Browsing Tag

waranti

Muamalah,

Elak Ambil Waranti Tambahan, Ini Sebab-Sebabnya

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD

PADA kebiasaannya, apabila kita membeli kereta atau peralatan elektrik, kita akan dimaklumkan bahawa pembelian itu disertakan dengan waranti (jaminan) untuk suatu tempoh tertentu seperti setahun.

Waranti tersebut adalah satu bentuk jaminan daripada pihak pengeluar bahawa jika berlaku kerosakan pada barangan yang dibeli dalam tempoh yang ditetapkan, kos penyelenggaraannya akan ditanggung oleh pihak pengeluar.

Tiada pertikaian dari segi keharusan waranti ini dari perspektif hukum syarak. Ini kerana ia ditawarkan bersekali dengan pembelian kereta atau peralatan elektrik. Oleh itu, harga bayaran  waranti yang dimasukkan sekali dalam harga barangan yang dibeli tidak membawa kepada isu gharar (ketidakpastian) yang dilarang kerana ia boleh dikira sebagai harga kepada barangan yang dibeli dan waranti itu hanya tabi’ (yang mengikut) sahaja.

Namun, timbul pertikaian tentang status halal waranti tambahan yang dikenali juga sebagai perjanjian perkhidmatan atau kontrak tambahan atau perjanjian penyelenggaraan. Wikipedia mentakrifkan waranti tambahan sebagai jaminan berpanjangan yang ditawarkan kepada pengguna sebagai tambahan kepada waranti standard pada item baharu.

Daripada takrifan tersebut, dapat difahami bahawa waranti tambahan ini perlu dibeli secara berasingan. Ia biasanya ditawarkan untuk tempoh jaminan tambahan ke atas tempoh jaminan sedia ada yang disertakan bersekali ketika membeli kereta atau peralatan elektrik misalnya. Sebagai contoh, tempoh waranti sedia ada adalah setahun. Jika pembeli mahukan jaminan tambahan selama lima tahun misalnya, dia kena membeli waranti tersebut.

Sebagai orang Islam, adakah pembelian waranti tambahan ini diharuskan? Kebanyakan ulama kontemporari memutuskan ia haram. Ini kerana pembelian tersebut melibatkan ketidakpastian sama ada sesuatu yang dibeli itu ada atau tidak atau berlaku atau tidak. Dengan kata lain, kerosakan adalah suatu yang tidak pasti akan berlaku, namun bayaran sudah dibuat. Jika dilihat dari aspek ini, ia sama seperti membeli insurans konvensional. Sebagaimana yang dimaklumi, insurans konvensional adalah diharamkan.

Waranti tambahan

ELAKKAN dalam urusan jual beli waranti tambahan sebagai langkah berhati-hati bagi mengelak elemen gharar.

Dalam muamalat Islam, antara unsur yang dilarang adalah gharar. Gharar merujuk kepada ketidakpastian. Sebagai contoh, apabila kita membeli sesuatu daripada seseorang, tetapi apa yang kita beli itu belum pasti boleh diserahkan kepada kita, maka di sini ada unsur gharar.

Baca juga Kepentingan ketelusan dalam muamalat kerana di situlah tertakluknya persetujuan pihak yang berkontrak

Dalam waranti tambahan juga wujud unsur gharar. Pembeli membuat bayaran kepada suatu yang belum pasti berlaku. Ini kerana jika tiada kerosakan berlaku, maka servis atau perkhidmatan membaiki kerosakan tidak akan berlaku sedangkan bayaran telah dibuat. Dalam akad jual beli,  mesti ada sesuatu yang diperoleh oleh pembeli sebagai balasan kepada bayaran yang telah dibuat.

Selain daripada pandangan yang melihat waranti tambahan ini seumpama insurans konvensional, ada juga yang melihat waranti tambahan ini sebagai kafalah yang dikenakan fi (al-kafalah bi al-ujrah). Kebanyakan  ulama Timur Tengah tidak membenarkan kafalah yang dikenakan fi.

Namun di Malaysia, dalam Dokumen Polisi Kafalah (DP Kafalah) yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia ada dinyatakan tentang keharusan pengenaan fi ke atas kafalah.

Pada pandangan saya, pandangan kedua ini perlu kepada kajian lanjut sama ada adakah waranti tambahan ini benar-benar menepati konsep kafalah bi al-ujrah atau sebaliknya. Jika ia benar-benar menepati konsep ini, mungkin ada ruang untuk dikatakan waranti tambahan ini adalah diharuskan dalam Islam.

Sebagai penutup bicara, buat masa ini, saya berpandangan waranti tambahan ini perlu dijauhi oleh umat Islam sebagai langkah berhati-hati. Wallahualam.

***Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Unsplash & Pexels