Browsing Tag

Waris lelaki

Waris lelaki
Faraid,

Habuan waris lelaki melebihi perempuan disifatkan berat sebelah? Ini penjelasannya

POLEMIK hukum faraid yang tidak seimbang dalam agihan kepada waris lelaki dan waris perempuan bukan suatu yang baharu berlaku. Terdapat segelintir pihak yang melihat pensyariatan faraid bersifat berat sebelah atau lebih tepat ia mempunyai unsur diskriminasi terhadap golongan wanita yang hanya mendapat separuh daripada bahagian lelaki.

Kemelut ini berkemungkinan bermula dengan frasa ‘bahagian lelaki menyamai dua bahagian perempuan’ menerusi pangkal ayat ke-11 dalam Surah an-Nisa’ yang ditujukan kepada anak-anak si mati dan ayat 176 dalam surah sama yang menghuraikan bahagian adik-beradik kandung si mati.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: ALLAH perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. (Surah an-Nisa’ ayat 11)

Manakala, firman ALLAH dalam ayat 176 pula bermaksud: Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan. ( Surah an-Nisa’, ayat 176)

Baca juga Kenali waris faraid, ini perinciannya.

Kedua-dua ayat ini hendaklah difahami secara komprehensif seiring dengan falsafah pensyariatan hukum faraid. Hal ini kerana, Islam tidak boleh diambil dari juzuk-juzuk yang mengikut keselesaan logik akal semata-mata. Akan tetapi, kita perlu melaksanakan Islam secara menyeluruh dan mengabdikan diri kepada-NYA secara total. Hanya dengan cara itu kita akan dapat menikmati keindahan ajaran Islam.

Waris lelaki

PERATURAN faraid merupakan kombinasi hukum kekeluargaan (fiqh munakahat) dan hukum kehartaan (fiqh muamalat). -FOTO: FREEPIK

Memahami falsafah faraid yang komprehensif

Persoalan masih relevan atau tidak bahagian waris lelaki melebihi waris perempuan perlu dilihat kepada falsafah faraid itu sendiri. Lensa Islam dalam pensyariatan hukum tersebut adalah lebih luas kerana keadilan di dalam Islam bukan bermakna kesamarataan total iaitu satu sama dengan satu.

Keadilan dalam Islam bermaksud meletakkan sesuatu di tempatnya. Peraturan faraid merupakan kombinasi hukum kekeluargaan (fiqh munakahat) dan hukum kehartaan (fiqh muamalat). Setiap perincian dalam faraid berkait rapat dengan perlindungan dan pembiayaan kewangan dalam sesebuah keluarga yang dibina.

Ahli keluarga lelaki dalam sesebuah keluarga dibebankan dengan pelbagai tanggungjawab termasuklah menjadi ketua keluarga. Segala apa yang diterima oleh orang lelaki hendaklah dikongsi bersama ahli keluarga lain seperti ibu, bapa, isteri, anak dan adik-beradik.

Tanggungjawab membayar nafkah tidak akan berpindah ke pihak perempuan dalam apa keadaan sekalipun. Sekiranya suami atau bapa tidak berkemampuan membayar nafkah isteri atau anak-anak, tanggungjawab tersebut dipindahkan kepada datuk sebelah bapa, adik-beradik lelaki dan sesiapa yang hampir dalam kalangan keluarga lelaki tersebut.

Baca juga Beza di antara faraid dan wasiat

Dari sisi lain, ahli keluarga wanita yang menerima faraid hanya untuk dirinya sahaja dan tidak wajib memberikan bahagiannya kepada orang lain termasuk suami melainkan dengan kesukarelaannya. Ini bermakna, waris wanita mendapat separuh bahagian daripada lelaki, namun separuh bahagian tersebut diterima sebagai ‘net’ atau ‘nilai bersih’. Manakala kaum lelaki yang menerima dua kali ganda tersebut menerimanya secara ‘gross’ atau kasar.

Waris lelaki

BERBANDING perempuan, ahli keluarga lelaki dalam sesebuah keluarga dibebankan dengan pelbagai tanggungjawab termasuklah menjadi ketua keluarga. -FOTO: 123RF

Falsafah ini perlu dihayati oleh semua keluarga Muslim agar salah faham diskriminasi wanita mendapat habuan faraid yang sedikit dapat diketepikan. Waris lelaki juga harus akur untuk tidak menghabiskan bahagiannya semata-mata untuk dirinya sendiri dan meminggirkan orang lain yang mempunyai hak secara tidak langsung terhadap bahagian mereka.

Bukan semua situasi waris lelaki dapat lebih

Perlu diketahui, tidak semua waris lelaki mendapat habuan yang lebih berbanding waris perempuan. Biasanya kewujudan waris yang setaraf sahaja yang menyebabkan bahagian lelaki melebihi bahagian perempuan seperti yang berlaku kepada anak lelaki dan anak perempuan kepada si mati.

Sebagai contoh, seorang wanita meninggal dunia dengan meninggalkan waris iaitu seorang anak perempuan, suami dan bapa. Penyelesaian yang ditunjukkan dalam jadual 1 memperlihatkan waris-waris lelaki yang wujud dalam kes ini mendapat habuan yang lebih sedikit daripada anak perempuan yang merupakan satu-satunya perempuan dalam senarai waris.

Baca juga Usah gunakan kata nista semata-mata untuk dapatkan hak faraid

Dengan mengambil contoh yang hampir sama, tetapi berlaku penambahan anak lelaki sebagai waris telah mengubah bahagian anak perempuan. Jadual 2 memaparkan anak perempuan mendapat habuan yang sedikit dengan kewujudan anak lelaki. Bagaimanapun, anak perempuan tersebut dilindungi dengan kewujudan semua waris lelaki si mati.

***Artikel ditulis oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Zahari Mahad Musa

Foto: Freepik