Browsing Tag

wira

Tragedi Masjid Christchurch
Jendela Dunia,

Wira Serangan Masjid Di Christchurch Dikurniakan Anugerah Keberanian

BIARPUN lebih dua tahun berlalu, namun tragedi di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 51 orang masih segar dalam ingatan ramai khususnya umat Islam.

Masakan tidak, sinopsis kisah perit itu sukar untuk diterima. Bukan sahaja ia dilakukan ketika umat Islam sedang menunaikan solat Jumaat. Malah, peristiwa pembunuhan itu turut dirakam secara langsung menerusi Facebook Live.

Namun, kini pelakunya sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup.

Di sebalik kisah episod duka itu, tindakan seorang lelaki yang menjadi wira ketika peristiwa berdarah berkenaan wajar dipuji. Dek kerana semangat juangnya yang tinggi tanpa mempedulikan nyawanya telah menghalang lebih banyak kematian semasa di Linwood.

Lelaki berhati waja yang dikenali sebagai Abdul Aziz baru-baru ini telah diberikan anugerah keberanian tertinggi negara itu, New Zealand Cross.

Tragedi Masjid Christchurch

ABDUL AZIZ

Menurut portal Voice of America, Abdul Aziz, 51,  merupakan antara 10 individu yang diiktiraf atas keberanian mereka ketika serangan yang berlaku pada bulan Mac tahun 2019.

Apa tidaknya, tindakan berani bekas pelarian dari Afghanistan itu membaling mesin kad kredit ke arah lelaki bersenjata yang baru sahaja melepaskan tembahan di Pusat Islam Linwood begitu dikagumi.

Beliau langsung tidak mengendahkan mayat bergelimpangan di sekelilingnya. Sebaliknya Abdul Aziz terus mengejar dengan senapang yang dibuang oleh pelakunya.

Kepada Radio New Zealand, Abdul Aziz memberitahu bahawa dirinya hanya mahu melindungi para jemaah yang lain.

Baca juga Jacinda Ardern Berang Kisah Dirinya Terpalit Dalam Filem Christchurch, Penerbit Tarik Diri

“Jika saya tidak berbuat demikian, kami akan hilang lebih ramai saudara kami termasuk saya juga.

“Sejujurnya saat itu, saya langsung tidak memikirkan bahaya atau perkara lain,” ceritanya mengimbas semula detik pahit berkenaan.

Selain Abdul Aziz, jemaah yang maut dalam kejadian tembakan itu, Allahyarham Naeem Rashid turut dianugerahkan New Zealand Cross kerana keberaniannya menyelamatkan nyawa para jemaah.

Dalam kenyataannya kepada media tempatan di negara berkenaan, balu Allahyarham, Ambreen Naeem menyifatkan anugerah tersebut bukan sahaja untuknya, tetapi bagi setiap orang yang cintakan keamanan dan menentang kebencian.

Tragedi Masjid Christchurch

ABDUL AZIZ digelar sebagai wira kerana tindakannya menghalang individu bersenjata daripada membunuh lebih ramai orang di Masjid Linwood, Christchurch.

Turut dikurniakan anugerah keberanian termasuk dua orang pegawai polis yang menahan lelaki bersenjata.

Sementara itu, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern turut menyifatkan kesemua yang diberikan anugerah keberanian itu sememangnya tidak mementingkan diri dan bersifat luar biasa.

Menyoroti semula kejadian itu, sebelum insiden tembakan berlaku, kehadiran lelaki bersenjata tersebut disambut oleh salah seorang jemaah di Masjid Al Noor yang mengucapkan ‘hello, saudara’ sebelum individu berkenaan menjadi orang pertama dibunuh.

Sejurus itu, pelaku terbabit melepaskan tembakan berkali-kali ke dalam masjid, selain di kawasan berhampiran.

Tembakan kedua kemudian berlaku di Masjid Linwood yang berjarak lima kilometer dari masjid pertama.

Foto: Voice of America & AFP