yang mempunyai raut wajah dan ’ciri-ciri seperti orang Arab’ dipilih untuk unit tersebut. Tetapi untuk menyempurnakan penyamaran mereka sebagai rakyat Palestin, mereka harus dilatih dengan ketat selama 15 bulan termasuk latihan ketenteraan dan empat bulan dari tempoh itu dihabiskan untuk mempelajari pelbagai perkara mengenai Arab seperti bahasa, tradisi, budaya dan mereka turut dilatih “bagaimana untuk kelihatan seperti orang Arab”.

Siri drama Netflix ‘Fauda’ menggambarkan unit mista’arvim dan bagaimana mereka menjalankan operasi ‘melawan pengganas’. Siri drama ini mendapat tentangan dari rakyat Palestin kerana dikatakan Pro-Zionis.(Sumber : Yes DBS Satellite/Netflix)

Tetapi bagaimana seorang Israel berjaya mempelajari ‘seni menjadi Arab’ hanya dalam beberapa bulan?

Jika dilihat Yahudi dan Arab mempunyai banyak persamaan, dari sudut nilai sejarah, kedua-dua bangsa ini adalah dari bangsa Semitik dan mereka boleh katakan ‘bersepupu’. Walaupun bahasa Ibrani dan Arab tidak sama, bahasa Ibrani dan Arab mempunyai persamaan dan sangat berkait rapat, dan jika anda sudah menguasai satu daripada bahasa ini, ia akan membantu anda mempelajari yang lain dengan lebih mudah.

Oleh itu, mungkin ini penyebab bagi seseorang Israel untuk fasih berbahasa Arab dan berpewatakan seperti orang Arab walaupun agak sukar, namun sebaliknya jika dilatih, seorang Arab juga boleh belakon sebagai seorang Yahudi.

Mesir menyatakan bahawa mereka berjaya memperoleh maklumat dari agen risikan/mata-mata yang dilatih mereka pada masa lalu, yang kemudian dihantar ke Israel, menyamar sebagai orang Yahudi untuk mengumpulkan rahsia risikan tentera untuk kegunaan tentera Mesir semasa perang satu ketika dahulu.

Oleh itu, bagaimana pendapat anda mengenai taktik penyamaran dan kejutan Israel?

 

Sumber :TRT World/Al-Jazeera/alquds.co.uk/

 

Mereka dilatih untuk berfikir dan bertindak seperti orang Arab dan mereka juga turut belajar cara hidup orang Palestin. (Sumber : AFP/ Twitter @Abbasmomani)

Rici Rosen
Berita Semasa, Jendela Dunia,

Semakin Ramai Yahudi Memeluk Agama Islam Membimbangkan Israel

no comment

Oleh MUHAMMAD YUSUFF HASSAN

Pernikahan campur antara orang Yahudi dan Arab dianggap bermasalah di sebuah negara haram yang kononnya paling demokratik di Timur tengah, di mana konflik Israel-Palestin mempengaruhi setiap aspek kehidupan harian masyarakat di rantau itu.

Sebuah organisasi Yahudi yang bertujuan menghentikan percampuran budaya dan agama ini, ingin membantu mereka yang ‘tersesat’.

Lehava, sebuah organisasi berhaluan kanan atau konservatif di Israel, adalah satu organisasi yang dikatakan sering melakukan hasutan dan juga dianggap sebagai pengganas di Israel, mereka berusaha dan merancang untuk ‘menolong’ orang Yahudi yang meraka anggap telah ‘sesat dari landasan mereka’.

Pada tahun 2017, seorang wanita berbangsa Yahudi bernama Noy Shitrit, yang berasal dari selatan Israel, memeluk Islam dan berkahwin dengan seorang Arab, kisah itu mengejutkan banyak pihak di Israel. Masyarakat Israel tidak melihat pernikahan campur ini dengan pandangan yang positif. Ini adalah kerana propaganda dan konflik Israel-Palestin yang berlangsung beberapa dekad lamanya di wilayah itu. Pertumpahan darah, hasutan yang telah berlaku sejak 1948 ini adalah punca mengapa ianya susah diterima oleh masyarakat Yahudi di Israel.

Inilah sebabnya mengapa ramai di kalangan Yahudi berhaluan kanan berjuang untuk memahami apa yang dapat mendorong wanita-wanita Yahudi bertukar kepada agama “musuh”.

Anat Gopstein merupakan pengasas bersama organisasi Lehava,sebuah organisasi berhaluan kanan atau konservatif di Israel, adalah satu organisasi yang dikatakan sering melakukan hasutan dan juga dianggap sebagai pengganas di Israel /Gambar : Eliran Aharon

Anat Gopstein, pengasas bersama Lehava mendakwa dia telah menerima lima aduan sehari dari mereka yang telah bertukar agama untuk mendapatkan bantuan, dan dia turut mendakwa antara masalah yang mendapat perhatiannya adalah wanita yang telah memeluk agama “musuh” yang sedang mencari jalan keluar.

Ketika ditemubual oleh Sputnik News Anat berkata “Sulit untuk memberikan angka rasmi tetapi kami tahu bahwa kes pertukaran agama sedang meningkat. Ini adalah kerana pertembungan budaya di Israel juga meningkat,
mereka ingin menukar agama kerana ingin berkahwin dengan lelaki Muslim, dan ini menimbulkan masalah bagi kita kerana mereka adalah orang-orang kafir yang menyesatkan wanita kita dari agama Yahudi.

Kajian yang telah dilakukan di Israel menunjukkan pada tahun 2003, hanya 40 orang Yahudi-Israel yang memeluk Islam.

Tetapi pada tahun 2006, jumlahnya meningkat kepada 70 orang. Sejak itu, ia terus bertambah antara tahun 2005 dan 2007, sejumlah 250 orang Israel secara rasmi memeluk agama Islam.

Kajian yang telah dilakukan di Israel menunjukkan pada tahun 2003, hanya 40 orang Yahudi-Israel yang memeluk Islam.

Tetapi pada tahun 2006, jumlahnya meningkat kepada 70 orang. Sejak itu, ia terus bertambah antara tahun 2005 dan 2007, sejumlah 250 orang Israel secara rasmi memeluk agama Islam.

Mahdi Majeed(berjaket hitam) merupakan wartawan Yahudi terkemuka telah memeluk agama Islam / Gambar egyptindependent.com

Sebilangan besar dari mereka adalah wanita. Pada tahun 2018, masyarakat di Israel sekali lagi dikejutkan dengan kisah wartawan Yahudi terkemuka, yang dikenali dengan nama Mahdi Majeed menjadi tajuk utama berita di rantau itu ketika dia mengisytiharkan sudah memeluk Islam dan menyebut Israel sebagai ‘Negara Zionis’.

“Dahulu saya bukan seorang Muslim, tetapi sekarang saya percaya kepada Islam, terima kasih kepada Tuhan yang membimbing saya untuk mencari kebenaran setelah sekian lama membuat kajian. Islam adalah jalan yang benar, aku bermohon agar Allah melindungi Islam dari Muslim yang telah memesongkannya“ ciapan Mahdi Majeed yang ditulisnya pada akaun Twitternya yang bertarikh 20 Ogos 2018.

Pemimpin utama organisasi Lehava,Bentzi Gopstein telah didakwa kerana menggalakkan keganasan dan menghasut orang ramai terhadap fahaman pengganas/ Gambar:Gil Eliyahu

Pada tahun 2019, pemimpin utama organisasi Lehava,Bentzi Gopstein telah didakwa kerana menggalakkan keganasan dan menghasut orang ramai terhadap fahaman pengganas. Lahava bukan sekadar mensasarkan kebencianya terhadap agama Islam, malah Gopstein pernah menyebut orang Kristian “pontianak penghisap darah” dan menuntut mereka diusir keluar dari Israel. Beliau juga pernah mensarankan agar gereja-gereja yang ada di Israel dibakar dan pernah mengeluarkan kenyataan “Sambutan Krismas tidak ada tempat di Kota Suci(Baitulmaqdis)”.

 

Sumber : Sputnik News/Muslim Mirror/Al Jazeera/TRT World/Egypt Independent