Browsing Tag

WHO

pelitup muka kepada jemaah umrah 1445H
Antarabangsa,

Arab Saudi sarankan pemakaian semula pelitup muka kepada jemaah umrah 1445H

ARAB Saudi menyarankan pemakaian semula pelitup muka kepada jemaah umrah yang mengunjungi Masjidil Haram dan Masjid Nabawi bagi mencegah penularan penyakit berjangkit di kawasan sekitarnya.

Menurut infografik yang dimuat naik menerusi akaun rasmi Direktorat Am Keselamatan Awam Arab Saudi di laman media sosial X pada Isnin.

Lapor Bernama, saranan itu dibuat bagi memelihara tahap kesihatan jemaah umrah dan para pengunjung kedua-dua masjid suci umat Islam berkenaan.

Saranan itu juga merupakan sebahagian daripada langkah pencegahan yang dikuatkuasakan Arab Saudi sejak bermulanya musim umrah 1445 Hijrah bagi warganegara dan penduduk tetap Arab Saudi serta negara-negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Baca Juga Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi kagum dengan ilmu dan pembawaan nilai jemaah haji Malaysia

Saranan itu dikeluarkan beberapa hari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan penyebaran varian Omicron baharu EG.5 dengan mengklasifikasikannya sebagai varian yang menjadi perhatian.

Media Arab Saudi sebelum ini melaporkan Jabatan Hal-Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi pada Julai lalu telah mengedarkan hampir 2 juta pelitup muka kepada para tetamu al-Rahman.

SARANAN memakai pelitup muka itu dibuat bagi memelihara tahap kesihatan jemaah umrah dan para pengunjung kedua-dua masjid suci umat Islam berkenaan. FOTO: Gulf Moments

Palestin rekod kes varian baharu EG.5 Covid

Kementerian Kesihatan Palestin pada Ahad berkata 50 hingga 100 kes varian baharu EG.5 COVID-19 dilaporkan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, lapor Xinhua.

“Terdapat beberapa kes pesakit dimasukkan ke hospital dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan“, kata Pengarah Kesihatan, Kamal al-Shakhra.

Baca Juga Qari OKU wakili Malaysia dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa

Turut Disyorkan New Murabba Riyadh 2030 – Mercu tanda ikonik Arab Saudi

Kamal Al-Shakhra berkata mereka yang paling berisiko dijangkiti ialah warga emas dan yang menghidap penyakit kronik.

“Jangkitan itu berlaku ketika cuti musim panas“, katanya.

Beberapa hari lepas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan penyebaran varian Omicron baharu EG.5 dengan mengklasifikasikannya sebagai varian yang menjadi perhatian.

WHO mengumumkan penyebaran varian Omicron baharu EG.5 dengan mengklasifikasikannya sebagai varian yang menjadi perhatian. FOTO: WHO 

Hingga 8 Ogos lalu, WHO telah merekodkan kehadiran EG.5 di lebih 50 negara dan varian itu telah menjadi subvarian paling banyak dan cepat merebak di Amerika.

Ia dianggarkan menyumbang kira-kira 17 peratus daripada kes Covid-19 di negara tersebut.

Data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika menunjukkan peningkatan lebih 40 peratus jumlah pesakit dimasukkan ke hospital akibat Covid-19 berbanding Jun sebelumnya.

Baca Juga Fatwa Putuskan Pengambilan Vaksin Harus Bagi Umat Islam

Namun, angka ini masih lebih rendah daripada puncak penularan Omicron pada Januari tahun sebelumnya.

Jumlah virus yang dikesan dalam air kumbahan di sekitar Amerika turut meningkat secara signifikan sepanjang bulan lalu. Selain itu, jumlah pemberian mingguan ubat Paxlovid kepada pesakit Covid-19 juga telah meningkat dengan ketara.

Puasa
Gaya Hidup,

Mantapkan kecergasan diri dengan berpuasa bukannya lemau sepanjang masa, ini nasihat WHO

Mantapkan kecergasan diri dengan berpuasa bukannya lemau sepanjang masa, ini nasihat WHO

BERPUASA merupakan salah satu cara terbaik untuk menyingkirkan toksin berbahaya dalam badan secara semulajadi.

Tambahan pula, banyak kajian telah membuktikan berpuasa memberikan kesan positif kepada kesihatan diri seperti meningkatkan kesihatan mental, mengurangkan tekanan serta bantu melegakan kemurungan.

Namun, tiap kali menjelang Ramadan, pasti ada segelintir yang menggunakan bulan mulia itu sebagai alasan apabila produktiviti diri atau kerja menurun.

Ketahuilah kurang makan dan minum tidak semestinya menjadikan kita malas dan lesu. Sebaliknya, dengan cara yang betul, kita tetap mampu kekal sihat dan cergas walaupun sedang berpuasa.

Baca juga Rasulullah SAW memenuhi imej lelaki maskulin, sihat dan cergas

berpuasa WHO

Baca juga Adakah perbuatan bersahur sudah dikira berniat puasa?

Justeru, sempena bulan Ramadan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan beberapa tip kesihatan bagi umat Islam yang berpuasa, antaranya:

1. Minum air secukupnya di luar waktu berpuasa.
Sebahagian besar tubuh kita terdiri daripada air, maka kita memerlukan jumlah yang sama dengan air yang terbuang semasa berpuasa.

Oleh itu, minumlah sekurang-kurangnya 10 gelas sehari. Anda boleh memenuhi keperluan air tersebut ketika berbuka puasa hingga saat sahur agar tubuh kekal hidrat.

Selain itu, elakkan minuman berkafein seperti kopi, teh dan air berkarbonat, secara berlebihan semasa berpuasa. Ini adalah kerana kafein bersifat diuretik yang membuat kita sering buang air kecil, lantas boleh menyebabkan dahaga.

Baca juga Resepi air Nabeez, minuman sunah kekal bertenaga sepanjang Ramadan

berpuasa WHO

MINUM sekurang-kurang 10 gelas sehari, baik ketika Ramadan mahupun di bulan-bulan lain. Foto: Pexels

Baca juga Makan pada awal malam tidak dikira bersahur, berikut penjelasannya

2. Jangan meninggalkan sahur.
Sama seperti sarapan pagi, sahur adalah elemen penting yang memberi kita tenaga sepanjang berpuasa.

Makanlah makanan yang sihat semasa sahur dengan memberi perhatian kepada pengambilan nutrisi seimbang merangkumi karbohidrat kompleks, serat dan protein.

Sahur yang ringan namun padat dengan nutrisi, terutamanya disarankan bagi golongan berusia, kanak-kanak, wanita mengandung serta ibu yang sedang menyusu anak.

Selain itu, protein boleh didapati dari telur, keju atau daging dapat membantu menambahkan tenaga anda sepanjang hari.

berpuasa WHO

USAH tinggalkan sahur kerana ia bukan sahaja pembekal tenaga, malah termasuk sunah Nabi SAW. Foto: 123RF

Baca juga Ini sebabnya kenapa Rasulullah SAW berbuka puasa dengan kurma

3. Berbuka puasa dengan pemakanan seimbang.
Serupa seperti sahur, amalkan pemakanan sihat dan seimbang untuk berbuka puasa.

Mengikut sunah Rasulullah SAW, berbuka puasalah dengan kurma yang kaya dengan serat.

Dalam masa sama, jangan terlalu gelojoh menjamah hidangan berbuka kerana akan menyebabkan perut kembung.

4. Kurangkan makanan yang manis dan berminyak.
Elakkan pengambilan makanan yang manis, berminyak serta tinggi garam, dalam jumlah yang banyak sepanjang bulan Ramadan.

Sebaliknya jika anda inginkan sesuatu yang manis dan menyegarkan untuk iftar, bolehlah berbuka dengan buah-buahan atau minuman sejuk tanpa gula yang mengandungi buahan segar seperti tembikai.

SENAMAN ringan sangat digalakkan untuk menjaga kesihatan sepanjang Ramadan. Foto: Unsplash

Baca juga Tidur pun boleh dapat pahala, amalkan 9 perkara ini

5. Kekal aktif sepanjang Ramadan.
Bulan Ramadan bukan halangan untuk kekal sihat dengan melakukan aktiviti fizikal.
Anda disarankan melakukan senaman ringan atau sederhana selama 30 minit seperti berjalan kaki, berbasikal, berlari anak dan sebagainya agar tubuh sihat dan cergas sepanjang bulan Ramadan.

6. Tidur awal atau amalkan tidur sebentar.
Satu lagi tip kesihatan semasa Ramadan adalah menentukan masa dan jumlah tidur yang mencukupi.

Jika perlu bangun pagi untuk menyiapkan makan sahur, maka cubalah untuk menyediakannya pada malam hari. Anda juga boleh usahakan untuk tidur lebih awal dari biasanya seperti selepas solat tarawih.

Sekiranya tidak mampu tidur awal, boleh amalkan sunah Nabi SAW iaitu ‘qailulah’ yang merupakan perbuatan tidur sebentar pada waktu tengahari. Amalan ini memastikan prestasi otak kekal cergas untuk melakukan aktiviti lain.

Semoga perkongsian ini membantu anda kekal sihat dan cergas sepanjang bulan Ramadan.

Sumber: WHO & Hello Doktor

Foto: 123RF, Pexels & Unsplash

Bunuh diri
Isu,

Dosa besar bunuh diri, ini 3 penderitaan pelakunya

KES bunuh diri kian meruncing dengan purata satu kematian bagi setiap 40 saat. Demikian fakta yang didedahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini. Malah, lebih 703,000 kematian dilaporkan di seluruh dunia saban tahun akibat perbuatan tersebut.

Bukan itu sahaja, jumlah kematian akibat kes berkenaan juga mencatatkan peningkatan ketara di Malaysia. Buktinya, terdapat sebanyak 1,142 kes bunuh diri dilaporkan pada tahun 2021 berdasarkan sumber daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Apa yang membimbangkan, statistik itu meningkat sebanyak 81 peratus berbanding tahun sebelumnya yang hanya merekodkan sebanyak 631 kes.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam kenyataan medianya sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Tahun 2022 pada bulan lalu, tahun ini sahaja sehingga bulan Jun lepas, sebanyak 467 kes bunuh diri dilaporkan PDRM.

Melihat angka yang mencanak itu, sewajarnya kita berasa bimbang. Jika tidak ditangani segera, dibimbangi lebih ramai lagi yang mengambil jalan singkat dengan menamatkan riwayat hidup sendiri.

Baca juga Waris yang didapati bersalah sebagai pembunuh tidak layak dapat faraid

Ketahuilah, Islam begitu melarang keras perbuatan bunuh diri. Ia ibarat kita membinasakan diri sendiri. Malah, banyak dalil yang memerihalkan tentang perkara itu. Benarkah pelakunya akan diazab dengan perbuatan sama di dalam neraka kelak? Apakah pendekatan terbaik untuk ‘merawat’ diri daripada dibadai amukan hati untuk menamatkan kehidupan sendiri?

Dosa besar

Ketika melontarkan persoalan itu kepada pendakwah Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa, beliau menjelaskan, apa jua justifikasinya, bunuh diri merupakan perbuatan yang ditegah dan berdosa besar.

USTAZ MOHD FAUZI

Betapa dahsyatnya perilaku itu sehinggakan ulama-ulama fikah menetapkan bahawa dosa membunuh diri lebih besar daripada menghilangkan nyawa orang lain, ungkapnya.

“Malah, pelaku juga dianggap sebagai fasiq (orang yang berdosa besar). Ini kerana kehidupan manusia sebenarnya tidak dimiliki oleh kita. Mudah kata, kita bukan pemilik kepada nyawa sendiri.

“Sebaliknya, kita dicipta oleh ALLAH SWT, jadi nyawa itu milik-NYA jua. DIALAH yang meniupkan roh ketika kita masih dalam kandungan ibu.

“Justeru, kita tidak ada hak dan tiada sebab untuk mengambil atau mencabut nyawa sendiri. Hanya ALLAH SWT saja yang berhak melakukannya,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Baca juga Hantu Dan Jin Tak Boleh Bunuh Manusia Kecuali…

Larangan tersebut bertepatan dengan firman ALLAH SWT: “…Janganlah kamu sengaja mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri…” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Begitu juga dengan dalil yang mana ALLAH SWT berfirman: “…Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya, ALLAH MAHA PENYAYANG kepadamu.” (Surah an-Nisa’, ayat 29)

Menelusuri kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW, Ustaz Mohd Fauzi menceritakan, terdapat seorang lelaki menikam dirinya dengan anak panah, lalu mati. Nabi Muhammad SAW tidak mendirikan solat jenazah ke atasnya.

Bunuh diri

ULAMA fikah menyatakan, dosa bunuh diri lebih besar daripada menghilangkan nyawa orang lain. -FOTO: 123RF

“Perkara itu dinyatakan jelas dalam Hadis Riwayat Muslim. Lihatlah betapa besar implikasinya. Ia sehinggakan ada sebahagian ulama berpendapat bahawa orang yang membunuh diri sendiri tidak boleh dimandi mahupun disolatkan (jenazahnya).

“Cuma kita mengguna pakai pandangan ulama yang menyatakan, wajib mandi dan solat jenazah kerana dia bukan kafir ataupun orang yang syirik pada ALLAH,” terang beliau panjang lebar.

Sesi temu bual kami semakin rancak apabila Ustaz Mohd Fauzi membangkitkan tentang azab yang bakal menimpa orang yang membunuh diri.

Azab berterusan

Dalam nada tegas, agamawan itu berkata, apa jua kaedah dan benda yang digunakan untuk melakukan perbuatan itu, demikian juga cara mengazab dirinya di Neraka Jahanam pada hari kiamat kelak.

Perkara itu disebutkan dalam sebuah hadis. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Baca juga Usah seronok bergelumang maksiat, rupanya itu antara azab ALLAH

Dalam satu riwayat lain, baginda bersabda: “Sesiapa membunuh diri dengan besi, maka di Neraka Jahanam nanti, besi itu selalu di tangannya, dia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barang siapa bunuh diri dengan meminum racun, maka di Neraka Jahanam nanti, ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barang siapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di Neraka Jahanam nanti, dia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Bunuh diri

PERCAYALAH di sebalik ujian, kepedihan, kesukaran dan kesengsaraan yang dihadapi pasti terselit hikmahnya tersendiri. -FOTO: FREEPIK

Meskipun hadis berkenaan jelas menyatakan pelakunya kekal di dalam neraka buat selama-lamanya, jelas pendakwah itu, para ulama menyatakan, ia merupakan ancaman keras bahawa kelompok berkenaan akan masuk ke tempat seksaan itu untuk tempoh yang lama.

“Suka saya ingatkan, orang bunuh diri bukan sekadar masuk ke dalam neraka dan menggunakan ‘senjata’ sama mengazab diri di neraka, tetapi dalam sebuah hadis qudsi, Rasulullah SAW menceritakan terdapat seseorang yang pernah tercedera.

“Akibat tidak dapat menahan kesakitan, lalu dia mengambil pisau dan memotong nadinya pada pergelangan tangan. Akhirnya, darah berterusan mengalir sehinggalah dia meninggal dunia.

“ALLAH berkata: ‘Hamba-KU menyegerakan mati dengan dirinya sendiri, AKU mengharamkan ke atasnya syurga’,” ungkapnya. Justeru, Ustaz Mohd Fauzi mengingatkan agar umat Islam tidak mengambil jalan singkat dengan melakukan tindakan membinasakan itu.

“Jangan kita ingat bunuh diri boleh menyelesaikan masalah dan tamatkan segala-galanya. Ketahuilah, dengan mati itu bermulanya sebuah kehidupan baharu di alam lain. “Ingatlah, bagaimana kita mati itu, begitulah juga kita akan hadapinya kelak,” ujar beliau.

Jangan putus asa dengan rahmat ALLAH

Sementara itu, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah menjelaskan, tindakan membunuh diri sebagai jalan pintas untuk mengakhiri beban atau masalah hidup adalah jelas tindak-tanduk yang salah dan bertentangan dengan agama.

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

“Bukan sahaja berdosa besar, tetapi juga menghilangkan rahmat ALLAH SWT pada kita. Pada hemat saya, amat tidak berbaloi untuk kita menyesali, menangisi, meratapi apatah lagi berduka cita terlalu kana atas ujian dunia yang sifatnya hanya sementara.

“Sedangkan, kehidupan di alam sana lebih lama dan panjang. Apabila diuji, sebaiknya kita bermuhasabah, memperbaiki diri, membanyakkan amalan, bersabar dan sentiasa bersangka baik dengan ALLAH SWT,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Baca juga Jangan Khianati Amanah, Ia Prasyarat Menilai Keimanan

Menyambung hujah, Ustazah Sharifah Fadylawaty menegaskan, perbuatan membunuh diri umpama kita mengkhianati amanah dan hak ALLAH SWT.

Masakan tidak, tubuh badan manusia adalah hak milik-NYA dan ia hanyalah pinjaman daripada-NYA untuk kita memanfaatkannya bagi tujuan beribadah serta selari dengan tuntutan agama.

“Malah, perbuatan tercela itu jelas bertentangan dengan fitrah manusia yang sepatutnya menghargai nikmat ALLAH iaitu tubuh badan dengan cara memberikan makna dan kebahagiaan dalam kehidupan, bukannya dengan jalan menyakiti diri.

“Seperkara lagi, Islam begitu menekankan penjagaan Maqasid Syariah yang meliputi agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Jelaslah membunuh diri bertentangan dengan prinsip berkenaan.

“Larangan melakukan demikian sebenarnya juga bertujuan agar umat Islam tidak mudah berputus asa dengan rahmat ALLAH SWT dan menghindarkan diri daripada bersangka buruk dengan takdir-NYA,” katanya sambil mengingatkan bahawa setiap ujian pasti ada hikmat yang tersirat di sebaliknya dan menasihatkan kita supaya optimis serta kembali kepada Sang Pencipta.

Jihad dan muhasabah diri

Andai berdepan dengan situasi sukar, ahli akademik itu menasihatkan agar kita memperbanyakkan muhasabah atas kesilapan dan melazimkan diri dengan berdoa.

Antara doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW termasuklah: “Ya ALLAH, aku berlindung kepada-MU daripada bala yang sukar, kejahatan yang melampau, qada yang jahat dan cacian musuh.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Satu lagi doa yang boleh diamalkan adalah: “Ya ALLAH, aku berlindung kepada-MU dari keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada-MU dari rasa penakut dan kikir dan aku berlindung kepada-MU dari bebanan hutang dan penindasan.” (Hadis Riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan an-Nasai)

Bunuh diri

SEGERA bertaubat andai hati pernah terdetik untuk melakukan perbuatan yang dilarang oleh ALLAH SWT dan bertentangan dengan ajaran agama Islam. -FOTO: 123RF

“Selain itu, jadikanlah zikir sebagai amalan dan benteng diri serta penuhi masa lapang dengan aktiviti bermanfaat dan bermasyarakat seperti menghadiri majlis itu.

“Di samping itu, pilihlah lingkungan sahabat dan persekitaran yang positif. Andai rasa stres, depresi atau kemurungan melampau sehingga tidak mahu lagi meneruskan hidup, ketahuilah bahawa ia ‘sakit’ yang perlu segera dirawat. Pada masa sama, cari orang yang dipercayai untuk meluah bagi meringankan beban dan jangan lupa rujuk kepada pakar berkaitan seperti psikiatri, doktor, kaunselor dan seumpamanya,” titip beliau.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Ustazah Sharifah Fadylawaty mengingatkan bahawa segala kepayahan, kesakitan, kepenatan mahupun kesedihan yang membelenggu kehidupan kita perlu dilawan sehabis daya.

Baca juga Sakit boleh jadi penghapus dosa. Tapi jangan sesekali mengeluh atau persoalkan takdir ALLAH

Semua itu merupakan sebahagian daripada jihad yang tidak sia-sia, namun berpahala senadainya dibuat kerana ALLAH SWT. Ingatlah, Islam menggalakkan umatnya agar sentiasa kuat waima aspek fizikal, mental mahupun spiritual.

“Justeru, jangan sesekali mendambakan atau berharap untuk mati. Ia merupakan indikator sifat putus asa seorang mukmin. Kalaupun kita rasa sudah tidak kuat untuk menghadapi ujian hidup, hindari diri daripada berdoa supaya disegerakan kematian.

Bunuh diri

BERISTIGHFAR memohon keampunan daripada ALLAH SWT atas segala dosa yang pernah dilakukan. Semoga taubat kita diterima oleh-NYA. -FOTO: 123RF

“Sebaliknya, mohonlah kepada ALLAH agar diberikan kekuatan dan ketenangan untuk menghadapi ujian hidup. Tindakan drastik membunuh diri hanya akan mendedahkan seseorang kepada tiga penderitaan iaitu di dunia dengan masalah depresi, tidak bermotivasi, murung dan lain-lain yang mendorongnya bertindak demikian. Selain itu, penderitaan menjelang kematian iaitu sakit menghadapi sakarul maut.

“Satu lagi adalah penderitaan kekal di akhirat iaitu dimasukkan ke dalam neraka, dijauhkan daripada rahmat ALLAH dan dilaknat,” jelasnya.

ANEKDOT

Fakta tentang bunuh diri

– Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan, kira-kira 703,000 orang mati akibat bunuh diri dan lebih ramai orang melakukan percubaan tersebut setiap tahun dengan purata satu kematian setiap 40 saat.

– Ia menjadi punca utama kematian keempat dalam kalangan mereka berusia 15 hingga 29 tahun.

– Sebanyak 77 peratus kes bunuh diri global berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

– Mereka yang berisiko berbuat demikian antara lain mengalami gangguan mental, gagal menangani tekanan hidup seperti masalah kewangan, putus hubungan, sakit atau menghidap penyakit kronik. – Selain itu, individu yang mengalami konflik, bencana, keganasan, penderaan atau kehilangan dan rasa pengasingan sangat dikaitkan dengan tingkah laku tidak popular berkenaan.

Bunuh diri

MEMILIH jalan singkat dengan menamatkan riwayat hidup sendiri mengundang hilangnya rahmat ALLAH SWT. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: FREEPIK

– Malaysia berada di tangga ke-126 dunia pada tahun 2019 berdasarkan statistik yang dibuat oleh WHO. Kadarnya melibatkan 5.7 orang daripada 100,000 orang.

– Pada tahun tersebut, kadar kes bunuh diri bagi lelaki di negara ini direkodkan lebih tinggi iaitu 8.9 berbanding dengan wanita (2.3). Meskipun demikian, kajian menunjukkan, cubaan membunuh diri adalah lebih banyak daripada wanita.

Sumber: https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/suicide & https://qgenanalysts.org/kes-bunuh-diri-sokongan-diperlukan/

Cara bertaubat bagi individu yang berjaya diselamatkan

  1. Banyakkan beristighfar memohon keampunan ALLAH SWT dengan mengucapkan astaghfirullahal ‘azim. Fahami dan hayati ungkapan berkenaan.
  2. Tinggalkan perbuatan membunuh diri buat selama-lamanya.
    Bencikan tindakan tersebut.
  3. Berazam tidak mengulanginya atas apa jua sebab dan alasan. Jangan sesekali berputus asa daripada rahmat ALLAH SWT.
  4. Mendalami ilmu.

Baca juga Segerakan taubat, jangan sampai hati jadi rosak gara-gara lambat bertindak

Andai seseorang melakukan perbuatan bunuh diri disebabkan kejahilannya, maka dia wajib menuntut ilmu kerana jahil.

Seandainya orang itu terdorong melakukan demikian kerana sifat tergesa-gesa dan tidak sabar, maka dirinya perlu belajar banyak bersabar.

Jika perilaku berkenaan dilakukan kerana rezeki kurang masuk dan sebagainya, carilah ia. Biarpun sedikit, tidak mengapa asalkan halal.

Sumber: Pendakwah Ustaz Mohd Fauzi Mustaffa

Sebelum berbuka waktu mustajab doa
Gaya Hidup, Pilihan Editor,

10 Saranan WHO Untuk Jalani Ibadah Puasa Dengan Baik

BULAN Ramadan yang bakal menjengah enam hari lagi, boleh mengurangkan berat badan kita atau menambahnya, bergantung kepada amalan permakanan masing-masing.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam saranan dietarinya bagi bulan yang mulia itu, mengingatkan mereka yang berpuasa tidak terlalu mengikut nafsu ketika berbuka dan sahur.

“Kehidupan sosial menjadi-jadi pada bulan Ramadan. Pada berbuka puasa rakan-rakan dan tetamu dijamu dengan makanan yang enak,” kata badan dunia itu dalam satu kenyataan.

“Pada Ramadan, ramai dalam kalangan yang berpuasa tidak melakukan aktiviti fizikal, berikutan itu (atas sebab terlalu banyak menjamu selera dengan makanan enak ketika berbuka), ada yang mungkin menyaksikan berat badan mereka bertambah.

“Bagi mereka yang mengidap pentakit kencing manis pula, mungkin ada yang tidak mengawal dengan sempurna keadaan masing-masing berikutan dijamu makanan enak ketika berbuka,” kata WHO.

Namun, keadaan ini boleh dielakkan jika mereka yang berpuasa mematuhi beberapa garis panduan yang mudah, malah mampu mengurangkan berat badan, mengawal tekanan darah dan kandungan kolesterol.

WHO berkata, memang ada bukti berpuasa mampu meningkatkan tahap kesihatan tetapi amalan pemakanan tidak terkawal ketika berbuka dan sahur boleh menindakkan manfaat kesihatan.

Ada 10 perkara signifikan yang perlu diutamakan oleh setiap umat Islam supaya kekal sihat sepanjang menjalani ibadah puasa ketika musim pandemik Covid-19 ini.

WHO menasihatkan agar memberi keutamaan kepada:

1. Tetap menjaga kesihatan sepanjang Ramadan.

Ibadah puasa

JAGA pola pemakanan yang sihat dan minum banyak air.

Organisasi itu mengingatkan agar kita menjaga pola pemakanan yang sihat dan minum banyak air (sekurang-kurangnya 10 gelas sehari).

Pada masa sama, elakkan merokok walaupun selepas berbuka, jangan mengambil makanan ringan atau tinggi kandungan gula.

Daging dengan kandungan lemak yang tinggi juga perlu dikurangkan, serta makanan yang mempunyai kandungan garam yang tinggi.

Ketika makan, jamulah dengan perlahan dan pada jumlah yang berpatutan.

Pastikan juga kita mengikuti panduan keselamatan makanan, selain kekal aktif dan menjaga pola tidur yang baik.

2. Kekal selamat sepanjang Ramadan.

Bagi tujuan itu, jangan lupa untuk kerap membasuh tangan sebagaimana yang dianjurkan, sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Ibadah puasa

PAKAI pelitup muka apabila ke masjid atau surau dan pada masa sama, pihak jawatankuasa perlu memastikan cecair pembasmi kuman turut disediakan pada setiap pintu masuk masjid.

Baca juga Pelopor Muzik Dunia

3. Hidupkan semangat Ramadan walaupun ketika seluruh dunia bergelut dengan Covid-19.

Berdoa, solat dan berkongsi apa sahaja ketika Ramadan tetap boleh dilakukan selagi ada penjarakan fizikal dan menjaga diri agar sentiasa sihat.

Jika ada saudara atau kenalan yang sakit, doakan untuk dirinya agar diberi kesembuhan dan berikan sokongan kepada mereka.

Pastikan komunikasi dan jalinan kekeluargaan tetap dipelihara meskipun berjauhan. Kepada mereka yang berjauhan dari keluarga, boleh sahaja melakukan panggilan telefon atau video untuk mengeratkan silaturahim.

Ibadah puasa

BERDOALAH memohon kesembuhan buat keluarga atau kenalan yang ditimpa ujian kesakitan.

4. Cari cara baharu untuk membantu antara satu sama lain sepanjang Ramadan.

Seperti menjamu dengan makanan yang siap dibungkus dan tidak menyediakan makanan di atas meja terbuka yang menggalakkan orang ramai berkerumun.

Bagi proses bayaran zakat pula, manfaatkan teknologi digital. Begitu juga dengan sedekah, sebaiknya gunakanlah platform berkenaan untuk melakukan amal.

Malah, Akademi Fiqah Islam Antarabangsa juga memutuskan bahawa wang zakat boleh digunakan untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

5. Tiada bukti bahawa puasa boleh meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

Justeru, individu yang sihat sepatutnya boleh berpuasa. Bagi pesakit Covid-19 pula atau menunjukkan gejala jangkitan boleh menggunakan pertimbangan agama untuk tidak berpuasa atas nasihat doktor.

6. Jika kita mengadakan acara sahur, iftar atau apa-apa majlis sosial pada bulan Ramadan, lakukan perkara seperti berikut:

Pertama, hendaklah memastikan acara itu diadakan secara maya dan mengehadkan kehadiran fizikal hanya untuk orang yang tinggal bersama-sama dengan kita.

Seandainya tetap mahu mengadakan majlis juga, WHO menasihatkan agar ia hanya melibatkan sebilangan kecil. Pada masa sama, pastikan pengudaraan yang baik di dalam rumah atau gunakan kawasan lain.

Jangan lupa untuk mengambil kira langkah-langkah bagi memudahkan pengesanan kenalan sekiranya terdapat orang sakit dalam kalangan peserta.

7. Galakan amalan sihat di masjid atau tempat ibadah.

Ibadah puasa

BAWA sejadah sendiri dari rumah jika ingin menunaikan solat di masjid atau surau sepanjang pandemik Covid-19.

WHO menggalakkan kita agar mengambil wuduk di rumah dan membawa sejadah sendiri. Pihak masjid atau surau juga perlu memastikan kemudahan untuk membasuh tangan dilengkapi dengan air dan sabun serta sediakan cecair pembasmi kuman (dengan kandungan 60-80 peratus alkohol) pada pintu masuk dan di dalam masjid.

Jangan abaikan aliran masuk dan keluar pengunjung masjid. Jawatankuasa masjid juga perlu memastikan ada tong sampah dengan pelapik pakai buang dan kerap membersihkan ruang masjid.

8. Sokongan kepada mereka yang terlibat dalam kes keganasan rumah tangga terutama terhadap wanita, anak-anak dan golongan terpinggir yang kerap berlaku di kawasan terlibat sekatan pergerakan.

Pada masa inilah, peranan pemimpin agama bersuara secara aktif dalam menentang keganasan dan memberi sokongan atau mendorong mangsa untuk meminta pertolongan.

9. Jika ditawarkan untuk menerima suntikan vaksin ketika Ramadan, lakukan perkara ini:

Ibadah puasa

SUNTIKAN vaksin Covid-19 tidak membatalkan puasa jika ia diambil pada bulan Ramadan.

Badan-badan fatwa terkenal seperti Al Azhar Al Sharif telah memutuskan bahawa pengambilan vaksin tidak akan membatalkan puasa kerana ia diberikan secara suntikan dan bukan daripada bukaan semula jadi seperti hidung dan mulut.

Selain itu, Akademi Fiqah Islam Antarabangsa menyatakan, vaksin Covid-19 dibenarkan di bawah undang-undang syariah.

Seandainya kita sudah menerima vaksin, tetap terus mengambil langkah-langkah kesihatan dan sosial seperti yang disarankan. Ia bagi melindungi orang lain daripada kemungkinan jangkitan.

10. Jika negara menawarkan vaksin kepada rakyat ketika Ramadan, WHO menyarankan agar sebaiknya kita berkerjasama dengan pemimpin agama setempat untuk mempromosikan pengambilan vaksin serta meneruskan kempen vaksinasi tanpa gangguan.

Menjadi tanggungjawab kita untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa badan-badan fatwa terkemuka seperti Akademi Fiqah Islam Antarabangsa menyatakan bahawa vaksin Covid-19 dibenarkan di bawah undang-undang syariah dan Al Azhar Al Sharif telah menjelaskan bahawa pengambilan vaksin tidak akan membatalkan puasa.

Foto: Freepik