Browsing Tag

warna rambut

hukum warna rambut
Panduan,

Harus mewarnakan rambut saja-saja, tapi kena tahu 5 perkara ni sebelum buat – PU Azman

CERITA pasal warnakan rambut ni memang popular sejak dulu lagi. Maklum sajalah, orang kitakan rambut masing-masing warna hitam.

Jadi bila nampak orang colour rambut, rasa pelik je. Dah dikatanya orang itu ikut budaya baratlah, jatuhkan hukum haram dan sebagainya.

Itu baru tengok orang warnakan rambut dengan colour perang. Bila dilihatnya ada orang pilih warna-warni untuk colour rambut mereka, mengucap panjang dibuatnya.

Masakan tidak, ramai yang menganggap mewarnakan rambut salah di sisi agama. Bukan apa, takut tak sah solat dan bila mandi wajib.

Baca juga Apakah sebenar hukum wanita mewarnakan kuku menurut Islam?

Betul ke memang tak boleh warnakan rambut? Bukan ke tak ada masalah kalau colour rambut gunakan inai?

Bagaimana pula dengan status solat dan mandi wajib orang yang suka-suka warnakan rambut ini?

Persoalan itu dilontarkan oleh seorang remaja kepada PU (Pencetus Ummah) Azman dalam sesi live video yang dikongsikan oleh seorang pengguna Instagram aish_sya baru-baru ini.

Pemilik nama penuh Azman Syah Alias menjelaskan, mewarnakan rambut sama ada dengan inai secara tradisional atau artificial iaitu dengan bahan-bahan lain chemical process, hukumnya adalah harus.

“(Ia) kerana mewarnakan rambut, proses menukar daripada warna rambut asal tidak kira (sama ada) daripada inai semula jadi ataupun ada campuran dari kilang-kilang dengan bahan yang moden, tidak ada masalah,” jelas beliau menjawab pertanyaan netizen berkenaan.

Malah, kata PU Azman yang mesra disapa Cik Man, proses mewarnakan rambut pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Baginda SAW menyuruh sahabat, Abu Quhafah yang juga bapa kepada Abu Bakar al-Sidiq mewarnakan rambut.

“Dalam usianya yang tua dan veteran, maka nabi kata warnakan rambut tapi elakkan warna hitam.

“Maknanya, orang tua tak boleh pakai warna hitam kerana ada unsur penipuan kecuali orang tua itu nak pergi berperang supaya nampak kelihatan muda dan menjadi menakutkan kepada musuh-musuh Islam,” ujar beliau.

Tapi kalau orang tua just nak duduk rumah saja, jelas beliau, tetap dibolehkan warnakan rambut selain daripada colour hitam.

“Dia boleh gunakan seperti warna-warna inai contohnya warna coklat kemerah-merahan dan yang sewaktu dengannya,” katanya.

Baca juga Hukum wanita memakai gelang kaki, berikut perinciannya

Bagaimanapun, tambah Cik Man lagi, kita kena lihat juga suasana ketika zaman moden ini terutama tujuan nak warnakan rambut sama untuk untuk menutup uban, meniru budaya fasik orang-orang barat yang jahat atau saja-saja.

Andai tujuannya untuk saja-saja, tiada masalah sebenarnya, terang beliau.

“Kalau tujuannya untuk menutup uban, lagilah tiada masalah. Kalau tujuannya untuk mengikut budaya-budaya jahat, hukumnya haram! Okay selesai,” katanya.

Itu perkara pertama iaitu berkaitan niat atau tujuan colour rambut. Kemudian, kita kena lihat empat lagi perkara untuk mewarnakan rambut, barulah ia boleh ‘jatuh’ hukum harus bila kita warnakan rambut walaupun hanya saja-saja buat. Ini ringkasannya menurut Cik Man:

1. Niat atau tujuan mewarnakan rambut.

2. Lihat bahan dalam pewarna rambut.

Kalau inai yang diambil daripada belakang rumah, lepas tu kita tumbuk-tumbuk dan bubuh di kepala, tiada masalah.

Tapi kalau kita pergi kedai dan lihat semula ingredients dan kita yakin yang bahannya tak dibuat daripada najis, itu pun tak ada masalah kalau nak guna.

3. Tengok adakah pewarna rambut merosakkan nyawa dan kesihatan.

Kalau kita yakin ia tak merosakkan nyawa dan kesihatan, maka juga tiada masalah.

4. Adakah bahan pewarna rambut menghalang air atau tidak?

Jika bahan digunakannya diyakini tak menghalang wuduk dan mandi wajib iaitu ia memang boleh meresap masuk ke dalam zat rambut ketika mandi wajib, maka tiada masalah untuk digunakan.

5. Warna rambut digunakan tak mendatangkan fitnah.

Contohnya, warna-warna yang dekat dengan warna inai ataupun warna rambut kita contohnya seperti warna coklat, perang, kuning kemerah-merahan yang dekat dengan warna asal.

Tapi kalau warna hijau atau biru, ini warna-warna yang digunakan oleh orang-orang jahat atau kafir di barat yang nak sesatkan umat Islam dengan pelbagai warna yang boleh menarik perhatian sehingga menimbulkan gosip dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Cik Man turut mengingatkan masyarakat bahawa bukan semua orang yang mewarnakan rambut itu terlibat dengan gejala sosial.

Baca juga Rambut wanita yang dipotong tetap aurat. Tak boleh diperlihatkan pada orang lain sesuka hati

“Sebenarnya tak pun (semua orang yang warnakan rambut terlibat gejala sosial) sebab mewarnakan rambut ini berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

“Cuma mungkin dikatakan (mereka) terlibat dengan gejala sosial bila mewarnakan rambut itu kerana apabila barat memperkenalkan budaya ataupun style mewarnakan rambut dengan keadaan yang bukan-bukan, warna hijau, kemudian ada pula mewarnakan rambut macam colour pelangi ada warna hijau, oren, merah, kuning, Avatar dengan Shreknya semua nak.

So, benda-benda itu yang mungkin memberi fitnah  dan merosakkan budaya sunah mewarnakan rambut. Maka, kita katakan di sini mewarnakan rambut pernah menjadi sunah para sahabat tetapi telah disalahfaham dan telah ditunjukkan dengan persembahan yang menjadikan mewarnakan rambut sebagai satu perbuatan yang haram,” jelas beliau menoktahkan jawapan kepada persoalan berkenaan.

Justeru, diharapkan semua orang jelas dengan penerangan Cik Man ini. Lagi satu, jangan sesuka hati kita nak label orang lain begitu dan begini.

Ingatlah kitakan hamba ALLAH yang tidak selayaknya menghukum insan lain yang sama tarafnya dengan kita sebagai seorang hamba kepada Sang Pencipta.

Hukum warnakan rambut

Sumber: Instagram aish_sya