Browsing Tag

wasiat

Telaga air
Antarabangsa,

Kasih seorang bapa bina telaga air di Tanzania demi penuhi ‘wasiat’ anak

MEMBINA sebuah telaga air tidak semudah disangka. Bukan sahaja wang ringgit diperlukan, tetapi masa dan juga kerahan tenaga yang tidak berbelah bahagi.

Meskipun berdepan kesukaran, namun seorang bapa sanggup merentasnya demi memenuhi ‘wasiat’ anaknya yang sudah meninggal dunia. Benarlah pernyataan yang selama ini kita dengar bahawa kasih bapa membawa ke syurga.

Usaha murni itu dilakukan oleh Saghir Ahmed, seorang Muslim British dari Birmingham selepas anak perempuannya, Maryam Ahmed meninggal dunia akibat kanser ovari pada 2017. Ketika itu Maryam baru berusia tujuh tahun.

Hatinya pilu saat mengenangkan cahaya matanya itu sempat ‘berwasiat’ kepadanya sebelum meninggal dunia. Bayangkan anak sekecil itu menyimpan hasrat untuk membantu orang yang memerlukan di Afrika.

Baca juga Beza di antara faraid dan wasiat

“Dua minggu sebelum meninggal dunia, Maryam sempat memberitahu saya bahawa dia teringin untuk membina telaga di Afrika bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik.

“Memikirkan hajatnya itu membuatkan saya terpanggil untuk melunaskannya. Bagi saya, sangat penting untuk saya mencuba dan melakukannya demi anak perempuan yang dikasihi,” katanya sebagaimana dipetik menerusi BBC.

Telaga air

AHMED merancang untuk melawat telaga air di Tanzania pada bulan November ini.

Biarpun terpaksa menunggu selama beberapa tahun dan berdepan kesukaran untuk merealisasikan hajat Maryam, namun Ahmed yang bekerja sebagai Penolong Pengurus Operasi National Express West Midlands kini akhirnya boleh menarik nafas lega.

Masakan tidak, lelaki berusia 37 tahun itu berjaya mengumpulkan 100,000 pound (RM534,700) untuk menyokong pemasangan telaga air bagi masyarakat dan penduduk kampung di Tanzania.

Bukan itu sahaja, Ahmed juga berjaya mengumpul 20,000 pound (RM106,940) untuk menyediakan pakaian kanak-kanak Tanzania ketika sambutan Aidilfitri lalu, selain digunakan untuk membeli buku dan makanan bagi ratusan yang lain.

“Semua ini tidak mungkin berjaya tanpa sokongan keluarga, rakan-rakan dan komuniti setempat. Terima kasih atas bantuan daripada semua. Akhirnya saya dapat memenuhi hasrat anak perempuan saya.

Baca juga Larian amal 150 km sambil berpuasa bantu pelarian Afghanistan

“Kebanyaan orang yang saya temui di perkampungan Tanzania ini tidak mempunyai apa-apa. Jadi pertolongan kecil kami sedikit sebanyak dapat membantu mereka,” ucapnya penuh kesyukuran.

Telaga air

SAGHIR AHMED berjaya mengumpulkan wang untuk pembinaan telaga air dan untuk tujuan kerja amal lain seperti membeli pakaian dan makanan untuk golongan memerlukan.

Ahmed tidak bersendirian dalam menjalankan usaha murninya itu. Beliau turut bekerjasama rapat dengan badan amal Islamic Help yang berpangkalan di United Kingdom.

Jurucakap Islamic Help, Mohammed Ilyas berkata, inisiatif Ahmed begitu memberi inspirasi dan mencerminkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anaknya.

“Kata-kata sahaja tidak mampu menyatakan betapa besarnya pencapaian Ahmed. Beliau tidak mementingkan diri, sebaliknya kesungguhan yang ditonjolkannya itu bukan sahaja sebagai tanda ingatan kepada anaknya yang telah pergi, tetapi juga membantu beberapa komuniti termiskin dan memerlukan di dunia,” katanya.

Foto: BBC