Browsing Tag

wanita tak bekerja

Poligami
Gaya Hidup,

‘Wanita Tak Bekerja Ialah Isteri Yang Dapat Laksana Hak Suami Dengan Sempurna’

no comment

MESKIPUN kita kini dalam era milenial, masih ada suara-suara nakal yang mempertikaikan kedudukan isteri berkerjaya dengan mereka yang bergelar suri rumah tangga.

Lebih memburukkan keadaan apabila segelintir pihak yang melabel isteri tidak bekerja hanya tahu menghabiskan duit suami sahaja.

Memperbetulkan tanggapan sinis tersebut, perunding motivasi wanita dan kekeluargaan, Siti Fatahiyah Mahamood menjelaskan, hakikatnya, wanita yang menjadi suri rumah tangga itulah isteri yang dapat melaksanakan hak suami secara sepenuhnya dengan sempurna.

SITI FATAHIYAH

“Masakan tidak, isteri berkenaan dapat mendidik anak dengan sempurna, membantu suami menguruskan hal ehwal rumah tangga dengan baik dan sentiasa ada bersama ‘imam’ mereka serta anak-anak tanpa keluh-kesah mengejar kesibukan kerja di luar yang adakalanya begitu memenatkan.

“Malah, isteri juga berhak mendapat harta sepencarian walaupun dia tidak bekerja. Pun demikian, walaupun bergelar suri rumah, mereka perlu bijaksana dalam menjaga penampilannya di rumah agar sentiasa kekal cantik dan menenangkan hati dan jiwa suami serta anak-anak,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Mengulas tentang isu duit suami ialah duit isteri dan duit isteri pula adalah hak mereka sepenuhnya, Siti Fatahiyah yang juga Teknologis Profesional dan Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara berkata, suami sememangnya terikat dalam pemberian nafkah kepada isteri dan anak-anak.

Baca juga Ingatan Untuk Para Suami Dan Bapa, Ramai Yang Lakukan Dosa Ini Tanpa Sedar

Ini bermaksud, duit suami yang ada hak isteri adalah tertakluk kepada pembahagian nafkah yang wajib ditunaikan kepada suri hidupnya dan cahaya mata mereka, ungkapnya.

Selebihnya, katanya, suami mempunyai hak untuk pengurusan kewangan mengikut keperluannya. Pada masa sama, isteri juga berhak mendapat harta sepencarian.

“Namun, pihak isteri perlu memastikan bahawa nafkah atau duit yang diberikan tadi digunakan dengan bijaksana, menepati keperluan sebenar. Suka untuk saya ingatkan, isteri tidak boleh menggunakan duit suami sewenang-wenangnya begitu sahaja.

Suami isteri

MENJADI tanggungjawab suami untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak.

“Sementelah, duit isteri pula boleh turut sama digunakan bersama suami untuk urusan keluarga dan rumah tangga dengan keredaan wanita itu sendiri.

“Namun begitu, jika isteri bersikap diam diri dan bertindak seolah-olah tidak mahu berkongsi pendapatan hasil daripada kerjanya, maka sebaiknya berbicanglah dengan cara berhikmah.

“Isteri yang bekerja perlu merenung kembali bahawa dia bekerja adalah kerana diizinkan suami. Kebiasaannya, alasan isteri bekerja adalah untuk membantu suami,” jelasnya.

Baca juga Isteri Berstatus Suri Rumah Layak Tuntut Hak Harta Sepencarian, Namun Masih Ramai Yang Tak Tahu

Sebelum menoktahkan bicaranya, Siti Fatahiyah mengemukakan kalam ALLAH SWT buat renungan kita bersama.

Firman ALLAH SWT: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana ALLAH telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada ALLAH dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan ALLAH dan pertolongan-NYA.” (Surah an-Nisa’, ayat 34)

ANEKDOT

HAK suami isteri dalam perkahwinan

Suami isteri

SUAMI dan isteri perlu memahami serta melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam membina rumah tangga yang harmoni.

– Tatkala akad nikah dilafazkan, maka terikatlah dua jiwa keluarga yang dibajai dengan kasih sayang dan diterjemahkan dengan tanggungjawab yang perlu dilunaskan.

– Baik suami mahupun isteri, kedua-duanya mempunyai amanah yang perlu digalas.

– Antara hak suami yang perlu ditunaikan oleh isteri adalah ketaatan tidak berbelah bahagi kepada ‘imam’ masing-masing, menjaga kehormatan diri dan maruah suami, membantu menguruskan rumah tangga dan mendidik anak-anak.

– Sementelah, suami pula bertanggungjawab memberikan mahar kepada isteri, nafkah, tempat tinggal bersesuaian dengan kadar kemampuan, menjaga kesucian isteri, mendidik dan memimpin Hawanya ke jalan yang benar, menjaga keselamatan mereka dan bersifat adil andai mempunyai lebih daripada seorang isteri.

– Di samping itu, terdapat juga hak bersama suami isteri yang perlu sama-sama tunaikan.

– Ia termasuklah menunaikan nafkah batin suami isteri, harta sepencarian, mewarisi harta peninggalan suami isteri, hadanah dan mentaati ibu ayah, menjaga hubungan yang baik antara dua keluarga serta sama-sama menjaga kerukunan rumah tangga.

Sumber: Perunding Motivasi Wanita dan Kekeluargaan, Siti Fatahiyah Mahamood

Foto: 123rf & Freepik